|
SAHABAT
SAYA YANG HILANG
oleh
Hasyuda Abadi, IPS
JANGANLAH berkata kehidupan ini membosankan. Itu
salah. Alangkah bagus anda memahami kebosanan itu seperti selalu
dilakukan oleh salah seorang sahabat saya yang saya rahsiakan namanya.
Saya percaya anda mengerti. Jangan sembarang menulis sesuatu tentang
seseorang, yang kita suka atau tidak, kerana natijahnya bukan
sembarang juga. Sedang untuk berkata-kata, anda boleh disenaraikan
sebagai antara orang yang suka menceritakan hal orang lain. Dosa
mengumpat, ya Tuhan, tidak ada tolok bandingnya dengan dosa-dosa
memakan daging sahabat anda sendiri. Dan ini bukanlah mesej saya. Anda
bacalah tulisan saya ini. Terserah, jika sanggup membaca teruskan,
jika tidak, abaikan dan anda dipersilakan mengumpat saya pula sebagai
manusia yang membosankan!
Tapi tidak sebenarnya. Saya
ingin bercerita tentang seorang sahabat saya yang sudah lama tidak
bersama. Antara sebabnya saya ini membosankannya. Tetapi yang
membosankan sebenarnya dirinya sendiri. Anda tahu, sahabat saya ini
suka melakukan sesuatu yang aneh-aneh. Dia seorang kutu buku. Dia juga
kutu perempuan. Kutu embun. Kutu kata-kata. Ini menyebabkan saya
hairan mengapa dia merasakan dirinya membosankan. Dalam banyak hal
yang dilakukannya dia seorang yang ego, bangga diri dan selalu
membesar-besarkan dirinya. Sesuatu yang tidak popular, dia boleh
mempopularkannya tanpa segan silu. Anda boleh membayangkan seseorang
yang tidak segan silu membuka baju di khalayak ramai. Dia suka
memamerkan pekung di dadanya!
Bukan itu saja. Satu hari di
hadapan sebuah surau di kampung kami, sahabat saya ini melakukan
sesuatu di luar pengetahuan para kariah kampung. Dia secara tiba-tiba
bertenggek sama seperti ayam jantan belaan ayahnya. Dia mengeluarkan
beberapa helai kertas dari poketnya seraya menyatakan tujuan dia
begitu dan berada di situ. Saya waktu itu tidak sempat berkata apa-apa
kerana baru selesai mengaminkan doa imam bersama makmum lain yang
betah selesai solat fardhu. Dia sebenarnya sedang membacakan
sajak-sajaknya yang baru disiapkannya sebelum solat fardhu magrib.
Dia sedang membaca sajak.
Ketika itu saya segera beredar dan duduk di perut kenderaan. Saya
ingatkan sajak-sajaknya itu menarik. Sebenarnya tidak kerana
kegemarannya satu yang tidak saya gemari, walaupun saya antara
sahabatnya yang dekat, iaitu mengulang-ulangkan isu yang dibangkitkan.
Dia sebenarnya ketandusan idea. Entahlah, pemahaman saya sering tidak
menjadi walaupun berusaha. Ketika saya bertanya dia tak pernah
memberikan jawapan kecuali dalam baju egonya dia tinggalkan saya
seperti patung.
Memang betul, dia bukanlah
seorang penulis yang baik di kalangan kawan-kawan seangkatan kampung
yang ada waktu itu. (Mudah-mudahan dia masih hidup sekarang ini. Saya
minta maaf kerana menceritakan kepada pembaca yang sudiman). Sahabat
saya ini belum berkahwin sejak perkahwinan tidak menjanjikannya sebuah
kebahagiaan. Dia lebih gemar menghabiskan masanya menulis apa saja
walaupun selalu mengulang-ulangkan bahan tulisannya. Sebenarnya dia
sedikit bijak. Sekiranya anda jarang membaca, anda tak mungkin dapat
mengesan bagaimana bijaknya sahabat saya ini sehingga mungkin menarik
pembaca menghayati tulisannya. Mungkin berbeza dengan yang lain, saya
tetap akan membaca, seperti dalam disiplin pembacaan saya, saya akan
mengambil sesuatu yang baik dan mengabaikan sesuatu yang mencurigakan.
Kadang-kadang memang membuang masa saja sebenarnya menelaah tulisan
sahabat ini. Jika dikata tidak berisi saya pasti sahabat ini hilang
sabar. Dia boleh saja mengupah samseng memukul sesiapa saja walaupun
mahkamah akhirnya hanya menghukum si samseng itu. Tapi sahabat ini
tidaklah segarang itu. Dia malah lebih lembut daripada pondan
sebenarnya. Hanya bila dia marah, dia boleh jadi serigala. Bila virus
mula menyerang kepalanya, sahabat ini tidak pernah mempedulikan hal
orang lain. Sama ada orang suka atau tidak, dia akan melakukan apa
yang difikirkan. Saat itu saya pernah membisikkan di telinga ayahnya
supaya menghantarkannya ke rumah pemulihan otak! Namun bukan
persetujuan saya dengar tetapi tohmahan pula. Rupanya sahabat ini
mewarisi penyakit yang diidapi ayahnya! Apa? Bukan gila tetapi hampir
kepadanya.
Sahabat ini pernah berkata
kedewasaan kita sebenarnya dunia yang tolol. Manusia semuanya tolol.
Dia berkata penuh semangat di bendang sawah ayah kami. Kami sama-sama
menunggang kerbau pembajak. Anda yang membaca tulisan saya ini juga,
dia akan katakan tolol kerana tak pernah memahami dirinya. Katanya,
saya sudah kehilangan banyak perkara. Saya kehilangan teman hidup yang
baik. Saya sering dihimpit oleh derita yang tak kunjung padam. Sambil
dideritai penyakit yang tak pernah diceritakannya, sahabat ini hanya
berkata, saya sedang nazak sekarang ini. Katanya, saya sudah lama
berada di dalam masjid diri. Merafak jemari memohon ampun dari Tuhan.
Saya sudah menjadi makmum yang betah. Hanya kerana ingin memohon ampun
yang sejati. Saya derita ditinggalkan kekasih! Maaf, katanya, aku
sakit sekarang kerana kekasih yang entahlah, katanya lagi, apakah aku
sebenarnya bertepuk sebelah tangan.
Dia selalu bangun waktu malam
dan bercerita dengan alam khususnya embun. Saya sering menjangkakan
bahawa akhirnya sahabat ini jadi gila. Mudah-mudahan tidak menjadi dan
harapan saya ini sebenarnya menjadi kenyataan apabila dia disahkan
normal hanya ada sedikit kecatatan pada otaknya. Mungkin juga, kerana
ketika itu saya teringat dia sebenarnya pernah jatuh dari belakang
kerbau dan kepalanya terhentak ke tunggul kayu di bendang ayah kami.
Doktor kaunseling itu berkata, sahabat saya ini terlalu menderitakan
dirinya, bukan dideritakan oleh apa-apa atau oleh sesiapa. Doktor itu
berani berkata, sahabat saya ini tolol dan bodoh orangnya. Pada mula
saya naik geram juga mendengar keceluparan doktor itu. Tetapi saya
memikirkannya semula dan memang ada benarnya.
Anda tentu ingat,
sahabat saya ini pernah bertenggek di hadapan surau membacakan
sajak-sajaknya, bukan? Doktor itu kata sahabat saya ini telah
diabaikan begitu lama hingga mengganggu fikirannya. Saya tidak berani
berkata begini: mungkin dia digilai oleh sajak-sajaknya yang tidak
dilepaskannya beberapa tahun yang lalu. Untuk pengetahuan, sahabat ini
sering diabaikan dan ditolak mentah-mentah. Satu anugerah yang sesuai
dengan dirinya tidak beri kepadanya. Saya simpati dan pernah mendengar,
sahabat ini tidak perlu diberi apa-apa pun kerana dia telah menerima
anugerah yang paling wajar dari Tuhan. Kata mereka, dia diberi nafsu
yang paling tinggi antara kita! Sekarang rasakan. Saya tak bertujuan
menceritakan sungguh-sungguh tetapi memang benar
bahawa sahabat saya ini memiliki nafsu yang tak tertara dengan
nafsu yang dianugerahi kepada semua mahluk Tuhan.
Terutama sekali
nafsu amarahnya. Jika tidak kerana ini, saya fikir, dia sudah menjadi
wakil rakyat di kawasan kami. Dia boleh mengalahkan wakil rakyat kami
yang ada sekarang ini, yang baru setahun jagung menjadi wakil rakyat
tetapi sudah mendapat gelaran paling tinggi di sisi masyarakat. Sedang
sahabat saya yang sudah menghambakan diri bertahun-tahun tetapi satu
apapun tidak diterimanya. Kononnya sahabat saya ini mahu juga digelar
sesuatu. Atau sekurang-kurangnya dipilih menjadi wakil para pemikir di
Dewan Undangan. Katanya, bukankah bagus kita bersuara lebih sedikit di
arena yang mulia itu. Saya hanya tersenyum mendengar seorang tolol
berbicara. Tanpa bertujuan mengaibkannya saya menjadi mendengar yang
setia. Sahabat ini bukan main gemar sekiranya ceritanya didengar dan
malah dipuji. Satu hari beberapa tahun yang lalu, dia amat gembira
kerana mendapat pujian. Saya tak mampu bercerita tentang ini kerana
boleh menyinggung ramai orang termasuk yang pernah memujinya
berlebih-lebihan. Dia pun berkata, bagusnya aku, kerana
sekurang-kurang dipuji dan sejarah hidupku dirakam. Katanya pada saya:
cuba saudara pilih, sama ada saudara menulis sendiri sejarah hidup
saudara atau ada orang yang merakamkan sejarah hidup saudara. Walaupun
banyak cerita di situ kosong dan bohong! Bisiknya, apabila menyedari
tak sesiapa mendengar dan mengetahui tembelangnya.
Sebab itu saya merasakan bahawa
suatu pembohongan yang nyatalah jika sahabat itu mengatakan hidupnya
membosankan. Berumpankan
pengalamannya yang lampau sudah wajarlah bosan bukan sahabatnya.
Tetapi memang malang baginya barangkali. Jika bosanlah yang menjadi
punca fikirannya celaru, saya ingin menukar pandangan saya terhadap
sahabat saya itu. Saya tak mungkin memikirkan tentangnya lagi.
Memadailah sebuah kenangan terungkap dan cerita ini tidak akan
bersambung bahkan panjang ke mana-mana. Saya ingin ingatkan anda
jangan cuba panjang mulut. Jika akhirnya diketahui oleh mindamu atau
hatimu atau matamu atau telingamu atau seluruh anggota tubuhmu, tolong
musnahkan demi kebaikan anda juga. Agar nanti anda tidak seperti
sahabat saya ini sekarang, hilang entah di mana. Selepas peta hidupnya
hilang di tengah padang kebebasan, punca hidupnya berpindah randah
dari satu pelabuhan ke satu pelabuhan. Apakah wajar sekiranya kita
sependapat dia harus ke tanah haram semula?
TAMAN
PUTERAJAYA, TELIPOK,
KOTA
KINABALU.
19
MAC 2002.
Hak Cipta Terpelihara ©
Hasyuda Abadi, 2002
|
|