PERHIMPUNAN
"PENULIS
YANG HILANG"
DI PANTAI BUNDUSAN, PAPAR
MESKI
sedikit lewat, menghadiri majlis Perhimpunan Penulis-penulis
Veteran Sabah di Pantai Bundusan, Papar merawat kerinduan terhadap
penulis-penulis yang sudah lama menghilang. Pada wajah Haji Shuhaibun
Yussuf (Pak Shuhaibun), insan yang berada di belakang penganjuran
aktiviti dua hari ini, tergambarkan kepuasannya. Walaupun tidak semua
penulis veteran dapat menghadirkan diri namun ini menjadi perintis
kepada penganjuran yang lain. Tentulah bisik-bisik Pak Shuhaibun yang
hinggap di telinga saya akan dibawa balik oleh Pengarah DBP Cawangan
Sabah, Sdr Zaini Ozea dan Pengerusi MBSS Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad.
Di Sabah DBP dan MBSS merupakan tonggak kepada keutuhan gerakan
sastera dan bahasa sekali gus membina budaya baca, seni, ilmu secara
berterusan di samping persatuan-persatuan penulis yang aktif seperti
IPS, Bahasa dan juga Warisan.
Perhimpunan
ini diisi dengan acara baca puisi pada sebelah malam 21 September dan
forum dijalankan keesokannya ditenagai oleh ahli panel yang hebat
iaitu Datuk Haji Halik Zaman, Datuk Haji Ismail Abbas dan Sdr. Datu
Tigabelas Datu Zainal Abidin di samping Sdr. Zaini Ozea yang bertindak
sebagai pengerusi. Datuk Haji Halik adalah seorang penulis puisi yang
amat popular di zamannya. Beliau juga merupakan seorang ahli politik
Sabah yang pernah digelar ‘Singa Berjaya’ di zaman kerajaan
Berjaya menerajui negeri Sabah. Datuk Haji Ismail Abbas atau lebih
dikenali sebagai Amil Jaya merupakan mantan Pengarah DBP Cawangan
Sabah dan penerima SEA Write's Award. Datu Tigabelas pula adalah
Pengarah Jabatan Arkib Negeri Sabah.
Perhimpunan
yang dirasmikan oleh Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad, Pembantu Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah telah menghimpunkan lebih 50
orang penulis baru dan lama. Antara mereka ialah Datuk Haji Murshidi
Nambi, Datuk Haji Ismail Abbas, Datuk Yaman Ahmad Mus, Datuk Haji
Halik Zaman, Datuk Haji Dahali Elias, Hajah Dayang Salmah Salam, Dr.
Haji Abdul Aziz Ahmad, Pg. Haji Bagul Pg Hassan, Haji Masri Mohd
Yassin, Ramli A.R. dan Anan Ramli. Secara umum perhimpunan ini amat
bermakna kepada barisan penulis veteran. Memang banyak yang boleh
disumbangkan kepada mereka sebagai penghargaan. Sungutan yang sering
diluahkan di belakang perlulah dibawa lebih jauh ke dalam. Penulis
bukanlah sesiapa dan apa-apa sekiranya keberadaan mereka itu tidak
melambangkan makna di dalam setiap buah fikirnya. Mereka juga tidak
bermakna kepada orang lain sekiranya orang lain itu tidak memandang
jauh ke dalam sanubari para penulis ini.
Perlukah
sebutir bintang disematkan di baju sebagai mengenang jasa mereka?
Anugerah kebesaran negeri atau negara yang bagaimanakah dapat
diimbangi dengan jasa yang telah mereka taburkan. Anak bangsa kita
boleh ke mercu jaya kerana adanya khazanah ilmu yang dibina oleh para
penulis. Namun penulis selalu saja dipinggirkan dan tidak dilihat
berada sebaris dengan pemimpin besar negara!
Apabila
Perdana Menteri membacakan puisi sejak akhir-akhir ini, apakah kita
memandang ke arah penulis lain? Apakah PM itu seorang penyair sebaik
penyair yang sedia ada? Apakah karyanya menjadi karya agung suatu hari
nanti sehingga terlalu diagung-agungkan berbanding karya-karya yang
dihasilkan oleh A.Samad Said, Usman Awang, Amil Jaya, Jamdin B dan
sebagainya? Jawapannya mudah kerana PM seorang pemimpin yang dihormati
dan apa saja yang perkatakannya akan menjadi igauan orang lain.
Walau
apapun yang berlaku harga diri para penulis ini tetap berada pada
tempat yang wajar iaitu sikap dan pendirian yang mereka pelihara yang
perlu dihormati. Sejarah harus menghargai pendirian seseorang tanpa
meletakkan sesiapapun mengikut arus yang telah ditetapkan. Saya fikir
MBSS melalui pengerusinya telah dapat merasai makna dalaman para
penulis kita sama ada yang masih bergerak mahupun yang hilang di telan
usia dan gelombang kehidupan. Mengingati mereka tentu tidak sekadar
kenangan-kenangan yang menghiburkan. Apa yang wajar kita luahkan ialah
ilmu, idea, pemikiran, falsafah dan sikap mereka terhadap dunia
melalui media yang pernah mereka kuasai. Sekiranya mereka sudah tidak
boleh menulis tidak mengapa. Jangan dipersoalkan mengapa mereka hilang.
Mengapa mereka tidak menulis atau apabila menulis tidak lagi sehebat
tulisan mereka dahulu.
Penulis-penulis
baru pun sudah ramai yang hilang sebenarnya. Ini juga tidak perlu
dipersoalkan. Biarkanlah kerana itu pilihan mereka dan kita yang masih
menjiwai, meruangi, menghidupkan rahsia sastera kita harus
meneruskannya. Seperti kata Datuk Haji Halik, penulis tidak pernah
bersara dan tidak pernah menjadi mantan selagi nyawa masih dikandung
badan. Esok akan lahir lagi penulis-penulis baru dan akan hilang
kemudian muncul dan muncul seribu penulis yang akan mengalami pusingan
yang sama.
Akhirnya,
kita akan menghimpunkan penulis-penulis veteran yang seterusnya!
Semoga
penulis-penulis yang benar-benar ikhlas dan jujur akan menghargai apa
jua yang telah mereka terima. Mudah-mudahan usaha yang dilakukan oleh
Kerabat Budayawan Gapena, DBP Cawangan Sabah dan MBSS ini menjadi
perangsang kepada mana-mana organisasi untuk melaksanakan perhimpunan
yang lain di tempat lain pula di samping dapat mengesan lebih ramai
lagi penulis-penulis lama dan baru yang menghilang. Syabas kepada Pak
Shuhaibun di atas usaha murninya ini dan semua ini telah membayar
penat lelah beliau dan seluruh jentera jawatankuasa penyelenggara.
22 September 2002
|