CATATAN-CATATAN
DI
JAKARTA
Oleh
HASYUDA ABADI (yang menyertai Bengkel Puisi I MASTERA di Jakarta)
KETIKA
pesawat Penerbangan Malaysia mendarat di lapangan terbang
Soekarno-Hatta, Cengkerang, saya tidak sabar untuk menjejak bumi
Indonesia yang pernah saya baca dan dengar. Selepas beratur begitu
lama untuk pemeriksaan imigresen barulah saya tahu keadaannya, cuaca
dan manusianya yang memiliki dunia yang berbeza dengan dunia negara
saya. Keluar dari salah satu pintu lapangan terbang seumpama keluarnya
saya dari pintu gua sedangkan di hadapan saya adalah suasana hingar
bingar, kesibukan yang luar biasa. Saya seolah-olah bermimpi kerana
sudah berada di tempat yang amat saya impikan selama ini untuk
menggali sebaik mungkin peluang-peluang ilmu yang dimiliki para
pengarang mahupun penyair-penyair besarnya.
Saya
dapat membayangkan betapa bertuahnya ketika itu terutama sekali dapat
interaksi dengan ramai pengarang-pengarang besar Indonesia khususnya
Taufiq Ismail (editor kanan majalah Horison), Prof Dr.Sapardi Djoko
Damono (Dekan Fakulti Sastera, Universiti Indonesia) dan Dr. Abdul
Hadi W.M. (Bayt Al-Quran dan Muzeum Istiqlal) kerana kebetulan mereka
menjadi pembimbing utama bengkel puisi Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA)
yang saya hadiri. Mereka memang mempunyai pengalaman yang tidak
mungkin diragui. Pengalaman mereka dalam dunia sastera khususnya puisi
cukup luas dan amat mengesankan.
Salah
seorang anggota panatia Bengkel Puisi MASTERA, Drs. Abdul Rozak Zaidan
memberi tahu bengkel tidak diadakan di Bogor. Amat amalang sekali
katanya. Bogor menurut beliau merupakan sebuah bandar yang terletak di
sebuah pergunungan yang indah dan damai tetapi akibat kejatuhan nilai
mata wang rupiah yang melanda Indonesia, aktiviti ini diubah tapak ke
Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa di Jakarta.
Bengkel Puisi Mastera
pertama ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Pendidikan
dan Kebudayaan Indonesia, Prof Ing Wardiman Djojonegoro bersekali
dengan pelancaran Bulan Bahasa dan Sastera Indonesia 1997.
Aktiviti tahunan Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa
Jakarta ini menyediakan program-progam yang menarik. Antaranya,
Sayembara Penggunaan Bahasa Indonesia, Sayembara Mengarang Siswa,
Lomba Deklamasi Siswa, Dialog Sastera dan Pameran Kebahasaan.
Peserta-pesertanya terdiri daripada para pelajar, kakitangan kerajaan
(karyawan) dan sasterawan Indonesia.
Saya melihat
apresiasi sastera dan penggunaan bahasa yang baik harus dimulai di
peringkat remaja. Golongan ini yang rata-rata berada di alam
persekolahan dan institusi pendidikan tinggi memberi pulangan yang
berkesan dalam usaha menyemai bibit budaya kita. Memang ini sudah
diamalkan di Malaysia. Sebab itu ceramah dan dialog sastera di samping
program-program khusus kepada golongan ini begitu diambil kira. Apatah
lagi sastera tidak diajar secar meluar di sekolah-sekolah di
Indonesia. Keadaan ini amat berbeza di negara saya. Dari tahap satu
hinggalah ke peringkat universiti, sastera tidak asing di kalangan
pelajar kita. Rakan-rakan penyair muda Indonesia terkejut apabila kami
nyatakan buku karya pengarang kontroversi mereka, Pramoedya Ananta
Toer pernah menjadi buku teks pelajar-pelajar menengah di Malaysia.
Bentuk Kendalian Bengkel
Ada beberapa kelainan dan menjadi
pengalaman saya dari Bengkel Puisi Mastera ini. Pertama, kami mendapat
kebebasan yang banyak dan ini memberi ruang kepada para peserta
berinteraksi secara berkesan dengan peserta-peserta lain dan para
pembimbing serta pihak panatia. Bagaimanapun, keadaan ini tidak sesuai
dengan kebiasaan di Malaysia yang menitikberatkan disiplin dan
menepati masa. Saya akui disiplin dan mengambil kira masa begitu tidak
diambil perhatian langsung oleh para peserta. Masa begitu banyak
terbuang dan pihak panatia menganggapnya sebagai biasa.
Kedua,
kami dibahagikan kepada tiga kelompok atau kumpulan dengan menggunakan
nama penyair-penyair terkenal di ketiga-tiga negara iaitu Usman Awang
(Malaysia), Baharuddin H.O (Brunei) dan Amir Hamzah (Indonesia). Saya
diletakkan dalam kelompok Amir Hamzah bersama-sama dengan Husnul
Khuluqi, Drs. Ahmad Syubbanuddin Alwy, Widodo Arumdono dan Hajah
Shaharah Dato Paduka Haji Abdul Wahab.
Biasanya
pembahagian peserta dalam kelompok tidak begitu meyakinkan tetapi
dalam bengkel ini adalah sebaliknya. Inilah kelainan ketiga yang saya
alami. Setiap kelompok
akan diketuai oleh seorang penyair yang bertindak sebagai pendamping.
Pendamping-pendamping didatangkan dari setiap negara. Semua negara
telah menghantar wakil sebagai pendamping kecuali Malaysia yang
berhalangan di saat-saat akhir. Kelompok saya diwakili oleh Acep
ZamZam Nor, penyair dan pelukis terkenal yang berasal dari Tasikmalaya,
Jawa Barat.
Selain
bertindak sebagai pembantu pemimbing utama, pendamping berperanan
sebagai pengantara dalam sesebuah sessi bengkel. Mereka menjadi
pengerusi kepada perbincangan para peserta sambil bertindak mencatat
setiap isi diskusi dan akan melaporkannya kepada panatia seselesainya
bengkel tersebut. Pembimbing utama mengikuti perbincangan sepanjang
sessi tetapi tidak campur tangan ketika perbincangan berjalan.
Akhirnya mereka akan berinteraksi dengan para peserta apabila waktunya
tiba. Mereka akan memberi tunjuk ajar, pandangan dan komen berhubung
dengan topik, menceritakan sejarah penulisan dan sejarah kepenulisan
masing-masing.
Pada hari pertama bengkel, satu
sessi yang penting dijalankan dengan pembabitan wakil daripada
ketiga-tiga negara menyampaikan kertas kerja mengenai perkembangan
puisi dan penyair masing-masing. Malaysia diwakili oleh Hazami Jahari
dan Mattaib Nordin dari Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Indonesia
diwakili oleh Drs. Ahmad Syubbanuddin Alwy dan Cecep Syamsul Bari
manakala Brunei diwakili oleh pendampingnya Haji Jawawi Haji Ahmad dan
Sariani Haji Ishak dari Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Perbincangan
cukup hangat dan menarik perhatian peserta. Buat pertama kali
penyair-penyair muda dari negara-negara serantau mengenengahkan
sejarah, visi, falsafah dan perjuangan penyair-penyair muda negara
masing-masing. Kami memperolehi pengalaman dan maklumat baru mengenai
cuaca dan alam pengkaryaan dari ketiga-tiga negara. Interaksi yang
berlaku cukup mesra walaupun ada waktunya timbul masalah seperti
percanggahan nilai, istilah dan sense akibat
perbezaan sistem politik pemerintahan negara. Berkenalan dengan
penyair-penyair muda Indonesia dan Brunei
misalnya Acep Zam-zam Nor, Agus R.Sarjono, Drs. Ahmad
Syuhbanuddin Alwy, Cecep Syamsul Hari, Wowok Resti Probowo, Oka Rusmini,
Iyut Fitra, Suip, Hajah Shaharah, Sariani dan lain-lainnya memberi
nyawa baru untuk memahami dunia lain yang lebih global.
Kehadiran
saya dalam bengkel ini sebenarnya tidak dengan tangan kosong. Saya
telah mengumpul 58 buah puisi yang pernah tersiar di akhbar dan
majalah. Kumpulan Puisi ‘Akar Cahaya’ dijadikan buah tangan
untuk dibincangkan dalam sessi bedah karya. Sessi ini amat bermakna
kepada kami kerana ruang yang disediakan telah memberi peluang kepada
para peserta memberi tanggapan, kritikan dan saranan sehingga akhirnya
memperbaiki karya itu sendiri.
Perbincangan
memang hangat; ada kalanya mencuit dan mencubit rasa. Saya mengesan
keraguan peserta Indonesia memberikan komen mereka terhadap karya dari
Malaysia dan Brunei, walaupun sesekali kritikan menenggelamkan
keajaiban teknik penulisan puisi kami. Saya menerima kritikan mereka
dengan hati yang terbuka kerana itulah cara yang paling berkesan
bagaimana kita boleh memperbaiki diri untuk menghasikan karya yang
baik dan bermutu. Saya juga tidak malu-malu mempertahankan sikap saya
terhadap bentuk penulisan saya dan konsep penulisan yang diamalkan di
Malaysia. Begitu juga ketika membedah puisi-puisi penyair-penyair
sebaya Indonesia. Tidak timbul masalah low-profile yang harus
disingkir dari diri kita. Perbezaan tidak ketara antara kami bahkan
membaca karya-karya mereka kelihatan tidak banyak bezanya berbanding
karya penyair-penyair kita.
Majlis
Sastera Asia Tenggara akan menerbitkan puisi-puisi yang dibengkelkan
melalui Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Jakarta.
Lawatan ke Istana Bogor, Muzium
Istiqlal dan Kantor Horison
Memang
banyak bezanya antara Jakarta dengan Bogor. Bogor seperti Kundasang di
Sabah, iklimnya lembab, tiada jerebu ketika itu, sejuk dan di situ
memungkinkan para seniman dapat menjana ilham dan kreativitinya.
Ketika sebilangan besar menghadapi jerebu yang kronik, hujan turun
dengan kerapnya di Bogor.
Sebagai
kenang-kenangan kami telah berpeluang melawat beberapa lokasi penting
di Indonesia. Kami dibawa melawat Istana Bogor, yang menjadi tempat
penginapan Presiden Soekarno dan keluarganya suatu masa dulu termasuk
bilik Megawati Soekarnoputri, pemimpin pembangkang utama Indonesia. Di
dalam istana ini dipenuhi pelbagai bentuk patung, lukisan dan
kelengkapan rumah yang menarik. Menurut ibu yang menyelaras para
pelawat, patung-patung berbentuk wanita yang terdapat di sekitar
istana merupakan hadiah daripada para diplomat asing kerana Seokarno
amat menyenangi wanita. Soekarno juga merupakan seorang seniman dan di
dalam istana ini peluang melihat lukisan-lukisannya tentu tidak akan
disesiakan terutama sekali sebuah lukisannya yang berjudul ‘Sarina’.
Kawasan
istana ini luas sebenarnya. Bangunan istana amat indah, cantik dan
kukuh memang wajar menjadi lambang kebanggaan warga khsususnya di
Bogor sendiri. Di hadapan istana merupakan sebuah tasik yang dihiasi
tumbuhan teratai. Jauh ke tepi merupakan padang yang luas, tumbuhnya
pohoh-pohon rendang dan lebih menarik lagi dengan kehadiran puluhan
ekor kijang.
Di
kesempatan yang lain, kami dibawa pula melawat ke Bayt Al-Quran dan
Muzeum Istiqlal; merupakan sebuah muzeum musyaf al-Quran dan
terkumpulnya khazanah lama mengenai perkembangan Islam di Indonesia
yang mula beroperasi pada 20 April 1997. Muzium ini terletak di
kawasan Taman Mini Indonesia Indah. Saya berasa amat bertuah kerana
mendapat peluang bermakna menjejaki muzium ini. Bukan hanya disebabkan
bangunannya indah tetapi saya berpeluang melihat sendiri himpun bahan
klasik khazanah Islam termasuk pelbagai corak musyaf yang berasal dari
alam hias Nusantara mulai dari Aceh sampai Timor Timur, dari Tidore
dan Ternate sampai ke Irian Jaya; dan juga dari negara saya sendiri.
Sebuah musyaf al-Quran yang terbesar diletakkan dalam sebuah bilik
kaca. Al-quran ini dihiasi dengan ukiran Musyaf Wonosobo, ditulis
dengan tangan oleh Abdul Malik dan Hayatuddin, santri dari Pondok
Pasentren al-Asy’ariah Kalibeber Wonosobo;
dan disiapkan selama 14 bulan (16 Oktober 1991 hingga 7
Disember 1992). Dalam taklimatnya, Dr. Abdul Hadi W.M. menyatakan
program muzium untuk mempelbagaikan lagi bahan-bahan pameran dan
artifek-artifek lama supaya dapat dijadikan pusat rujukan utama para
pengkaji di rantau ini.
Kami
juga sempat melawat kantor baru majalah Horison. Ikanegara dan Taufik
Ismail, sidang redaksi Horizon menceritakan sejarah majalah sastera
yang berusia 30 tahun itu. Majalah Horison juga turut mengalami
pembaharuan apabila kurang sambutan masyarakat yang disebabkan oleh
berbagai kendala. Merosotnya minat membaca bahan-bahan sastera, tiras
rendah buku sastera, surutnya kritik sastera, masih berlaku larangan
terhadap buku sastera, susutnya mutu dan jumlah karya sastera adalah
antara lain hal-hal kronis yang harus ditangani oleh komuniti sastera
Indonesia. Untuk itu,Horison memanjangkan penerbitannya ke
sekolah-sekolah dengan menyediakan sisipan Kaki Langit. Kaki
Langit menampung karya-karya para siswa dan guru-guru mereka di
samping pemaparan karya-karya para pengarang ternama Indonesia sebagai
usaha menanam apresiasi sastera di kalangan mereka. Kami juga
mengajukan pemintaan agar naskah Horison dipasarkan ke Malaysia dan
Brunei secara berterusan.
Pengalaman Kecil Selalunya Berharga
Berada
di kota Jakarta akan menzahirkan sebanyak mungkin karya-karya kreatif
kerana di sana kita akan melihat pelbagai hal yang baru terutama
sekali mengenai budaya mereka. Saya tidak dapat melupakan pertama kali
menjamu makanan di sebuah Gerai Makan Minang setelah dipelawa oleh
Drs. Abdul Rozak Zaidan, penyelaras bengkel. Kami duduk seperti biasa
tanpa pelawaan pelayan. Tiba-tiba seorang pelayan lelaki membawa
makanan dan meletakkan di hadapan kami walaupun tidak dipesan. Di
hadapan kami pada masa itu merupakan pinggan-pinggan yang membukit,
berisikan lauk-pauk yang kurang menyelerakan. Ini budaya di sini
agaknya, fikir saya.
Rakan
saya Hazami seorang Pegawai DBP Kuching memandang saya sambil berbisik,
kalau lapar apa yang ada di depan tu, lanyak saja! Saya tidak berkata
apa-apa, menjamah nasi dan lauk semampu perut yang sedang lapar.
Keesukan harinya ketika kami berjalan-jalan disebuah pasar berhampiran
tempat penginapan kami, saya melihat keadaan yang kurang menyenangkan.
Saya teringat ketika makan malam tadi. Saya amat kesal tapi itulah
situasinya walaupun kita tidak menyenanginya. Saya mengambil
kesimpulan bahawa kebersihan memang wajar diambil perhatian oleh
sesiapa sahaja di mana-manapun, walaupun di tempat itu dihuni oleh
jutaan penduduk, seperti Jakarta.
Dalam
kesempatan yang ada, saya telah menulis beberapa buah puisi perjalanan
yang dicatat semasa berada di Jakarta, Bogor, Kuala Lumpur dan
berakhir di Kota Kinabalu. Melalui suntikan pengalaman baru dan
penghayatan terhadap masalah sejagat,
sejarah, tokoh dan hal-hal yang bersangkut-paut dengan dunia peribadi
yang berbadai, saya amat produktif sekali. Buah fikiran saya mengalir
deras. Saya selalu teringatkan kampung halaman, anak-anak,
isteri tersayang,
negara tercinta
dan bangsa
yang jauh tetapi dekat sebenarnya. Puisi-puisi berkenaan saya
himpun di dalam kumpulan puisi Datang Kembali sebagai tatapan
khalayak saya - para penyair, pelajar, guru-guru saya, rakan-rakan,
anak-anak kecil yang bakal dewasa bahkan para buruh yang banyak
mengeluarkan keringat mereka demi merealisasikan makna pembangunan.
Kumpulan Puisi ini telahpun diedarkan untuk tatapan pembaca, para
penulis dan peminat sastera.
Pengalaman
di Jakarta dan di tempat-tempat lain, tidak dapat saya ukur hanya
dengan kata-kata, namun yang jelas saya banyak belajar terutama sekali
bagaimana sesebuah karya itu boleh menyediakan makna yang tajam dan
luar biasa hanya melalui pemilihan diksi yang tepat. Saya juga berjaya
melihat bentuk, kecenderungan dan jati diri ketika mentransformasikan
puisi-puisi kepada khalayak.
Tahun
1998 bengkel cerpen MASTERA pula akan diadakan. Mudah-mudahan salah
seorang cerpenis yang terbaik dari negeri Sabah akan terpilih. Jika
berlaku, saya sarankan supaya menggunakan peluang yang ada dengan
sebaik mungkin. Semua orang memang inginkan peluang yang kecil untuk
dirinya seumur hidup tetapi peluang yang kecil itu menjadi ruang yang
besar untuknya seumur hidup jika dimanfaatkan sepenuhnya.
|