Make your own free website on Tripod.com

 

 

SEKITAR SEMINAR PEMIKIRAN PAK SHUHAIBUN YUSSUF

oleh Hasyuda Abadi

MENGHADIRI seminar Pemikiran Pak Shuhaibun Yussuf tokoh budayawan yang tidak asing di kalangan masyarakat Sabah merupakan peristiwa yang amat bermakna. Haji Shuhaibun Yussuf (selepas ini Pak Shuhaibun) sebagai insan seni yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan itu sentiasa menebarkan kecemerlangan memelihara budaya bangsanya. Beliau tidak sahaja merupakan seorang budayawan yang kaya dengan khazanah koleksinya di Dangau Budaya yang sudah dikenali itu tetapi juga seorang sasterawan yang sentiasa siaga dengan idea-idea baru ketika berkarya. Pak Shuhaibun tanpa henti menggilap jatidirinya sebagai sasterawan dalam bidang-bidang yang digemarinya seperti cerpen, novel, lukisan dan skrip drama sambil pada masa yang sama mengumpul, menjaga serta menyimpan khazanah budaya - tiga aktiviti yang membuatkan beliau begitu dihargai. Maka, amat wajarlah usaha yang dilakukan Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah menganjurkan seminar untuk meneroka dan merakamkan segala pemikirannya terhadap budaya dan juga pemikirannya menerusi kilau permata karya-karya beliau.

Seminar sehari  yang disempurnkan perasmiannya oleh Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad, Pembantu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah ini menyajikan tiga segmen yang menarik. Segmen sebelah pagi dimulai dengan sesi bicara seni yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Jalidar Abdul Rahim. Bicara seni diisi dengan garapan awal Pak Shuhaibun yang  membicarakan sejarah susur galur penglibatan beliau dalam perkembangan budaya dan sastera  di negeri Sabah.

Pak Shuhaibun dilahirkan pada 1 Januari 1935 di Kampung Pengalat Besar Papar. Ayahnya bernama Yussuf bin Hassan dan ibunya bernama Hajah Zaleha binti Bahayu. Pak Shuhaibun adalah anak sulung daripada seramai 14 orang adik beradik. Mengikut catatan K.Bali, Pak Shuhaibun memulakan pendidikan asasnya di Sekolah Jepun dan Sekolah Melayu Bongawan sebelum berpindah ke Sekolah Melayu Papar pada tahun 1943. Pada tahun 1947 beliau lulus darjah lima dan mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran dalam aliran Inggeris di Sekolah St. Joseph Papar.hingga tahun 1952.

Bermula pada 12 Mei 1952 hingga bulan Jun 1952 Pak Shuahibun meneruskan pendidikannya di Maktab Perguruan Menggatal kemudian dipindahkan ke Maktab Perguruan Kent Tuaran pada tahun 1953. Maktab perguruan ini adalah maktab perguruan yang pertama di Sabah (Catatan K.Bali). Pak Shuhaibun menamatkan latihan perguruannya pada Mei 1954. Pada tahun 1962 hingga 1964 Pak Shuhaibun ke Australia untuk mendalami lagi pendidikan bahasa Inggerisnya.

Pak Shuhaibun, menurut K.Bali juga seorang yang amat gigih dalam menaik tarafkan pendidikannya. Beliau belajar secara persendirian tanpa kenal letih dan lulus dalam peperiksaan-peperiksaan Government Junior Certificate pada tahun 1965, Sijil Rendah Pelajaran dengan kelulusan Pangkat A (1970), Sijil Pelajaran Malaysia (1981) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (1984).

Dalam perkhidmatan dengan kerajaan, Pak Shuhaibun memulakan khidmatnya sebagai seorang guru di Government Vernacular School Labuan pada 1 Jun 1954. Pada tahun 1956 beliau mengajar di Government Primary School (GPS) Weston sebagai Guru Besar. Selepas itu iaitu pada tahun 1958 mengajar di beberapa sekolah lain termasuklah GPS Sembulan dan menjadi Pengetua Government English School (sekarang sekolah ini dikenali Sekolah Menengah Ashad, Kota Belud). Selain daripada itu Pak Shuhaibun menjadi penyelia mata pelajaran GPS seluruh daerah Kota Belud. Pada Ogos 1958, Pak Shuhaibun menjadi guru pakar dalam Bahasa Inggeris di GPS Buit Hill Putatan. Kemudian pada November 1958 beliau mengajar mata pelajaran yang sama di GPS Tanjung Aru, Jesselton. Dan pada tahun 1961 Pak Shuhaibun menjawat jawatan Guru Besar di sekolah ini.

Selepas melanjutkan pelajarannya di Australia pada tahun 1964, Pak Shuhaibun dilantik sebagai pensyarah sains dan matematik di Pusat latihan Guru-guru Bumiputera Tanjung Aru. Kemudian beliau bertugas sebagai Guru Besar di GPS Sembulan sebelum ditukarkan ke GPS Pengalat Besar sebagai Penolong Kanan Guru Besar. Pada tahun 1967 Pak Shuhaibun menjadi guru besar di sekolah tempat kelahirannya ini.

Bermula pada tahun 1968 hingga 1972, Pak Shuhaibun menjadi Penyelia Sekolah-sekolah di seluruh daerah Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu. Pada tahun 1973 beliau dipindahkan ke Kota Kinabalu sebagai Pegawai Hisab dan Sains untuk sekolah-sekolah seluruh Negeri Sabah. Pada Januari 1974 hingga Mac 1974 Pak Shuhaibun bertugas pula sebagai Penolong Pegawai Latihan di Jabatan Pelajaran Negeri.

Dunia pendidikan Pak Shuhaibun telah berubah bermula pada 8 Mei 1974 apabila dipindahkan ke Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah.  Pada mulanya Pak Shuhaibun amat keberatan meninggalkan dunia pendidikan tetapi atas desakan yang dilakukan oleh pihak atasan beliau akur dengan arahan yang dibuat. Pak Shuhaibun berkhidmat sebagai Pengelola Kebudayaan Negeri Sabah sehingga beliau bersara pada 30 Disember 1989.

Mengenal Pak Shuhaibun sebagai insan seni tentulah tidak sempurna sekiranya kita tidak menelusuri sejarah hidupnya terutama sekali hubung kait pengalamannya sebagai seorang pendidik dan juga seorang budayawan. Namun begitu dalam apa jua pertembungan yang bergelut di jiwanya, peranan Pak Shuhaibun tetap relevan dengan profesinya sebagai seorang budayawan. Sebagai pendidik, tugasnya membudayakan anak bangsa mendalami ilmu memang amat wajar. Apatah lagi pada masa yang sama Pak Shuhaibun juga merupakan seorang sasterawan. Beliau menjadi perakam kehidupan dan menterjemahkan kehidupan itu dalam bentuk yang dikuasainya. Pak Shuhaibun amat berpengalaman dan diakui menguasai selok belok akar budaya bangsanya. Beliau peka terhadap situasi masyarakat tempatan yang mempunyai pelbagai rentak dan bentuk cara kehidupan, pemikiran dan kepercayaan.

Segmen kedua seminar ini merupakan pembentangan wacana oleh dua orang tokoh yang tidak asing lagi iaitu Tuan Haji Ismaily Bongsu dan Puan Asmiaty Amat. Haji Ismaily merupakan budayawan dan juga sasterawan  yang amat sinonim dengan perkembangan kesenian di Sabah di samping satu-satunya deklamator puisi yang disegani di negara ini. Manakala Asmiaty adalah seorang pemikir, pemakalah, pengkritik sastera dan juga pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dalam pembentangan wacana pemikiran Pak Shuhaibun, Haji Ismaily telah menelusuri pengalamannya selama 13 tahun bertugas di bawah Pak Shuhaibun ketika menjadi Penolong Pengelola Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri. Banyak peristiwa dan pengalaman menarik dan tidak kurang juga yang meninggalkan pengajaran peribadinya hingga ke hari ini. Walaupun Pak Shuhaibun seorang yang kelakar namun kelakar beliau sentiasa sarat dengan pengajaran yang tersendiri. Pemikiran Pak Shuhaibun, menurut Ismaily, amat telus. Beliau peka terhadap perubahan budaya yang sentiasa berkembang terutama sekali dalam bidang kesenian seperti drama dan tarian.. Aktiviti kesenian ini rancak dilaksanakan dan menjadi agenda utama semasa mereka bersama-sama mentransformasikan aktiviti-aktiviti kebudayaan di Sabah. Malah kumpulan-kumpulan drama dan tarian sering mengharumkan nama negeri Sabah. Kehebatan kesenian ini sentiasa memberikan saingan yang hebat di kalangan peserta khususnya di peringkat kebangsaan sehinggalah ke hari ini.

Asmiaty pula menyelongkar akar-akar pemikiran Pak Shuhaibun menerusi cerpen-cerpennya yang termuat dalam antologi cerpen 'Dugaan Terakhir' terbitan DBP dan 'Haram' iaitu sebuah antologi cerpen bersama-sama dengan Amil Jaya dan Suhani S. Menurut Asmiaty, Pak Shuhaibun merupakan seorang penulis yang dianugerahi kepekaan yang tajam, sentiasa merasai, menghidu dan melihat segala perkara yang berlaku di persekitarannya. Selain daripada itu beliau merupakan seorang pemikir yang sentiasa segar menggarap tema yang pelbagai. Antaranya termasuklah tema-tema humor, politik, agama dan tidak ketinggalan budaya masyarakat tempatan yang sentiasa bergolak. Pak Shuhaibun telah diakui sebagai penulis yang amat prolifik menulis cerpen di Radio Sabah pada tahun 50-an dan tahun 60-an. Puncak penglibatannya ini meletakkan Pak Shuhaibun sebagai penulis yang 'berbisa' sewaktu diharamkan menulis di mana-mana media di Sabah ketika sebuah cerpennya bertajuk 'Pada Detik 12 malam' disiarkan  menyebabkan beliau disoalsiat dan ditahan oleh pihak berkuasa British ketika itu. Pak Shuhaibun masih aktif menulis selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada tahun 1989. Namun, agak menyedihkan kerana banyak daripada kumpulan cerpennya telah hilang di tangan penerbit dan tidak dapat ditemui hingga ke hari ini.

Pada sebelah petang forum yang bertajuk Pembentangan Pemikiran Pak Shuhaibun Yussuf dalam Pembangunan Kebudayaan di Sabah menampilkan tiga ahli panel iaitu Puan Asmiaty Amat, Haji Imaily Bongsu dan Pak Shuhaibun  sambil Hajah Sairah Haji Antin bertindak sebagai pengerusi forum. Hajah Sairah sebagai seorang aktivitis teater yang tidak asing di Sabah memulakan sesi dengan paparan nostalgianya dengan Pak Shuhaibun semasa menuntut di Jakarta. Pak Shuhaibun dan Haji Ismaily menebarkan lagi pengalaman mereka mengenai seni dan budaya semasa bertugas di Kementerian Kebudayaan  Belia dan Sukan Negeri Sabah. Lebih menarik isu yang ditimbulkan Haji Ismaily terhadap tarian-tarian etnik Sabah yang sudah kehilangan aslinya. Ini turut diakui Pak Shuhaibun. Misalnya tarian Daling-Daling, menurut Pak Shuhaibun, asalnya tarian ini ditarikan oleh kaum lelaki. Memang benar aktiviti kesenian juga telah mengalami revolusinya yang tersendiri. Namun demikian, walaupun tidak ada salahnya tarian-tarian etnik itu berubah tetapi adalah lebih baik sekiranya keasliannya terus dipelihara tanpa mengubah sedikitpun rentak muziknya, unik kostumnya dan lenggang liuk gerak tarinya. Inilah jawapan kepada tanggapan bahawa tarian-tarian etnik di Sabah sudah dirosakkan. (Ada istilah lain sebenarnya disebut tetapi biarlah istilah 'dirosakkan' digunakan dalam tulisan ini). Ismaily juga turut menarik perhatian para peserta mengenai dasar kebudayaan kebangsaan dengan mengaitkan ciri-ciri penting pembentukan dasar berkenaan dalam menyatukan budaya etnik yang sesuai di samping menjadikan Islam sebagai asas pentingnya. Beliau memberi contoh walaupun tarian-tarian seperti Sumazau dan Magunatip berasal daripada suku kaum Kadazan dan Murut, tarian-tarian itu kini telah dipopularkan oleh kaum yang lain. Keadaan ini telah membentuk satu paduan dalam citra budaya oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Di samping wujud keharmonian kaum dasar ini menyandarkan masyarakat kita menelusuri seni secara halus dan berhemah sebagai lambang bangsa yang unggul.

Secara umum seminar sehari ini memberi gambaran yang jelas terhadap peranan dan pemikiran tokoh yang diketengahkan. Tanggungjawab Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah dan DBP Cawangan Sabah juga wajar diberikan penghargaan. Walaupun penyelenggaraan seminar ini berlangsung secara sederhana namun impaknya kepada tokoh-tokoh budayawan kita amat ketara. Kelemahan dan kekurangan setiap pengajuran aktiviti seumpama ini juga tidak dapat dielakkan. Pada masa-masa akan datang, pihak penganjur perlu juga memberi perhatian terhadap beberapa perkara penting yang terlepas pandang misalnya meletakkan karya-karya tokoh di lokasi pameran. 

Pemilihan sasaran seminar ini juga perlu dipuji kerana kepelbagaian bidang profesi membantu menyalurkan mauduk utama seminar secara lebih meluas lagi. Lumrah menghadapi audiens yang kecil bagi aktiviti ilmu seperti seminar budaya ini berlaku di mana-mana sekalipun. Datuk Haji Sapawi sendiri mengakui sambutan hambar di kalangan masyarakat berbanding aktiviti kesukanan yang lebih mendapat perhatian. Bagi para peserta yang tidak jemu menghayati mauduk seminar dari pagi hingga petang, syabas diucapkan. Sekurang-kurangnya seminar ini telah memberi pengalaman baru untuk mereka. Malah ketidak sesiaan kehadiran mereka itu sebenarnya telah dibayar dengan satu nilai yang sukar dibandingkan dengan pengalaman-pengalaman yang lain. Lebih wajar lagi kerana kebanyakan peserta adalah bakal pendidik dan siswa yang sedang mendalami ilmu di pusat pengajian masing-masing. Dan bagi para penulis, seminar yang dianjurkan ini akan mengajak mereka mencontohi kegigihan Pak Shuhaibun khususnya usahanya mengumpul, menjaga dan menyimpan khazanah pelbagai bidang untuk dimanfaatkan mereka yang memerlukan.

Kita berharap aktiviti seperti ini akan diteruskan dengan menampilkan lebih ramai tokoh budayawan di Sabah sejajar dengan objetif seminar ini iaitu untuk memupuk rasa penghargaan di kalangan masyarakat terhadap tokoh budaya, mengkaji dan membincangkan pemikiran dan karya tokoh pilihan seterusnya menyamarakkan semangat cintakan kepada warisan budaya tempatan. Kita perlu juga memanjangkan seminar ini dalam wacana yang lain agar aktiviti ini tidak berakhir di Dewan Besar DBP Teluk Likas semata-mata. Usaha yang dimaksudkan ialah pembinaan sebuah laman web yang memuatkan dokumentasi bahan-bahan berharga para tokoh budaya kita. Ini amat berguna bagi memudahkan para pengkaji mendalami pemikiran tokoh-tokoh itu bahkan membantu mereka mendapatkan maklumat dengan cepat. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) hendaklah disambut sebagai suatu tanggungjawab murni. Sama ada kita mahu atau tidak jawapannya masih memerlukan kesediaan dan keseriusan yang berterusan.

Kota Kinabalu,6 September 2002.