Make your own free website on Tripod.com

 

 

 

DIIDEAKAN SESUATU YANG MELOMPAT
oleh
HASYUDA ABADI

TERIMA kasih kerana membaca idea ini. Fikiran ini semakin mengintai-intai perkara-perkara lain daripada kebiasaan. Cukup membosankan sebenarnya. Nyeri juga sesekali. Sering juga diiringi gumam. Tergamam bila cuba membandingkan tulisan orang-orang besar sastera. Tidaklah sehebat Pak Arena, yang kaya dengan alam kembaranya. Atau Pak Samad yang merojakkan rajuknya banyak kali. Atau Shahnon yang tidak pernah malu untuk memulakan trend barunya dalam sastera Melayu Malaysia. Tulisan ini biasa saja. Tidaklah seluarbiasa tulisan Pak Lah. Atau seindah suara kemanusiaan Tongkat Warant. Meski juga Pak Amil atau barangkali Ismaily Bongsu yang bergelar 'Rendra Sabah'. Jangan sentuh buah lidah Muhammad Haji Salleh. Ini penyair intelektual Melayu. Semua itu tentulah tidak penting bukan? Sebab itu mari baca dulu idea ini dan kemudian jika anda mahu berkata apa-apa, katalah. Kata mengata lumrah manusia. Jika baik katalah buruk, mungkin betul. Jika tidak baik katalah baik, juga mungkin betul.

Bermulalah idea ini tentang katak. Ingat, jangan alihkan fikiran ke arah yang negatif. Tidak tergamak untuk mencernakan idea dengan anggapan-anggapan yang bukan-bukan bila imej katak tiba-tiba menjelma di kotak otak. Jangan marah kerana ini hanya sebuah idea yang belum berlaku atau sedang berlaku atau akan berlaku. Jangan juga libatkan jika ada yang kini duduk senang di kerusi empuk atau menjadi saudagar kaya raya. Mempunyai gedung dan gudang besar, kapal besar, kereta besar, cakap besar dan segala kebesaran.

Tapi tahukan anda bahawa ada katak yang masih tinggal dalam tempurung. Bukanlah tempurung kelapa yang menjadi bahan bakar peniaga ikan-ikan bakar di pasar-pasar malam. Tapi tempurung kaca. Ini hanyalah bidalan Melayu. Dalam tempurung kaca ini boleh melihat diri mereka sendiri, tidak melihat diri orang lain. Tidak melihat apa benda di luar. Tidak juga melihat diri yang boleh dilihat orang lain di luar. Yang betul hanyalah dirinya di dalam tempurung kaca itu. Yang salah tentulah bukan diri mereka. Yang salah sudah tentu orang lain yang melihat mereka salah kerana terlalu asyik di kamar tempurung kaca itu. Katak ini bukan sebarang katak, anda tahu. Katak ini selalu dinyanyikan oleh budak-budak kecil sekali pun. Yang baru belajar berkata-kata juga boleh menyebutkan lagu itu. K A = KA, T A K = TAK. KATAK. Mudah bukan? Katak o katak, mengapa sudah boleh disiul-siulkan oleh banyak mulut. Orang Utan pun sudah pandai bersiul sejak diajar manusia. Tidak percaya? Tidak ada temberang dalam soal ini.

Jangan risau ini idea saja.Bila anda ditanya tentang katak-katak yang melompat-lompat di taman itu, tentulah anda ada jawapan yang mudah. Tentulah begitu kerana pengalaman begini sudah tidak asing. Lumrah sangat. Dengar saja, pesta-pesta hujan, jika kalah, ingat - ada saja katak mengatakkan dan dikatakkan. Mengapa tidak? Jika tidak pandai melompat nanti akibatnya lemas walaupun pandai berenang. Namanya bukan katak jika tidak boleh berenang. Tapi ada juga katak yang gagal melompat kerana katak ini bukan katak tapi menjadi katak atau dikatakkan musim semata-mata. Mungkin saja ada yang menyala hatinya membaca idea ini. Bukanlah idea baru. Idea lama sebenarnya. Sejak dulu lagi idea ini sudah diideakan. Sudah juga didengar oleh ramai orang tentang sesuatu yang melompat. Sudah juga dibuat ramai orang. Dulu zaman batu, katak ada juga. Bila zaman ramai orang inginkan kejayaan, katak juga jadi buih mulut bukan saja buah mulut. Bila zaman persahabatan, katak jenguk sembunyi-sembunyi, tidak lama kemudian melompat-melompat mencari daun-daun berteduh. Bila zaman persahabatan diretakkan oleh pendekar-pendekar Melayu, katak-katak semakin liar sambil berusaha mengenepikan malu untuk memulakan lompatan demi lompatan. Dan sekarang katak-katak itu, sudah berani bernyanyi riang. Berani bernyanyi temberang. Berani bernyanyi seperti mahluk-mahluk lain juga walau sebenarnya katak-katak itu tidak disukai meski pun masih disanjungi.

Tidak kisahlah. Suka atau tidak suka, yang penting kepentingan diri. Suka atau tidak suka yang paling penting adalah kepentingan lain misalnya dapat merapatkan suatu jurang. Persefahaman satu misal yang lain. Misal seterusnya adalah kekuatan suara. Bagi katak nyanyiannya bukan lagi sama seperti katak-katak di parit, atau di sawah atau di lubang-lubang terpencil yang selalunya mati ditelan ular sawa. Nyanyian katak-katak ini sudah jauh. Sudah ke depan. Sudah berbeza sekali. Lompatannya dulu pun tidaklah setinggi lompatan sekarang. Kena juga berhati-hati. Jika ada hati mahu melakukan lompatan yang lebih tinggi, silakan tapi awas. Jika tidak kesampaian akibatnya jatuh semula ke lubang dan ular sawa sedang mengangakan mulutnya! Namun yang sakitnya apabila jatuh terhembap. Walaupun kaki hadapannya itu boleh melakukan sesuatu tindakan tapi tidaklah seperti tupai atau tikus. Tupai atau tikus lebih bersedia untuk jatuh. Tupai bijak juga menebuk labu. Walaupun malang juga namanya kerana dihina dinakan akhirnya, masih ada jalan meloloskan diri. Tikus bila terlalu pandai malang juga kerana cuba-cuba membaiki labu yang ditebuk tupai. Tupai dan tikus adalah dua dunia yang lain. Tupai adalah tupai. Tikus adalah tikus. Tupai tak jadi tikus. Tikus juga tak jadi tupai. Katak tak jadi tikus atau tupai. Katak juga adalah katak. Katak kalau sudah jatuh, parahlah dia. Tidak mampu naik balik. Tidak juga boleh melompat balik. Puncaknya terlalu tinggi. Wajahnya juga sudah tidak ada nilai. Kacak (maaf, kacakkah katak?)macam mana sekalipun, jika tidak boleh memberi nilai terbaik bagi dunia ini, jangan mimpi. Hodoh macam mana sekalipun, jika ada kepentingan yang lain dan boleh diharapkan, jangan mimpi harapannya itu tidak menjadi kenyataan. Maka lompatlah tinggi-tinggi sampai menara atas.

Akhirnya berjayalah katak itu melompat selepas melobi. Anda dengar dulu idea yang lain, jika hendakkan sesuatu yang susah sebenarnya tidak juga susah bila pandai melobi. Istilah ini sudah dijadikan kebiasaan mahluk-mahluk yang punya otak yang cerdas. Kecerdasannya untuk sesuatu yang juga cergas dan cepat. Kerana mahu cepat, dia tidak mahu banyak saingan dan perlumbaan. Sepantas Watson Nyambek, pantas lagi cubaan-cubaan lajunya. Secergas-cergas pendaki-pendaki gunung Kinabalu, cergaslah inginan-inginan untuk menggapai puncak matlamat. Melobilah. Inilah kebiasaannya. Katakan anda mahu mendapatkan jualan paling tinggi, mari lobi pelanggan agar memilih barangan yang dijual dan berharap tidak membeli kepada saudagar lain kerana orang lain tidak ada kelebihan berbanding jualan anda. Jika anda mahu menjadi wakil rakyat. (Jangan cerita kepada orang lain. Ini bisikan halus agar tidak dilakukan kerana merugikan saja masa dan duit anda). Lobilah kepada pengurusan parti anda. Walaupun tidak selalu mendapat tempat. Akhir mungkin berjaya kerana iltizam dan azam anda sendiri. Siapa tahu. Seperti dinyatakan tadi, jangan cuba melobi selepas ini kerana anda mungkin orang yang paling menyesal menjadi wakil rakyat.Mengapa? Menjadi wakil rakyat bukan saja wakil kepada rakyat tetapi wakil juga kepada kehendak rakyat. Rakyat anda adalah rakyat yang pemalas. Bayangkan saja jika rakyat yang anda wakili itu seperti dikatakan pemalas. Saban hari datang menulis pada borang temujanji dengan alasan itu dan ini. Itu dan ini sebenarnya masalah bagi si pemalas rakyat anda itu. Itu dan ini adalah alasan-alasan agar mendapat belas ehsan anda sebagai wakil mereka. Mereka tidak sedar anda adalah wakil istimewa mereka di suatu tempat yang lebih mulia demi memperbaiki kehidupan yang menyeluruh sebagai contoh. Tapi bila anda digelar Yang Berhormat, mereka bijak pula mengubah gelaran itu seperti Yang Berkhidmat, Yang Berwang, Yang Berhemah, Yang Berada dan sebagainya. Satu hari seseorang tidak mendapat apa-apa dari wakil rakyatnya, anda tahu bukan apa tohmahan mereka. Wakil mereka itu digelar sebagai Yang Bakhil, Yang Bebal, Yang Berang (maksudnya temberang) dan yang seumpama dengan gelaran-gelaran menyakitkan itu. Nasihat ini berguna. Sebab itu jika anda gagal melobi jangan pula fikirkan untuk memelihara katak-katak yang sering melompat-lompat apabila hujan turun dengan lebatnya. Namun katak-katak itu mendapat tempat juga akhirnya. Janganlah ditanyakan apa-apa lagi. Tidak ada bahasa yang paling manis untuk ini. Tidak ada juga bahasa yang paling kasar untuk ungkapan begini. Sesuatu yang berlaku tentulah punya baik dan kurang baiknya.

Sekarang apa lagi. Hujan sudah berlalu. Kemarau juga hampir berlalu. Hujan dan kemarau akan datang silih berganti. Katak-katak pun silih berganti. Satu katak mati, ribuan katak akan muncul dan melompat-lompat mencari destinasi mereka. Esok akan datang katak baru. Lusa akan mati katak yang lama. Beginilah yang terus berlaku. Betul. Beginilah idea yang bakal muncul apabil cerita tentang sebuah pulau tidak ada air untuk katak-katak ini menetaskan telur-telurnya menjadi berudu yang boleh membiakkan beribu-ibu anak katak. Ke manakah katak-katak itu akan melompat lagi? Maaf saja jika idea ini mengganggu pembacaan anda yang budiman!

21 Oktober 2000

Hak Cipta Terpelihara Hasyuda Abadi, 2000

(Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, tidak ada kaitan kepada sesiapa sama ada hidup mahupun yang telah mati - Pengarang)