|    
          
           MEMILIH
          DIAM
          
           Oleh
          Hasyuda Abadi, IPS
          
           KATA seorang sahabat,
          kehidupan ini menyediakan insan dua pilihan. Menang dan kalah. Benar
          dan salah. Bahagia dan derita. Dan segala macam yang mempunyai nilai
          yang bertentangan makna. Hanya satu sahaja pilihan-pilihan itu akan
          dimiliki, katanya lagi. Jika memilih kalah tentu melupakan tentang
          kemenangan meskipun itulah yang diimpikan. Jika tidak bahagia pasti
          derita jawapnya apabila diajukan pertanyaan: apakah anda bahagia? 
          
          
          
                      
          Akhirnya kita dipinta membuat pendirian. Mesti memilih salah
          satu, bukan kedua-duanya sekali. Bukan juga tanpa membuat pilihan.
          Mustahil kita tiada pendirian langsung terhadap pilihan itu. Tanpa
          melakukan pilihan kita akan dikatakan tidak berpendirian. Kita akan
          dipersoalkan. Sahabat itu bercerita lagi dan inilahlah ceritanya:
          
          
          
           Apakah aku masih
          berpeluang menjadi insan seperti insan lain yang mulia? Ah, soalan ini
          bukanlah aku yang akan menjawabnya. Bukan juga orang lain kerana orang
          lain hanya tahu menilai daripada perspektif mereka sendiri, yang
          selalunya berbau kezaliman yang amat nyata. Kecuali yang ada
          pertimbangan tapi itupun bersebab. Aku memang terlalu kerdil. Aku
          sebenarnya ingin melawan kata hatiku sendiri. Aku ingin menjadi insan
          yang teguh dan berpendirian. 
          
          
          
           Memang aku harus
          memiliki pendirian. Aku mesti mengekalkan pendirian itu. Aku telah
          berani melaluinya. Sambil pada waktu yang sama meninggalkan yang lain.
          Walaupun tak ada kesedihan tetapi kenangan selalu mengajar dan
          mengingatkan kesiapaan aku itu. Kehadiran aku di antara sesiapa yang
          membentuk peribadi, pemikiran dan juga pendirianku. Aku kini tidak
          punya kedudukan yang jelas dalam sebuah institusi keluarga. Apakah aku
          harus menafikannya atau aku harus juga berkata bahawa aku masih berada
          di dalamnya walau tanpa sesiapa. Keluargaku adalah diriku sendiri. Aku
          menjadi pemimpin kepada diriku sendiri. Apakah aku berjaya memimpin
          diriku yang juga elemen sebuah pembentukan keluarga? 
          
          
          
           Terlalu banyak persoalan
          yang mendambakan jawapan meski bukan saat begini. Aku menjadi semakin
          kurang gerak. Aku mencari diriku yang tiada di antara yang ada.
          Perasaanku dan naluriku yang paling agung untuk diri insan. Ketika aku
          mengabaikan yang lain aku juga telah mengabaikan diriku sendiri
          sebenarnya. Aku harus selalu sedar tentang ini. Kerana itu aku harus
          punya pendirian dan meletakkan pendirian itu di hadapan bukan di
          belakang atau pada ketika keadaan yang memaksa sambil berkata aku
          sebenarnya ada pendirian yang harus aku akuri. Ketika aku mengenang
          seseorang, aku harus berani meletakkan pendirianku. Aku tidak harus
          kalah dalam sebuah pertarungan peribadi. Aku melewati ruang yang amat
          mencabar kewibawaan. Mungkin aku lebih memilih diriku dan bermuhasabah
          di dalam lingkunganku tanpa ada sesiapa. 
          
          
          
           Dan sekarang, siapakah
          yang tidak mempunyai pendirian? Aku suka merujuk kepada persoalan diri
          dan seseorang yang pernah mentohmahiku malah lebih teruk daripada itu.
          Aku menjadi malas menghidupkan telefontanganku. Ketika aku memilih
          untuk berdiam diri dan aku tetap dipersoalkan. Dalam banyak hal,
          bukankah berdiam diri itu salah satu jalan untuk mencari jawapan
          kepada pendirianku. Diam juga merupakan suatu bicara yang panjang.
          Hanya tidak menyatakan apakah pilihanku. 
          
          
          
           Salahkah berperilaku
          begini?
          
          
          
           Aku menghilangkan diri
          untuk kembali kepada diriku yang sebenar. Itulah kenyataannya. Selama
          kukeluar dari diriku, entah apakah segala laku yang diperbuat
          sebenarnya betul atau sesungguhnya tidak. Sebenarnya apa yang aku
          inginkan itu benarkah? Atau sesuatu yang kuimpikan itu tidak benarkah?
          Dan menuntut aku membuat pilihan. Aku mesti berpihak kepada diriku.
          Barangkali aku terlalu hipokris. Mementingkan diri sendiri. Mendera
          diri orang lain. Menghancur luluhkan perasaan orang lain. Sengaja
          menyata rasa benci dan sebagainya. Menderitakan kehidupan orang lain
          dan sebagainya. Tapi sebenarnya tidak ada perasaan yang lebih hebat
          selain menerima apa sahaja atas alasan takdir!
          
          
          
           Sedangkan orang lain itu
          adalah … Apakah wajar memperkenalkan seseorang itu? Sudah pasti itu
          bukan jawapanmu untuk suatu saat diamku sering memberikan amaran!
          Siapakah yang tidak kenal seseorang yang telah melalui kehidupannya
          yang diceritakan kepadaku dan entah tiba-tiba aku berada di dalam
          kehidupannya meski hanya untuk beberapa waktu. Waktu yang hanya
          mencuri masa usiaku. Nilai waktuku berharga sewaktu raung ruang
          sunyinya begitu papa walaupun kegelisahannya boleh dibayar dengan
          warna mewah, huluran gantirugi kepada kehilangan erti remajanya.
          Dirimu - seorang primadona yang berani, gigih, tabah dan sangat nakal.
          Maaf, barangkali ada tanggapanku yang tidak disebut dan amat
          mengaibkan. Benar, tanggapanku ini walaupun kehidupan itu tak pernah
          akan berulang. Perulangan merupakan sebuah pembunuhan kepada pendirian
          yang pernah dilafazkan. 
          
          
          
           Barangkali tidak sama
          seperti ketika mengalaminya dalam sebuah kehidupan di sisimu itu
          seseorang tetapi tidak lagi menikmati sesuatu yang mesra. Kemesraan
          hanya pada ketika bulan mengambang penuh dan kau memerlukan bintang di
          langit kelam. Apa saja yang wajar telah menjadi hakmu. Tanggungjawab
          seorang lelaki yang pernah melafazkan takliknya dulu hanya berlaku
          pada huluran wangringgit dan kemewahan serta kebebasan - tidak lebih
          daripada itu. Kebebasan tanpa batas. Ke hulur ke hilir mencanai
          kerinduan terhadap kebebasan yang dipenjarakan oleh status seorang
          suri. Insan apakah ini? Dan wajarlah sewaktu aku menggelarinya seorang
          yang hipokrit hanya tahu untung diri sendiri sambil pada masa yang
          sama akulah menjadi sasaran hingga aku dipenjarai diamku.
          
          
          
           Begitukah insan?. Baik
          fikirannya atau tingkah lakunya yang sering berubah-ubah. Juga
          pendiriannya. Perubahannya ialah bertukarnya pendirian seseorang. Oleh
          kerana tiada pilihan lain pendirian baru mesti dinobatkan. Pendirian
          baru mesti direalisasikan. Walaupun terpaksa membunuh pendirian lama.
          Pendirian yang pernah diikatjalin dengan kemas. Pendirian yang pernah
          digambarkan sebagai sebungkah emas yang amat bernilai. Tapi hanya
          waktu-waktu tertentu sahaja selagi belum menemui pendirian yang baru.
          Akhirnya pendirian itu tidak menjadi suatu yang benar. Waktu yang
          dilalui berlalu seperti tidak berlaku apa-apa. Pandangan menjadi
          seperti biasa. Lautan tetap berombak bergelora. Pasir diubah-ubah
          olehnya. Dan aku menjadi pengunjung mengabadikan riwayat kenangan di
          bawah nyiur dan ru.
          
          
          
           Aku sungguh terkasima.
          Mungkin kenangan itu indah namun ingatan tetap saja menyayat hati.
          Apabila saling bunuh-membunuh pendirian-pendirian yang tidak setegap
          pohon jati, insan tidak dapat memilih jalan yang lebih selamat.
          Selepas ini, entah. Apakah pendirian itu berubah hanya kerana terpaksa
          memilih bahagia? Atau apakah apabila terpaksa memilih menang?
          Rasionalnya, kita harus memilih apa yang benar. Tidak mungkin
          seseorang itu memilih yang salah. Walaupun ketika memilih benar
          sebenarnya dia memilih yang salah. Padanya tentu tidak seperti yang
          beradu dalam fikiran. Bagaimana mungkin mempercayai seseorang yang
          pernah berkata tetapi menampilkan muslihat yang berterusan. Ah, karut!
          
          
          
                      
          Ketika ingin menyampaikan sesuatu aku masih mencarinya meskipun
          yang bergerak hanyalah sebuah perjalanan mindaku. Ketika suatu hari
          yang paling bahagia untuk dirinya, tentunya, aku ingin mengutus kad
          ucapan sebagai tanda masih ada ingatanku untuknya. Tapi siapakah yang
          mahu membacanya jika tiada jalan yang membolehkan dia menerimanya.
          Ketika puteriku mencadangkan, ayuh kita cari seseorang itu. Mungkin
          itulah jalannya. Tetapi apakah jalan itu betul? Apakah jalan itu tepat?
          Apakah jalan itu boleh menemukan sesuatu atau boleh membunuh
          pendirianku?
          
          
          
           Akhirnya aku memilih
          berdiam diri. 
          
          
          
           Aku mendekati seseorang
          yang lain, yang lebih membawa pengertian. Mendekati seseorang yang
          kukagumi. Seorang anak bangsa yang berani. Seorang warga negarabangsa
          yang teguh menancapkan pancang-pancang kebenaran, pancang-pancang
          keadilan.
          
          
          
           Semua orang dipinta
          membuat pendirian mereka hanya kerana mahu meletakkan seseorang itu di
          tempat yang mereka sediakan iaitu kejatuhannya. Dan seperti diriku,
          tanpa pendirian akan dipersoalkan. Seseorang akan dipersoalkan
          kedudukannya dalam suatu organisasi kerana semata-mata tidak
          menyatakan pendirian mereka. Walaupun mereka tahu bahawa pendirian
          yang ingin dinyatakan itu sesungguhnya akan membunuh pendirian sebenar
          mereka.
          
          
          
           Aku bosan membaca surat
          khabar atau menonton tv. Membuka situs demi situs 
          pada internet untuk mengalihkan sasaran minda daripada hanya
          membaca segala macam kepalsuan. Aku percaya kepada ketakpercayaan yang
          dilaung-laungkan. Aku percaya kepada ketaktelusan kata-kata yang
          diluahkan. Aku percaya kepada pendalihan yang ditabiri tohmahan,
          penghinaan, tuduhan dan sampai ke puncak kezaliman abad lalu. Tapi aku
          tak percaya kepada keangkuhan yang menebang pohon-pohon keadilan.
          Kemajuan bangsa dan negara bangsaku tidak punya erti apa-apa jika
          kemakmurannya telah dipadangjarakkan oleh sifat-sifat paranoid dan
          megalomania.
          
          
          
           Di manakah diri kita
          saat ini? Sahabat itu menciri dirinya. Di manakah erti kemerdekaan
          kita pada saat ini. Apakah makna kemerdekaan yang telah kita lalui
          selama empat puluh lima tahun itu akan hapus begitu sahaja. Hanya
          kerana ingin mempertahankan sesuatu segala yang haram diubah menjadi
          halal. Agama menjadi komoditi politik. Undang-undang menjadi senjata
          dan ugutan. Raksasa kuasa mencengkam segala bidang dalam banyak
          perkara. Nafsu sarakah meluap-luap membakar kemurnian ciptabistari
          pembangkit revolusi. Memantau penganiayaan sebagai suatu kepastian dan
          menjadi suatu kemestian. Membunuh peribadi seseorang dengan ketajaman
          kuasa dan menyalah ertikan kesucian kuasa itu semata-mata kerana
          kegusaran yang keterlaluan. Paranoid!
          
           Barangkali kita harus
          bertanya, adakah diri kita saat ini. Saat kita menyatakan sebuah
          pendirian yang dipaksakan. Benarkah kehadiran kita itu merupakan
          kehadiran yang sebenarnya. Aku semakin bingung melalui semua ini. Aku
          seperti insan kecil yang lain semakin dirungsingkan, semakin
          dibingungkan dan semakin dicurigakan. 
          
          
          
           Ketika anda bertanya,
          aku akan menjawab begini: yang mengetahui hanyalah diriku sendiri.
          Yang menghayati kehidupannya sendiri hanyalah diriku dan tak mungkin
          ada yang memahami. Aku melalui perjalanan yang telah kulakukan dengan
          penuh kesengajaan walaupun aku tidak pernah tahu di hujungnya ada apa,
          apa dan apa serta bagaimana. Selain mengimpikan sesuatu tetapi sesuatu
          itu juga terlalu awang-awang dan angan-angan meskipun aku telah
          menghayatinya. Ada keyakinanku untuk mencapai ilusiku itu tetapi
          siapakah yang boleh menerima jika kukatakan begitu? Tak ada lain
          selain hatiku sendiri. Dan Tuhan sebenarnya. Aku tahu Dia amat murka
          kepadaku. Tapi aku tahu masih ada ruang untukku pulang. Pulang ke
          rumahku yang sebenar iaitu diriku sendiri.
          
          
          
           Dan aku tetap memilih
          diam! 
          
          
          
           “Hanya burung-burung sunyi mengerti
          
          
          
            angkasa
          rasa ini
          
          
          
            kembara
          yang berdenyut
          
          
          
            bunyi
          irama 
          
          
          
            mengakrab
          lestari
          
          
          
            mahabbah
          mengakar abrar
          
          
          
            
          
          
          
            Hanya
          perjalanan memahami hari
          
          
          
            yang
          dilalui
          
          
          
           merawat
          riwayat luka
          
          
          
            
          
          
          
           Hanya
          dibasahi gerimis senja
          
          
          
           gelombang
          terakhir tak menyapa apa-apa
          
          
          
           dari
          bibir hanya bungkam dalam derunya
          
          
          
           biarlah
          amarah dibasahi diam yang memenjara.”
          
          
          
            
          
          
          
           21 OGOS 2002
          
          
          
           
          Hak Cipta Terpelihara © Hasyuda Abadi, 2002 
          
           (Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, tidak
          ada kaitan kepada sesiapa sama ada hidup mahupun yang telah mati -
          Pengarang)  
 
          
          
           |