DARI DARUL SAADAH KE DARUSSALAM:
Menyirat Jernih Selut Sastera

oleh Hasyuda Abadi

Awal bulan Ogos ini saya telah menghadiri Dialog Borneo-Kalimantan ke-9 di Jerudong, Brunei Darussalam sebagai pemakalah sekaligus peserta. Perjalanan ke Negara jiran itu ternyata menarik sekali. Dr. Haji Chacho Haji Bulah memandu kereta Pajeronya dari Putatan dan membawa selain saya rakan-rakan penulis iaitu Raymond Majumah, Jasni Matlani dan Rubiah Nurdin. Sebelum sampai ke destinasi yang kami tuju, kenderaan kami harus melalui beberapa tempat penting. Tempat-tempat ini harus memastikan semua dokumen perjalanan dimeterai keluar dan masuk sempadan. Kami harus melewati sempadan Sabah-Sarawak sekali, sempadan Sarawak-Brunei tiga kali yang berakhir di Kuala Lurah sebelum dibenarkan masuk ke Brunei.

Catatan kali ini pertamanya saya ingin membangkitkan fasal tiadanya penyertaan pegawai-pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dalam pertemuan sastera rantau Borneo dan Kalimantan ini. Kami tertanya-tanya juga puncanya. Apakah dialog Borneo ini hanya dilihat sebagai sebuah perjumpaan biasa sahaja tanpa melibatkan mereka yang seharusnya digalaskan tanggungjawab. Apatah lagi Dialog Borneo-Kalimantan yang terakhir berlangsung di Sabah (Sandakan pada tahun 2005), dianjurkan oleh DBP Cawangan Sabah. Apakah segala usul atau rumusan yang telah disenaraikan telah diperbaiki, dimurnikan dan dilaksanakan? Malangnya kesinambungan dialog yang lalu tidak banyak disentuh menyebabkan usul yang sama diutarakan semula. Kami para peserta dialog ini tidak mahu bertanya lebih jauh tentang ketiadaan wakil DBP Cawangan Sabah, pertama mungkin memikirkan birokrasi organisasi yang harus dipatuhi dan keduanya beban kerja yang harus digalas oleh pegawai-pegawai DBP di Sabah yang jumlahnya relatif kecil sehingga harus melupakan komitmen mereka terhadap dialog berkenaan. Kita lupakan ini kerana ia sudah menjadi sejarah yang akan diingat setidak-tidaknya apabila dialog yang sama diadakan sekali lagi di luar Negara iaitu di Kalimantan Timur (KALTIM) sebagaimana yang telah dipersetujui.

Saya ingin menjurus langsung kepada sastera di Sabah yang secara peribadi saya berpendapat harus melalui cabaran-cabaran yang lebih besar lagi. Sebelum ini pun sastera kita ternyata terumbang-ambing merentas cabaran-cabaran yang sedia ada. Sastera sering dikaitkan dengan kegiatan. Pelaksanaan kegiatan pula memerlukan kos dan komitmen. Dan dua perkara inilah yang sering menjadi hambatan besar untuk melangsungkan kegiatan-kegiatan sastera. Malah melihatnya secara meluas misalnya untuk merasakan turut serta dalam gerakan kebangsaan dan antarabangsa, sastera di Sabah masih berada di tahap yang biasa. Bukan tidak ada yang terjadi tetapi ia lebih bersifat pesta semata-mata, ada kalanya bersifat ‘asal ada’, ‘asal jadi’ atau ‘tidak apa’ (contohnya, ada yang berpendapat kalau tidak ada sekalipun tiada siapa rugi, negarapun tidak menerima kesan apa-apa bagi sesetengah orang yang buta sastera). Maksud saya jelas iaitu bagaimana golongan sasterawan kita bekerja keras menghasilkan karya sastera tetapi berapa ramaikah yang ingin mengetahui peranan yang dimainkan oleh para sasterawan ini dalam pembangunan Negara, pembangunan minda bangsanya atau pembangunan kehidupan rakyat? Sastera hanya dilihat sebagai sesuatu yang mustahil memberi sebarang impak dalam kehidupan manusia. Anak-anak menjadikan aliran sastera sebagai pilihan terakhir setelah sains tidak memberikan harapan kepadanya dalam akademik. Walaupun pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan Melayu telah dimasukkan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah namun ia lebih kepada untuk melahirkan pelajar yang mempunyai ketrampilan dalam bahasa, dan menghargai serta menghayati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara. Pendedahan dan apresiasi genre sastera yang ditekankan masih bersifat ‘orientasi peperiksaan’. Tiada sukatan apakah para pelajar itu telah menerima sastera sebagai bahagian dalam kehidupannya sepertimana mereka belajar mengira, membaca dan menulis. Sistem 3M yang menjadi asas kepada kemajuan para pelajar seharusnya asas-asas sastera juga patut ditekankan kepada mereka seawal prasekolah lagi.

Jika kita amati betul-betul sastera sebenarnya sudah ada dalam kehidupan kita. Hanya kita tidak menyedari kehadirannya yang secara fitrah itu. Mungkin juga kita tidak dapat membezakan mana yang sastera dan kelaziman kehidupan kita. Misalnya cara kita berhadapan dengan sesama manusia, haiwan, alam dan sebagainya lagi sebenarnya kita telah pun berada dalam lingkungan bersastera. Dalam kehidupan tradisi di desa-desa bagaimana peristiwa-peristiwa adat dilakukan dalam bentuk yang amat tinggi nilai-nilai sasteranya. Pergi jauh ke kota-kota besar, sastera juga menjadi pengimbang kepada kemelut kehidupan manusianya. Nilai-nilai yang murni sering dijadikan batasan apabila wujud sifat-sifat negatif yang melanggar norma kehidupan berorganisasi. Para pemimpin menggunakan langgam atau laras bahasa yang indah dalam penyampaian yang berkesan dan apatah lagi untuk mengekalkan pengaruhnya apabila tiba masanya mereka patut kekal bergelar pemimpin bangsanya. Sesiapa juga yang berada di pasar ikan, dalam bas, di pusat beli belah dan sebagainya menceritakan seribu satu hal dengan pendekatan sastera walaupun cara komunikasinya berbeza-beza; tidak kira sama ada mereka berbangsa Melayu, China, India, Kadazan, Iban, Bugis, Benggali, Orang Asli, Inggeris, Perancis, Jepun dan sebagainya. Saya telah menceritakan hal ini kepada para pelatih Program Latihan Khidmat Negara yang mengikuti Program Penghayatan Sastera dan Budaya dalam latihan mereka. Sastera itu tidak asing dalam kehidupan harian tetapi sejauh manakah kita memahami keberadaan sastera itu perlu diberitahu seawal anak-anak berada di sekolah sepertimana saya maksudkan tadi. Namun begitu, saya tidak nampak kesan yang besar elemen sastera diterima para pelatih PLKN yang hanya didedahkan selama 18 jam sahaja dalam tempoh 2 atau tiga hari untuk satu-satu peringkat program.

Memberi penghargaan kepada para penulis menjadi topik perbualan komuniti sastera khususnya para penulis yang merasakan kehadirannya dlam komuniti sastera. Kita mahu SEA Write Award diberikan kepada penulis Sabah bukan terhenti setelah Datuk Haji Ismail Abbas (Amil Jaya) meraihnya beberapa lama dulu. Penulis-penulis Sabah sepatutnya turut berada dalam senarai calon penerima, bukan terhad kepada penulis-penulis besar di Semenanjung semata-mata. Sabah dan Sarawak juga mempunyai permata sastera yang tidak kurang hebatnya dalam kehadiran mereka sebagai penulis Malaysia. Apakah dengan kehadiran Jong Chian Lai dari Sarawak tampil di istana Raja Thai pada tahun 2006 melengkapkan keberadaan penulis dalam konteks Malaysia? Bukan bermaksud bahawa penulis bekerja semata-mata mengharapkan penghargaan. Penulis yang ideal dengan prinsip hidupnya mempunyai alasan sendiri apabila bercakap tentang penghargaan, anugerah, hadiah dan sebagainya. Duit bukan segala-galanya dalam kehidupan namun dengan nilai duit yang ada itu juga memberikan kesempatan para penulis menajamkan fikirannya semata-mata untuk memberikan kesedaran kepada orang lain. Rakyat yang miskin harus diberikan perhatian sewajarnya, rakyat yang kaya harus membantu mereka yang tidak bernasib baik, rakyat yang lupa diingatkan, rakyat yang leka disedarkan, rakyat yang tidak amanah ditegur, rakyat yang jenayah diinsafkan selepas melalui era hukuman. Konsep saling ingat mengingatkan ini amat relevan dengan tanggungjawab penulis. Rujukan-rujukan dalam bentuk buku tidak mungkin dapat ditemui tanpa penulis. Penulis yang masyhur dan berilmu memerlukan pembaca dan pembaca itu tentulah mereka yang mempunyai nilai beli yang baik. Kemudahan-kemudahan bacaan di perpustakaan juga akan kelihatan kosong tanpa buku yang memberikan cerminan kehidupan yang harus dicontohi. Seharuslah penulis menerima apa yang pernah diberinya itu sebagai penghargaan. Memang berbaloilah para penulis mendapatkan sedikit wang rakyat setelah pusingan keperluan dan tanggungjawab ini berputar.

Tidak semua penulis menerima Hadiah Sastera. Misalnya Hadiah Sastera Sabah yang berlangsung hanya memberikan penghargaan kepada karya-karya terbaik hasil kerja 27 orang penulis atau kurang apabila ada penulis yang menerima hadiah berganda. Bayangkan ratusan penulis yang lain, bagaimana dengan hasil kerja mereka itu? Saya tidak gemar bercakap tentang jumlah hadiah yang kecil untuk sebuah karya yang tidak harus dinilai berdasarkan jumlah wang yang disediakan. Namun ada baiknya kita kembali kepada matlamat hadiah sastera diwujudkan. Memberikan wang, sijil penghargaan … saya berfikir perlu ada sesuatu yang lain selepas ini. Tidak hanya digahkan dengan tetamu utama yang hadir. Pameran penulis yang ketinggalan zaman. Persembahan sambalewa yang tidak selektif. Sambil ucapan tahniah yang kedengaran hanyalah ungkapan basa basi kehidupan kita bermasyarakat. Saya menerimanya tanpa masalah. Apa yang saya fikirkan apakah impak daripada peristiwa besar ini (untuk para penulis dan sasterawan)? Habis selepas semua orang beredar? Habis selepas tetamu utama masuk ke perut kereta? Habis setelah para penulis berbual dan memberikan kata-kata yang penuh dengan kiasan sastera: selamat berjumpa lagi tahun hadapan! Bagaimana dengan karya-karya yang menang itu? Di mana karya-karya yang memenangi hadiah sastera sebelum ini. Adakah serasehan karya para pemenang dibuat? Adakah pertemuan rakyat dengan para penulis yang menerima hadiah sastera ini? Saya tahu semua ini tidak difikirkan atau mungkin difikirkan tetapi tidak tahu bagaimana mahu dilakukan. Mahu dilakukan tetapi apakah berbaloi dengan hasilnya kelak? Hasilnya nanti apakah berbaloi dengan kos yang perlu dikeluarkan?

Perlu ada kesinambungan dalam apa juga program yang dianjurkan. Perlu ada skala atau gred kerja yang sistematik dan profesional. Sayang sekali Majlis Bahasa dan Sastera Sabah sudah tidak bermaya melakukan sesuatu untuk komuniti sastera di Sabah. Saya tidak ingin memberikan tekanan kepada DBP Cawangan Sabah yang banyak melakukan aktiviti sastera di Sabah walaupun ada sesetengah aktiviti itu tidak memberikan faedah kepada sastera secara menyeluruh. Misalnya program yang dikaitkan dengan penciptaan rekod atau teater perdana yang dianjurkan itu selari dengan matlamat sebenar DBP di Sabah. Banyak dana yang disalurkan untuk aktivii-aktiviti ini menyebabkan aktiviti-aktiviti asas tidak dilaksanakan. Kerana itu kita harus membantu agensi ini. Menerusi persatuan penulis yang ada seperti BAHASA dan juga IPS di Kota Kinabalu, WARISAN di Sandakan, PERWILA di Wilayah Persekutuan Labuan, banyak kerja boleh dilakukan agar sastera dan bahasa tidak dianggap sebagai keperluan sampingan semata-mata. Disentuh apabila terpaksa atau dipaksa menyentuhnya apabila isu mengenainya dibahaskan secara meluas. Walaupun begitu, persatuan-persatuan penulis juga terhad kepada kemampuannya juga. Saya pernah menyatakan dalam Dialog Borneo-Kalimantan ke-9 di Brunei baru-baru ini bahawa agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan swasta juga harus memainkan peranan aktif mereka. Persatuan penulis tidak seperti persatuan-persatuan sukan, kesenian dan belia yang menerima bantuan setiap tahun. Tidak ada rekod menyatakan bahawa IPS misalnya menerima sekian-sekian peruntukan untuk melaksanakan aktiviti sastera dan bahasa. Soalnya agensi mana yang boleh menyalurkan sebarang dana untuk persatuan penulis? Tidak ada agensi khsusus yang menjaga persatuan penulis selain DBP. Di Sabah DBP merupakan cawangan yang berpusat di Kuala Lumpur yang tertakluk kepada birokrasi yang ketat. DBP di Sabah bukan milik kerajaan Negeri Sabah tetapi kerajaan Pusat. Kalau sukan ada Lembaga Sukan Sabah. Kalau kebudayaan ada Lembaga Kebudayaan Sabah. Kalau penulis, apa yang ada? Kita tahu sukan, apakah peranannya baik wilayah, kebangsaan dan antarabangsa. Kebudayaan kita juga tahu lebih kepada kesenian dan tarian atau warisan yang lebih bersifat pesta. Sedangkan penulis (baca: Sabah sahaja) hanya dilihat sebagai ‘hamba abdi’ yang melukut di tepi gantang. Mengapa ‘hamba abdi’? Pada saya secara peribadi, kerana mereka bekerja dan bekerja, menulis dan menulis, mengerah fikirannya tanpa mengira masa tanpa diberikan perhatian. Ada masanya mereka menerbitkan buku dengan kos sendiri yang tidak mungkin menerima keuntungan pun. Sebab itu juga saya cadangkan agar kerajaan Negeri Sabah mewujudkan sebuah jabatan untuk menerbitkan buku para penulis Sabah. Mungkin Jabatan percetakan kerajaan boleh diberikan peranan ini.

Setiap hujung minggu kita membaca karya penulis-penulis di media massa . Tidak kurang daripada 2 atau 3 buah cerpen dan lebih 10 buah puisi disiarkan untuk tatapan umum. Ini bermakna sebulan kita akan membaca 12 buah cerpen 40 buah puisi atau 144 buah cerpen dan 480 buah puisi setahun. Ini tidak termasuk karya penulis Sabah yang disiarkan dalam media lain seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Wadah, Jendela Sabah dan majalah-majalah lain di luar negeri Sabah. Begitu banyak karya sastera yang terbiar sebenarnya. Saya akui ini berlaku. Karya-karya cerpen dan puisi yang berlambak itu hanya dijadikan koleksi sahaja tanpa sebarang usaha melestarikannya lebih luas seperti membuat kajian atau bedah karya atau yang lebih tepat bicara karya. Aktiviti ini amat penting jika kita mahu menjadikannya penting. Serasehan sastera yang pernah dilakukan oleh BAHASA atau IPS malah program-program berkaitan yang anjurkan di Sudut Penulis oleh Unit Sastera DBP Cawangan Sabah memberikan pengertian yang amat bermakna kepada penulis keseluruhannya. Memang yang dibicarakan itu karya dan bukan penulisnya, namun begitu karya tanpa penulis menjadi ungkapan yang janggal. Kerana itu perlu ada seorang pengkaji mengutarakan makalahnya yang turut dihadiri penulis berkenaan. Program ini patut diadakan berterusan. Setiap bulan wajib. Saya masih ingat cadangan yang pernah ditimbulkan selepas bengkel penulisan kritikan tahun 2006. Senarai tugas yang diberikan seolah-olah sebagai penyedap rasa. Ketika itu ramai yang ingin tampil menulis kritikan walaupun ternyata bukan bidangnya. Buktinya jelas. Penulis yang benar-benar cendrung dalam bidang kritikan juga yang masih praktis menulis. Selain Jasni Matlani dan Asmiaty Amat, siapa lagi. Kehadiran Cikgu Ramli A.R. sebagai pengulas puisi majalah Wadah yang terbit 3 atau 4 kali setahun amat dialu-alukan. Saya faham mengapa usaha kita mencari bakat penulisan kritikan ini masih mengekalkan situasi yang sama. Sesungguhnya bidang ini bukan gelanggang permainan sebagaimana kita boleh bermain kata-kata menerusi puisi atau berhujah melalui plot dan teknik penulisan dalam novel atau cerpen. Meskipun baik puisi, novel atau cerpen juga memerlukan kajian yang mendalam agar karya itu lahir sebagai sebuah karya yang diakui, kritikan harus lebih daripada itu. Kritikan tidak semudah kita mengkreatifkan peristiwa yang kita nampak, dengar dan baca. Kritikan harus melalui latihan-latihan yang menyeluruh, kajian yang berpunca, hujah yang berjejakkan fakta yang bukan khayalan, semata-mata impian atau ilham yang datang demi menyedapkan naluri para pembaca.

Saya ingin mencadangkan supaya kita sering mengadakan pertemuan. Mungkin idea ini lapuk dan ketinggalan namun sebagai aktivis sastera atau pengamal sastera yang komited saya fikir ada keperluan supaya para pemikir berjumpa sekurang-kurangnya sebulan sekali atau dua bulan sekali. Tidak perlulah di tempat yang besar atau jumlah peserta yang ramai. Yang penting ada isu atau topik, ada penyertaan yang positif para penulis, kesediaan berkongsi pandangan dan menyatukan segala persoalan dalam rumusan terhadap isu pokok. Rumusan-rumusan ini boleh menjadi rujukan atau menjadi bahan yang akan dipanjangkan dalam pertemuan-pertemuan sastera yang lebih besar sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Dari sini kita juga bakal melakarkan idealisme pemerkasaan sastera sebaris dengan keperluan rakyat. Kita juga bakal mengetengah ketokohan penulis yang terus melaksanakan amanah menterjemah pemikirannya. Selama ini apapun juga buah fikiran yang ditampilkan ia sering disembunyikan oleh corak penulisan dan susun ayat atau diksi yang berlapis makna. Hanya pengkaji sahaja yang mampu meletakkan kedudukan penulis sama ada wajar atau tidak wajar mengangkat ketokohan seseorang penulis atau sasterawan kita. Saya fikir DBP Cawangan Sabah menerusi Unit Sasteranya atau Unit Penerbitan khususnya editorial Wadah/Jendela Sabah harus memainkan peranan ini. Majalah Wadah dan Jendela Sabah sebagai pemangkin akvtiviti persuratan para penulis di Sabah harus melihatnya secara positif. Penulis memberikan komitmen mereka melahirkan karya-karya yang diperlukan sewajarnyalah karya-karya penulis Sabah menjadi keutamaan. Ada ketikanya terdapat juga karya penulis bukan berasal dari Sabah disiarkan dalam Wadah. Kita harus sensitif bahawa di Malaysia banyak media boleh memuatkan karya penulis-penulis yang dimaksudkan (misalnya Dewan Sastera, Berita Minggu dan Minggu Malaysia). Biarlah Wadah atau Jendela Sabah itu dikhususkan hanya kepada penulis Sabah sahaja tanpa sebarang rasa prejudis misalnya memberikan syarat tertentu sebelum sesebuah karya itu dapat disiarkan.

Penulis tidak pernah berkata bahawa suatu hari nanti mereka akan menjadi ‘seseorang’ secara muluk-muluk. Apa yang mereka miliki hanyalah khazanah karya yang dihasilkan walaupun usia kreatif mereka ada yang tidak panjang. Mereka sentiasa diingat dan dikenang. Kita melihat wajah mereka di atas dinding pameran atau dalam buku biografi penulis. Kita melihat senarai karya yang panjang walaupun karya-karya yang disenaraikan itu kebanyakannya tidak dibukukan. Terlalu tinggi penghargaan kita terhadap penulis atau sasterawan yang lahir sebelum kita. Kita amat menghormati mereka kerana mereka bahagian daripada kita yang mengimarahkan aktiviti sastera. Namun di sisi yang lain apakah penghormatan itu juga lahir dari setiap hati masyarakat yang mengetahuinya? Apakah sikap pemerintah Negeri Sabah untuk meletakkan kedudukan para penulis atau sasterawannya ini?

Ketika meninggalkan jeti Muara di Brunei Darussalam menuju ke Pulau Labuan selepas menyertai Dialog Borneo-Kalimantan ke-9, sambil menikmati gelombang samudera Laut Cina Selatan saya mengingat-ingat masa lalu yang sering membetuk persoalan yang sama, seputar dunia sastera bermula dan bermula lagi dengan topik yang serupa. Penulis bercakap mengenai dunianya yang bersendirian hingga menghijrahkan bidang ini kepada bidang yang menjanjikannya harapan-harapan baru. Namun saya percaya selepas memahami dunia sastera ini sebenarnya mereka akan kembali sepertimana kembalinya burung tempua ke sarangnya apabila usianya mencecah petang dan setelah tiada sesiapa lagi yang berada di sekelilingnya selain ‘burung-burung kerdil’ seperti saya. Ketika itu apakah mereka masih mampu menjernihkan lopak fikir mereka, kita tidak dapat memberikan apa-apa selain mengandaikan zaman keemasan itu biasanya berlaku hanya sekali.