|
Pasang surut kreativiti penyair
Oleh
Hasyuda Abadi
SEBAGAIMANA halnya dengan kegiatan hidup
manusia yang lain, kegiatan penulisan kreatif juga mengalami pasang
surut. Ada saatnya seorang penyair sangat produktif, ada pula saatnya
tidak menghasilkan apa-apa. Setelah menciptakan sejumlah karya, ramai
penyair menjadi jenuh. Dalam keadaan jenuh demikian, mereka berhenti
mencipta. Sama ada kerana desakan masa yang semakin rigid untuk
berkarya mahupun atas alasan ‘tidak ada apa-apa’ mahu ditulis.
Mungkin juga ada rangsangan-rangsangan yang masuk disimpan di benak,
tidak diwujudkan dalam bentuk karya seni. Atas alasan ini sang penyair
merasa berada di persimpangan jalan, dan sedang merencana jalan mana
yang akan dipilih.
Suatu tantangan yang tak habis-habisnya dihadapi oleh seorang
penyair ialah tantangan untuk mencipta, kerana hanya dengan mencipta
itulah dia mempertahankan keberadaannya sebagai penyair. Mencipta,
bagi penyair ialah menghasilkan sesuatu yang baru, menghasilkan
sesuatu yang belum dilakukan oleh sesiapa. Dalam setiap ciptaan itu
pula unsur kebaruan, kekhasan dan ketulenan harus ada. Dengan tidak
adanya unsur-unsur ini akan mengurangi nilai ciptaan itu dan boleh
menyebabkan penyair itu sendiri tidak puas.
Mencipta
karya sastera, berbeza dengan aktiviti sebuah industri pembuatan yang
menghasilkan barangan dari bahan mentah. Ia juga berbeza dengan
kegiatan para pereka kraftangan. Barangkali barang-barang yang
dihasilkan oleh kilang atau barang-barang kraftangan itu lebih berguna,
lebih berharga, dan lebih memenuhi keperluan daripada karya-karya yang
dihasilkan oleh penyair; namun sebagai karya seni, karya penyair itu
lebih bernilai dari barang-barang yang dihasilkan. Dalam setiap
ciptaan karya sastera, penyair dengan segala daya upayanya
mengekspresikan dirinya. Tidak ada karya seni lain yang sama dengan
karya itu kerana setiap ciptaan itu bersifat khas.
Mengingat tantangan yang dihadapi, sesungguhnya menjadi penyair
yang kreatif itu memang tidak mudah. Tidak menghairankan apabila ramai
penyair yang berhenti di tengah jalan. Ada penyair setelah menulis
beberapa buah puisi tidak pernah lagi muncul. Di suatu masa,
keupayaannya memang menyerlah. Kemudian kekosongan ini diisi pula oleh
para penyair baru yang belum tahu keberadaan mereka sampai bila.
H.B.Jasin, tokoh sasterawan terkenal pernah menyebut “penyair
yang bernafas pendek.”. Teeuw pula, ketika membicarakan penyair
Sanusi Pane mengatakan bahawa seni itu sebenarnya panjang walaupun
hidup itu pendek. Bagi penyair yang bernafas pendek hidup ini bukannya
terlalu singkat untuk melakukan kegiatan kesenian, melainkan terlalu
panjang kerana kegiatan seninya terlalu singkat.
Negeri Sabah punya ramai penyair yang baik yang memiliki
buku-buku puisi persendiriannya walaupun tidak serancak
penyair-penyair di Semenanjung. Namun demikian, fenonema pasang surut
yang melanda kehidupan telah menghalang usaha mengangkat puisi dan
penyairnya sekali gus sebagai aktivis yang gigih, juga berperanan
dalam banyak hal. Ramai penyair sudah tutup buku. Simpan mesin taip.
Dan melupakan dunia sastera. Ada yang merajuk dan mengatakan: selamat
tinggal sastera, dan segala macam walaupun ada kalanya ini hanya gimik
bagi orang-orang politik untuk menagih perhatian.
Memang wajar dipertanyakan seberapa jauhkah kesetiaan penyair
yang dimaksudkan terhadap puisi. Benarkan secara jujur mereka itu
menceburkan dirinya dalam dunia kepenyairan? Apakah mereka itu penyair
mapan atau hanya amatiran semata, hingga akhir hayat kreatifnya?
Ramai bijak pandai telah menyatakan betapa pentingnya puisi.
Ada yang menyatakan bahawa penyair adalah seorang pemikir. Dia bukan
hanya mempunyai sepasang mata yang terang dan tajam dengan otaknya
yang berfikiran tinggi, juga mempunyai pendirian dan pandangan dunia
yang tepat. Sedangkan puisi itu sendiri memberi penjelasan tentang
diri seseorang, penyair misalnya, kerana bahasa puisi berhubung erat
dengan gaya penyair, pembentukan gaya adalah berhubung dengan jumlah
pengalaman kehidupan, pemupukan kesenian, perasaan dan fikiran serta
tabiat perseorangan.
Jelas, di mata penyair sendiri puisi itu penting. Setiap tahun
Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan diadakan menjelang perayaan
Hari Kebangsaan. Acara gemilang ini berjaya menyemai rasa cintakan
negara di samping mencungkil bakat deklamator yang terbaik. Demikian
juga, Mahrajan Sastera Islam yang mendominasikan puisi sebagai
aktiviti utamanya juga diadakan saban tahun dan kini sudah berusia
hampir sedekad. Menerusi aktiviti ini, buku puisi diterbitkan sambil
mengumpul sejumlah puisi daripada para penyair menerusi sayembara
menulis puisi berunsur Islam.
Puisi juga sering diambil sebagai bahagian daripada acara
sesuatu majlis rasmi. Masalahnya, jika puisi
itu penting, mengapa mereka
meninggalkan puisi dalam erti kata tidak menulis puisi lagi?
Mengapa penyair-penyair itu tidak terus berpuisi, mengapa mereka
berpaling dari puisi? Ada pelukis yang mengabdikan seluruh hidupnya
untuk seni lukis; ada pemuzik yang mengabdikan seluruh hidupnya untuk
seni muzik. Penyair, bagaimana?
Hakikatnya, menjadi penyair memang tidak dapat menjanjikan
profesi, lain halnya dengan menjadi pelukis, pemuzik, penyanyi atau
pelakon filem. Berprofesi sebagai penyair dalam erti menggantungkan
hidup semata-mata dari pekerjaan menulis puisi memang tidak mungkin.
Pertama, tidak mungkin ada penerbit yang mahu membeli puisi dengan
harga yang mahal. Jika mahu diterbitkan pun, tidaklah sekerap atau
sebanyak bilangan novel-novel remaja. DBP misalnya hanya akan
menerbitkan dua naskah buku puisi setiap tahun. Ini soal koata, dana
dan keuntungan (yang tidak diharapkan). Kedua, penyair tidak mungkin
menulis puisi sekali gus dalam jumlah yang banyak, misalnya menulis
sepuluh buah sehari.
Menulis puisi tidak dapat dipaksakan. Saya tidak pasti
kebenarannya, kerana ada juga kepercayaan bahawa pemaksaan boleh
membuahkan hasil yang baik. Dapat menyelesaikan matlamat seperti yang
dikehendaki, melalui sayembara sebagai contoh. Yang pasti, penyair
hanya menulis puisi kalau dalam dirinya ada sesuatu yang mendorong
untuk menulis. Penyair menulis puisi kerana ada sesuatu yang harus
diungkapkannya. Penyair menulis kerana ada inspirasi. Oleh kerana itu
menulis puisi tidak dapat ditentukan, misalnya harus sekian sehari
atau sekian sebulan. Apa lagi, penyair tidak dapat menggantungkan
nafkah hidupnya dari menjual puisi.
Dengan menjual lukisan, seorang pelukis mungkin dapat memenuhi
keperluan hidupnya selama satu bulan. Dengan sepuluh buah puisi
seorang penyair mustahil dapat memenuhi apa-apa, kerana bayarannya
yang kecil dan dalam banyak hal tidak mendapat apa-apa bayaran
langsung (tidak termasuk Harian Mercu, tentunya). Oleh sebab itulah, bagi kebanyakan penyair
di negara kita ini, mengarang puisi bukanlah pekerjaan yang
menjaminkan sesuatu. Di samping terkenal sebagai penyair, mungkin dia
seorang guru sekolah, pensyarah, seorang wartawan, seorang penyanyi,
seorang pelukis, seorang pegawai atau kakitangan kerajaan dan
sebagainya.
Meskipun menjadi penyair itu bukan pekerjaan yang tetap, itu
bukan bermakna mengurangi kesetiaan atau keterikatan penyair pada
puisi. Ini terletak kepada komitmen seseorang. Masing-masing mempunyai
falsafah hidup, sebagai contoh, sekiranya seseorang itu menulis kerana
ingin menganggap kerjaya ini sebagai suatu ibadah, pegangan ini akan
membawa makna yang tidak dapat dinilai oleh sesiapa pun kecuali Tuhan.
Tetapi jika kerana tidak mendapat apa-apa daripada keterlibatannya
dalam penulisan puisi, tiada siapa juga boleh mempertahankan pegangan
seperti ini. Itu hak individu.
Secara peribadi, saya merindui puisi-puisi para penyair yang
telah ‘menguburkan’ kreativiti mereka tetapi mengalu-alukan
kehadiran mereka. Tanpa niat merendahkan sesiapa, kepenyairan menerusi
puisi-puisi yang menghiasi ruangan sastera di surat-surat khabar
tempatan hari ini belum dapat menandingi kepenyairan para penyair
sebelumnya. Sehingga hampir di penghujung dekad 90-an sekarang ini,
sukar untuk disebut nama-nama penyair yang benar-benar kukuh khususnya
dari kalangan penyair yang menulis lebih lima tahun secara berterusan.
Beberapa kemungkian keadaan ini berlaku, antaranya, ialah kurangnya
minat membaca karya-karya penyair-penyair terkenal; kedua tidak ada
iltizam yang tinggi mencari kelainan yang memungkinkan sesebuah karya
itu kelihatan mantap, baru dan bertenaga, dan ketiga, ketidak kerapan
mereka menulis dan penyiaran karya-karya yang tidak konsisten.
Nama-nama
yang pernah dikenal seperti Ismaily Bongsu, Pena Kota, ABM Fajeer,
Mahmud Jahar, Anas Ayu Ansayu Ogos, Mohd Zain A.H., Nas Achtan, Mohd
Hadie Nor D, Alipah Jambuan, Rahim Tapah, Mohd. Zain Abdullah, Ailin
Nor, Jaafar Abdul Wahid, Mariam Omar, Ariah Judah, Sukri Saifudin,
Masdini Mohamad, A.Karim Kadir, Matlin Dullah, Arif Osman, N.R.Rahim,
Anisul Jalis, Siba Nita
A.S., Saibil Madun, Masrani Madun, Sanusi Ondu, R.Syad Hussin, dan
lain-lain lagi sudah jarang kita jumpai puisi-puisi mereka yang baru.
Ismaily Bongsu seorang pendeklamasi terkenal negeri ini, bagaimanapun,
memberi sedikit semangat apabila beliau membacakan puisinya pada satu
majlis pelancaran buku puisi sempena Mahrajan Sastera Islam baru-baru
ini. Barangkali, kita terfikir mengapa tidak ada penyair lain yang
mampu melakukan pembacaan sebaik Ismaily terutama untuk
menghubungkannya dengan keterlibatannya mengadakan baca puisi keliling
suatu waktu dulu. Meskipun, berlaku kontroversi, Ismaily memberi
contoh yang baik untuk para penyair baru. Barangkali A.Karim Kadir,
seorang aktivis teater juga seorang penyanyi lagu puisi boleh
melakukannya apabila kita mengambil kira beberapa persembahan baca
puisi rakyatnya terutama sekali di Laman Sari DBP baru-baru ini.
Memang
ada sedikit kelesuan khususnya di Kota Kinabalu. Begitu juga di
bandar-bandar utama yang lain seperti Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan
Keningau. Aktiviti baca puisi hendaklah kerap diadakan
sekurang-kurangnya selang tiga bulan. Demikian juga bicara puisi suatu
aktiviti telaah sastera yang memberi faedah besar kepada dunia sastera
itu sendiri. Mungkin boleh dicadangkan begini: adakan acara apresiasi
puisi di mana keterlibatan ramai pihak termasuklah penyair, pengkritik,
pencipta lagu, penyanyi lagu puisi, siswa, pelajar sekolah dan orang
ramai. Di situ akan berlangsung pembacaan dan pembicaraan karya. Kita
jemput penyair-penyair terkenal di Sabah. Kita perkenalkan
penyair-penyair kita kepada khalayak. Kita hidupkan suasana bersastera.
Soalnya, siapakah yang akan bertanggungjawab? DBP, MBSS, IPS, BAHASA,
UMS, Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan atau Kementerian Kebudayaan,
Alam Sekitar dan Pelancongan Negeri?
Kita
juga belum pernah mendengar ada Jabatan-jabatan Kerajaan ataupun
swasta menubuhkan kelab atau kumpulannya sendiri yang relatif kepada
pembinaan budaya menerusi apresiasi puisi. Bagaimanapun, acara-acara
selitan yang diadakan dalam Laman Sari DBP di Komplek Karamunsing
baru-baru amat positif jika dilihat sebagai salah satu usaha
mengembangkan penggunaan bahasa Melayu di samping mendekatkan aktiviti
seni seperti deklamasi puisi, lagu-lagu puisi rakyat dan sebagainya
kepada orang ramai.
Memang
penyair bukan hanya sasterawan dan sasterawan bukan hanya penyair.
Dari sasterawan orang boleh berpindah menjadi sutradara filem atau
drama tv malah ada yang terpanggil menjadi ahli politik akhirnya
menjadi wakil rakyat. Ada juga penyair yang mempelbagaikan aktiviti
sasteranya misalnya dia juga menulis cerpen, drama dan novel. Di
samping menyajak dia juga merupakan seorang penulis kritik atau telaah
sastera.
Soalnya, mengapa berpaling dari puisi? Apakah kerana puisi itu
diberi erti terlalu tinggi yang sehingga harus disamakan seumpama
seorang sufi? Kehidupan ini sendiri, yang menjadi sumber inspirasi
puisi tidak selamanya puitis. Terlalu banyak hiruk pikuk yang
menyebabkan kehidupan kita ini untuk sebahagian besarnya bersifat
prosais. Oleh sebab itu, wajarlah ditempatkan kepelbagaian genre
dibahui para penyair atau sasterawan yang lain; pada waktu-waktu
tertentu mereka berpuisi dan pada kesempatan lain mereka menulis prosa.
Tetapi pada waktu yang lain mereka menulis kedua-duanya sekali gus.
Dengan upaya sebegini, setidak-tidaknya kreativiti mereka tidak luntur,
beku apalagi berkubur begitu saja.
|
|