Berfikir secara negatif yang baik
WALAUPUN
ada kalanya kita tidak dapat mengendalikan fikiran dengan sempurna,
kita sebenarnya masih boleh memilih untuk berfikir dengan cara yang
lebih sihat atau sebaliknya. Ramai yang menganggap bahawa semua
fikiran negatif itu merosakkan tetapi sebenarnya mungkin kita perlu
belajar untuk berfikir secara negatif yang baik.
Sebagai contoh, anggaplah anda bekerja di sebuah perusahaan
yang baru. Anda tidak mengenali sesiapapun. Sudah pasti anda tidak
menyukai keadaan tersebut. Tetapi anda mampu mengatasi keadaan
tersebut mengikut cara anda dan dapat menentukan sejauh mana
pengaruhnya terhadap anda.
Anda dapat berfikir: Saya tidak gemar keadaan ini, tetapi
keadaan ini pasti tidak lama dan saya mampu bertahan, ataupun anda
berfikir begini: Saya tidak menggemari situasi ini dan saya boleh
jadi gila seandainya terus bertahan
dalam situasi begini dalam tempoh waktu yang sama. Kedua-dua
pemikiran tersebut sebenarnya negatif, tetapi pemikiran yang pertama
adalah pemikiran yang sihat dan baik. Manakala cara yang berikutnya
membuatkan anda menjadi korban daripada keadaan tersebut.
Falsafah yang fleksibel
Setiap orang yang mempunyai keinginan dan cita-cita tentunya mempunyai
falsafah hidup masing-masing. Falsafah yang fleksibel mampu membantu
anda menjadi korban dari keadaan tersebut. Misalnya, anda mengimpikan
cinta dan perhatian. Bila anda merasakan keinginan tersebut adalah sepatutnya, anda akan merasakan kekecewaan yang sihat
jika anda tidak mendapatkannya.
Namun begitu, emosi anda akan terganggu bila anda cuba mengubah
keinginan fleksibel menjadi satu tuntutan mutlak terhadap cinta dan
penerimaan, yang pada dasarnya anda tidak mampu untuk mendapatkannya.
Jadi lebih baik seandainya anda berkata: Saya ingin dicintai
tetapi saya tidak harus memiliki cinta itu. Adalah mustahil
setiap apa yang kita inginkan boleh dimiliki. Oleh itu, janganlah
menjadikan segala keinginan itu sebagai suatu perkara yang harus dan
mutlak. Dengan cara demikian anda dipercayai tidak akan mengalami
tekanan batin.
Andaikata,
anda memohon pekerjaan yang sangat diinginkan, tetapi permohonan anda
telah ditolak. Sudah pasti anda kecewa ketika itu. Namun realitinya
anda tidak perlu memikirkan mengapa permohonan itu ditolak. Hasilnya
anda dapat menerima kenyataan itu dengan dada yang lapang. Ertinya
anda berfikir secara sihat. Berfikir
cara sihat itu sendiri meliputi tiga perkara utama. Pertama, anda
harus mengakui situasi itu. Kedua, anda harus mengakui yang anda tidak
menyukai keadaan tersebut dan ketiga, anda harus memutuskan apakah
anda ingin mencuba keadaan itu atau tidak.
Menerima kenyataan bukan bererti anda menyerah begitu sahaja
sehingga tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubahnya. Ini bererti
anda mengakui bahawa keadaan tersebut memang sedemikian. Anda mencuba
untuk mengubah keadaan tersebut bila anda mahu. Pandangan atau
pendapat ini jauh lebih sihat dan seimbang terhadap dunia sehingga
memungkinkan anda untuk tumbuh dan berkembang.
Mengembangkan tolerasi terhadap
kegagalan
Kesihatan emosional yang baik bermula dengan keseimbangan
antara kepentingan anda dalam jangka masa pendek atau panjang. Bagi
mencapai keseimbangan adalah penting untuk melahirkan tolerasi atau
kesabaran dalam menghadapi kegagalan. Dalam keadaan yang tidak
menyenangkan dan sukar, anda dapat bertahan dalam jangkamasa pendek
dan selanjutnya anda dapat mencapai tujuan dalam jangka yang lebih
panjang.
Setiap orang harus membuat keputusan yang mempengaruhi hidupnya,
sama ada masa kini mahupun masa akan datang. Jika kepentingan jangka
panjang atau pendek itu saling bertentang, maka anda seharusnya
membuat pilihan. Tetapi jika anda terus mengabaikan keinginan jangka
pendek sehingga anda dapat mengejar tujuan jangka panjang, anda tidak
akan mendapat banyak kesenangan dalam hidup. Sedangkan bila anda terus
menerus terpaku atau menyerah kepada situasi kini dan tidak memikirkan
masa hadapan, maka hidup anda akan menjadi dangkal dan tidak mempunyai
tujuan.
Bila anda seringkali menunda masalah, menjalani kehidupan yang
tidak berdisiplin dan keluar untuk menghindari pertentangan,
kemungkinan anda akan memiliki tahap toleransi yang rendah terhadap
rasa kecewa. Akibatnya, keinginan anda yang masih belum tertunai akan
menyebabkan anda mencuba cari jalan pintas untuk menyelesaikan
permasalahan itu dengan tindakan lain seperti merokok, minum minuman
keras (semoga dapat dihindari) atau makan terlalu banyak.
Mengembangkan sikap yang baik
Hubungan dengan diri sendiri secara tidak langsung mempengaruhi
hubungan anda dengan orang lain. Itulah sebabnya amat penting untuk
anda belajar menyukai diri sendiri sebelum berhubungan dengan orang
lain. Perkara ini meliputi:
·
Penerimaan diri Terimalah bahawa anda mempunyai
kelemahan dan harus berusaha untuk mengubahnya.
·
Megah dengan peribadi Tada sesiapapun yang mempunyai
sifat seperti anda iaitu kekuatan, kelemahan atau minat. Maka jika
anda suka melihat kereta berlalu, jangan biarkan sikap mencemuh orang
lain mempengaruhi diri anda.
·
Mengembangkan minat peribadi Pada dasarnya bererti
memperhatikan kepentingan anda sendiri serta tetap menghormati
komitmen anda pada orang lain.
·
Menghormati komitmen diri sendiri Utamakan kegiatan
dan berjanjilah pada diri
sendiri untuk melakukan hal yang anda utamakan.
·
Mengembangkan sikap yang sihat terhadap tubuh badan anda
Tanpa menjadi fanatik, kembangkan program perawatan kesihatan
untuk hidup lama dan kesihatan emosi yang baik.
·
Belajar merawat diri sendiri Turut serta dalam
program atau kegiatan yang anda suka, atau carilah ketenangan, perkara
ini amat penting kepada kesihatan emosi anda.
·
Menetapkan status, prinsip dan nilai diri Berusaha
menyesuaikan dengan perkara tertentu. Anda tidak akan selalu berhasil,
belajarlah melalui pengalaman dan cuba lagi.
·
Jujur pada diri sendiri dan orang lain Cubalah untuk
tidak menyembunyikan perasaan sebenar dalam usaha untuk hidup dalam
suatu citarasa yang ideal dari dalam diri anda sendiri. Jujur pada
orang lain bererti tidak takut untuk menunjukkan pada mereka siapa
diri anda yang sebenarnya. Sesungguhnya kesedaran ini menjadi idaman
setiap individu yang rasional dan tidak dihantui perasaan yang menekan
hidupnya, misalnya akibat perpisahan dengan orang yang disayangi.
Mengembangkan perasaan negatif
yang sihat
Perasaan negatif seperti gelisah, menyesal, sedih, kecewa dan
kesal, semuanya itu merupakan perasaan yang sihat dan baik. Sebabnya
semua perasaan itu timbul dari keinginan yang tidak kesampaian.
Bagaimanapun, perasaan negatif seperti cemas, rasa bersalah,
tertekan dan marah, semua itu adalah perasaan yang tidak sihat.
Perasaan itu timbul dari tuntutan mutlak yang tidak dapat dipenuhi.
Perasaan menyesal, misalnya, timbul bila anda melakukan sesuatu
kesalahan, perkara itu adalah untuk menyedarkan anda bahawa manusia
itu tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Bila anda telah
melakukan kesalahan, anda akan cuba tidak mengulanginya atau membuat
sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.
Tetapi, jika anda merasa bersalah, hal ini akan membuat anda
merasa sebagai orang yang tidak baik dan jahat. Bila anda percaya
bahawa anda memang orang yang tidak baik anda akan berterusan
melakukan perbuatan seumpama itu.
|