|
SEBERKAS
IDEA TENTANG POHON
oleh
HASYUDA ABADI
HSYYY!
Hanya nafas tak sesak. Pandangan sesak. Pergerakan sesak. Senyuman
sesak. Tawa sesak. gelisah sesak. Rasa sesak. Mati sesak. Hanya nafas
saja tak sesak. Di mana lagi tidak ada yang tak sesak. Cerita-cerita
sesak didengar telinga. Meski masuk di kiri keluar di kanan,
cerita-cerita datang juga dan didengar telinga. Dibuang dan datang
lagi Mengapa agaknya
cerita menjadi begitu sesak dan menyesakkan. Penting sangatkah hingga
menjadi demikian?
Pintu yang selama ini
tertutup mulai terbuka. Terpancarlah segala yang bersembunyi. Meskipun
tidak seluruh alam yang tersembunyi itu, namun jelas keterkuakan
bilah-bilah pintu mengatakan tak perlu disembunyikan lagi. Daripada
sifat-sifat mahmudah sampailah kepada sifat-sifat mazmumah. yang
paling tinggi dan yang paling bawah. Yang baik dan yang paling tidak
baik. Membuak bak bah darah selepas kulit tipis dan isi tubuh diradak
mata pisau yang rakus. Anihnya darah yang membuak deras daripada
urat-urat isi tubuh itu tidak merah seperti sedia kala bahkan
berwarna-warni, malah lebih nyata warna adalah hitamnya!
Ngeri juga darah hitam
sesudah mulai merawikan kalbu. Sudah begitu berlaku kalbu diintimi
otak, mekanisma minda termahal tubuh dijanai urat sarat urat saraf.
Mulai bergetar kalbu itu mempengaruhi seluruh tubuh: mata menangkap
segalanya, memamah segala kejelitaan, mengoyak-rabak segala kepuasan
nafsu, mengunyah segala kebingungan demi kebingungan, kebimbangan demi
kebimbangan; kemudian sisa-sisa yang ada dalam liang matanya dihembusi
baunya di khalayak tanpa silu segan dan malu. Ketawalah terbahak-bahak
selepas meranapkan segala jenis bahang api. Sekali lagi
melumat-lumatkan kebencian, kebimbangan, kedunguan, kebodohan dan
ketololan. Dan sejarah tubuh mulai lebur.
Di manakah rumah
mahmudahmu? Semua saling berbicara - antara mulut-mulut, antara
mata-mata, antara telinga-telinga dan antara kalbu-kalbu.
Pemberontakan minda semakin jelas tercetus. Hanya baru disesakkan
tekanan-tekanan menggila. Tidak logik dan masuk liang akal. Masih
enggan digambarkan ketidaktentuan itu. Jalan kebenaran dinyatakan
dalam segala macam retorika, teori, andai-andai dan ikon-ikon mimpi
yang mulai memusatkan akal sebagai angan-angan melulu. Imej dan
reputasi untuk tubuh.
Cermin hanya untuk tubuh lain bukan tubuh itu sendiri. Hanya tubuh
lain lebih tinggi mazmumahnya dan rendah mahmudahnya. Dibetulkanlah
yang rendah itu yang banyak salahnya atau sedikit kelebihannya.
Walaupun sedikit benarnya tetapi jika boleh dimilikkerbaukan, yang
boleh diheret ke sana-sini, yang boleh mentaati suruhan-suruhan. Maka
dipandirkanlah juga si pesalah itu. Malangnya yang salah tidak dibenar
kebenarannya kerana tubuh itulah saja yang lengkap, yang tinggi
mahmudahnya dan rendah mazmumahnya, yang betul, yang saleh , yang
warak, yang bijaksana, yang bermata, yang berotak, yang bertelinga,
yang berhidung, yang berkaki, yang bertangan, dan segalanya pasti
lengkap.
Demi ruputasi,
menyesakkan kelancaran gerak yang lain lebih penting. Taman itu pun
sudah mulai sirna harmoni dan damainya. Keceriaan sudah tidak ceria.
Hantu-hantu bisu sudah menyelinap dalam jasad mengubah tubuh-tubuh.
Daun-daun pada taman hijaunya berwarna baru dan gugur meski mekar.
Seakan tidak ada maya meneruskan perjuangan. Ingin juga mendapatkan
sayap untuk terbang jauh di mana-mana.
Derap kemerdekaan
mulai dirantai. Merdeka yang tidak bebas ditafsir dalam kepelbagaian jenama kuasa. Apakah ertinya merdeka ini jika
tidak bebas menyatakan kebenaran. Buah benar yang tersergam pada pohon
minda menjadi pameran ala kadar. Lontaran-lontaran fikir terbiar
melata, terbang jauh ditiup angin hipokrit dan ketololan. Semuanya
dipersalahkan. Kebenarannya, benarkah? Detak jantungnya, benarkan?
Langkah-langkahnya benarkah? Ya, langkah-langkah fikir dan kalbu
hitamnya, benarkah? Hsyyy, tersentak juga jika dapat membolosi sukama
tubuh itu. Menjadi api dalam sekam. Menggubah dan merubahnya menjadi
sesuatu, pohon yang tumbuh melata atau seekor keldai!
Kerana hanya sifat
kekeldaian sesuai buat tubuh itu. Kerana dia mengkeldaikan tubuh-tubuh
lain. Dia berada di atas selepas bertandang pada otak kepalanya yang
sedikit sekali rumput, suarnya yang menyakitkan telinga, bibirnya
bijak berkata-kata. Diherdiknya menjadi haru biru taman itu. Hidupan
seperti dinyatakan segala mergastua. Hampir enggan hidup mengharmoni
taman sambil kedengaran omelan-omelannya tentang warna taman mesti
diubah, diceria, diperhalusi. Disenaraikanlah omelannya segala macam
reformasi. Reformasi apa yang diakhiri pemenjaraan yang panjang dan
berliku hingga memungkinkan tidak mengenal apa-apa lagi. Reformasi
harus benar jika ia dilahirkan bersama ketakengganan bermuhasabah.
Segalanya. Membuang jauh sempit fikir kerana itulah penyebab sesak
kebenaran. Pemikian yang sempit menciptakan ruang dalam dan kehancuran.
Itu dia, siapakah suara itu berani bermadah bicara buat tubuh yang
munafik, memalsukan kehidupan putihnya. Segala kepura-puraan. Hipokrit.
Skandal begitu menggilakan. Taman ini kini dipijak-pijak oleh skandal
pengilhaman sang jelita. Tubuh itu kian mara untuk marah, sambil bijak
memilih-milih seperti bijaknya bermuka-muka. Talam dwiwajah dan ular
dwikepala. Menggilai senyuman Maya, tubuh seperti ayam jantan yang
berkokok gagah, merdu dan jaguh tetapi tahinya sendiri menggelomangi
ekornya. Pohon skandal mulai bertunas dan bakal menjadi benih yang
akan dicambah sebar oleh angin lalu merebak ke seluruh negeri dan
wilayah bangsa-bangsa. Akan kelihatan betapa suburnya pohon skandal
tumbuh subur di taman agung yang dikenali sebagai adil, cekap dan
telus itu. Gembar-gembur kemahmudahannya mulai ditanyai.
Tak ada jawapan juga.
Biarkan saja soalan-soalan itu, jika wajar dibayar oleh diam-diam ubi.
Penggali pun diam dalam karatnya. Sampai bila-bila juga, biarkan pohon
itu membesar, membesar sambil merasakan mungkin, pujian-pujian yang
akan mendatang. Pujian-pujian ubi daripada pohon skandal yang dibajai
sifa-sifat mahmudah hipokrit, segala cam ancaman momokan-momokan.
Hak Cipta Terpelihara © Hasyuda Abadi, 2000
(Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, tidak
ada kaitan kepada sesiapa sama ada hidup mahupun yang telah mati -
Pengarang)
|
|