SASTERA DAN PERMASALAHANNYA DI SABAH
oleh Hasyuda Abadi
KITA
di Sabah ini amat beruntung kerana sentiasa dicahayakan ilmu yang
tidak selalu dialami orang lain di tempat lain. Seminar demi seminar
menjejakkan pengalaman kita untuk mendengar, menghalusi, menghayati
mauduk demi mauduk para ilmuan yang tidak putus-putus mengisi wacana
yang disediakan.
Hanya
barangkali, apakah seminar-seminar ilmu itu tetap relevan dengan
kehidupan kita yang serba dicerca merbakan oleh kehidupan-kehidupan
materialistik tanpa menghiraukan berlakunya lambakan ilmu yang
bukan-bukan. Pandangan ini memang tidak disenangi tetapi ia tetap
boleh dihujahkan. Rupanya benarlah bahawa tokoh seseorang sering
memberikan cerminan kepada kita. Memang kita diminta agar melupakan
apa jua yang bersifat negatif terhadap sesuatu atau terhadap individu
itu meski apa pun keadaannya. Yang ingin kita petik ialah buahnya yang
membahagiakan, memberi guna untuk kehidupan. Malah untuk yang lebih
besar kepada bangsa dan agama kita. Bangsa kita yang masih mengarahkan
hala yang kurang jelas, masih diperhujah rentak dan bentuknya. Yang
berkuasa itu siapa dan bagaimana kuasa itu dominan kepada bangsa kita.
Kita masih mengira matematik dalam bacaan yang sentiasa diperbaiki.
Eksperimen kita terus berjalan tanpa sebarang konklusi.
Kita
berhujah tentang hal-hal yang biasa dan lumrah. Seorang pengarang
berhujah karya kita belum mantap. Para sasterawan tidak menulis
cereka-cereka yang besar dan kurang meyakinkan, tidak membantu
mendewasakan Mereka tidak tampil membicarakan permasalahan global dan
permasalahan lokal secara terbuka. Soal tanah yang dirampok, soal
kegilaan dalam berpolitik, kegilaan mengejar harta, kegilaan
menonjolkan diri dan sebagainya lagi wajar sekali dibincangkan. Mereka
juga perlu keluar dari kepompong peribadi dan mengarah ke dunia luar
yang kacau, bobrok, resah, derita dan sebagainya.
Masyarakat
harus mengetahui dan diberi maklumat yang baru dan betul. Dalam apa
cara sekalipun. Media yang mempunyai peranan besar perlu meletakkan
usaha yang lebih telus dan terbuka. Apakah media sudah bertindak lebih
terbuka dan bebas? Apabila kita menulis tentang kebenaran apakah
lambakan justifikasi kebenaran itu berjaya sampai ke pembacaan
masyarakat? Kita ingin menegakkan kebenaran bukan meletakkan kesalahan
melulu kepada pihak-pihak yang ada kepentingan tetapi apakah apa yang
kita fikirkan itu sedia diperkirakan kebenarannya? Teater Bagaton,
sebagai contoh, tidak dapat dipersembahkan pada masanya, kerana
dikhuatiri menyinggung perasaan etnik masyarakat lain. Ini seolah-olah
menjelaskan betapa sempitnya pemikiran masyarakat kita. Sensitiviti
mereka hanya ke arah yang kecil apabila dikaitkan dengan pembinaan
bangsa Malaysia itu sendiri.
Pihak
media pula mengambil sikap acuh tak acuh terhadap karya-karya sastera
kita. Selain tidak memberi penghargaan sekurang-kurangnya honororium
mereka juga terlalu mengabaikan mutu sesebuah karya. Akhbar mengambil
mudah terhadap penggunaan Bahasa Malaysia sehingga menyebabkan
karya-karya sastera dan tidaksastera kita menjadi seadanya.
Kita
juga kecewa kerana tidak berlaku usaha yang serius membicarakan
karya-karya sastera kita. Misalnya antologi cerpen ‘Dunia Iris’
tidak dibicarakan secara lebih ilmiah. ‘Dunia Iris’ yang dikatakan
bermutu berbanding karya-karya yang tersiar dalam media massa tempatan
seperti tidak diambil perhatian. Namun tentulah tidak adil
membandingkan ‘Dunia Iris’ dengan cerpen-cerpen eceran yang
berlambak di media massa kita. Antologi cerpen sulung Jasni Matlani
ini lebih menyerlah sekiranya kita dapat membuat analisa yang kritis
dengan melakukan perbandingan dengan karya-karya para pengarang
terbaik kita sebelum ini seperti Daniel Jebon Jenaun, Jonathan Kandok,
Zaiton Ajamain, R.Hamzah Dua di samping Azmah Nordin dan Haji Harun
Haji Salleh (allahyarham) tentunya. Betapapun begitu kita harus
memuji kegigihan Jasni menggunakan dana sendiri sehingga lahir sebuah
antologi cerpen pada tahap ini dianggap yang terbaik. Haji Ismaily
Bongsu juga pernah membicarakankan ‘Dunia Iris’ walaupun dalam
bentuk ulasan promosi kerana beliau tidak memberikan kupasan yang
mendalam dengan ilmu bantu yang ada.
Tentulah
apabila membicarakan mauduk sastera kita akan mengaitkannya dengan
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBP). Kita tidak menyedari
kemampuan DBP pada masa ini jauh bezanya berbanding masa lalu walaupun
kita tahu DBP seharusnya lebih baik lagi dalam mengurus hal-hal
berkaitan dengan penerbitan, aktiviti dan pentadbiran lainnya. Namun
begitu hanya DBP sahaja yang berhak menjawab persoalan-persoalan yang
bersangkutan dan sering diperkatakan dalam media. Pandangan Haji
Ismaily Bongsu dalam Kelab Maya Sastera Sabah (Kemsas) agar diadakan
pertemuan untuk membincangkan kedudukan sastera di negeri Sabah secara
lebih telus amat dialu-alukan. Kita perlu bersemuka dan berbincang.
Kita berhak meluahkan segala yang berbuku di kalbu. Kita sedar bahawa
kedudukan DBP tetap menjadi tunggak pemantapan ilmu dalam pemerkasaan
bahasa dan sastera. Persoalan-persoalan yang ditimbulkan bukan baru
tetapi sudah kerap ditimbulkan dan paling akhir sewaktu dialog
korporat tahun lepas seingat saya banyak membicarakan hal yang sama.
Tentu ada silap di mana-mana kerana ia tetap tidak mengubah ke arah
rasional yang kita ingin capai. untuk itu, DBP cawangan Sabah wajar
diberikan kuasa yang lebih untuk menangani permasalahan yang tidak ada
kesudahannya itu. Badan ini juga perlu diberikan dana yang khas untuk
menyemarakkan lagi aktiviti persuratan dengan mengambil kira peranan
persatuan-persatuan penulis yang ada. Ke arah keberkesanannya,
rombakan dan kajian semula terhadap tanggungjawab pegawai dan
kakitangan DBP secara menyeluruh juga amat dialu-alukan.
Menyalahkan
mana-mana pihak untuk mencari jalan yang terbaik tentulah bukan cara
yang sesuai. Tetapi pada saya wajarlah kita mengadakan perhubungan dua
hal secara terus dan telus. Tidak ada ruang yang tertutup untuk
kebaikan tetapi jalan itu tentulah harus ditangani
umpana menarik benang dalam tepung; benang tidak putus, tepuk
tidak berserakan.
|