KRITIK BIJAKSANA

Oleh Hasyuda Abadi

MEDIA kita memang memerlukan karya-karya sastera yang mempunyai nilai sastera yang baik apabila ramai penulis mengambil bahagian. Penulis yang dimaksudkan ialah mereka yang mempunyai ciri-ciri profesi sebagai penulis yang berwibawa. Bersedia menerima pandangan, kritikan dan sebagainya di samping itu tentulah memberikan penilaian yang bijaksana terhadap segala pandangan, kritikan dan teguran pihak ketiga. Namun demikian sebagai penulis juga kita perlulah memilih apakah kriteria kritikan itu; sama ada membina atau tidak. Dan sudah tentu menolak apa jua yang memberikan pandangan yang hentam keromo, membabi buta atau apa yang Bang Maily istilahkan 'mengkritik macam hantu' yang perlu penghujahan seterusnya. Kita punya pilihan ketika menghadapi keadaan begini, samada melihat dari sudut pandangan peribadi atau secara menyeluruh; atau membiarkan saja ia berlalu. Maknanya sesiapa pun yang memperkatakan baik buruk, rendah tinggi, besar kecilnya karya-karya sastera penulis, mereka dipersilakan. Penulis wajar mendengar sambil pada masa yang sama menilai. Jika apa yang diperkatakan itu tidak betul menyalahi kriteria kritikan yang sebenarnya, tidak salah penulis memberikan respons yang lebih bijaksana. Jika si pengkritik itu tersilap wajar dibetulkan (seperti Haji Ismaily Bongsu lakukan dan juga Ailin sendiri terhadap Sepat).

Pada saya hanya kritikan yang membina saja yang harus kita ambil perhatian. Jika ada yang sekadar ingin buat kacau tidak perlulah dilayan. Kita harus membina jati diri, profesi dan juga kematangan terhadap dunia yang kita miliki ini. Orang lain tidak tahu dunia kita, dunia seni yang harus bergaul bersama semua jenis manusia termasuklah individu seumpama 'sang sepat' itu. Namun begitu, kita mesti menjaga imej kita. Kita mesti menjadikan dunia kita ini sentiasa memberi makna. Kita berhujah dengan cara yang lebih bijaksana, lebih matang. Memang tidak semua karya penulis diterima orang walau bagaimana agungnya penulis itu sekali pun.

Sebagai penulis, saya turut tidak setuju dengan cara tidak matang yang dilakukan oleh pengkritik 'babi buta' itu. Walaupun apa yang ditulis oleh sang sepat itu tidak dibaca umum melainkan disampaikan oleh Ailin Nor dan Haji Ismaily Bongsu, namun begitu saya percaya apa yang dibincangkan itu tidak menjadi bahang yang bakal membakar sebuah dunia seni yang harus dipunyai seramai manusia yang mungkin. Sayang sekali sang sepat amat buta tentang sastera kita khususnya di Sabah kerana beliau mungkin melihat berdasarkan tanggapan yang memang negatif dan niat yang salah.

Mudah-mudahan selepas Ramadhan ini kita dapat melakukan pembicaraan sastera secara lebih kritis, kreatif dan berdedikasi. Kita memerlukan disiplin kritikan yang baik. Biasanya kritikan akan ditumpukan hanya kepada karya secara lahiri dan karya secara roh. Namun tidak salah menjadikan penulis  dijadikan  asas awal proses menulis resensi atau kritikan. Apabila kita kenal penulis mudahlah melakukan pembedahan karya. Tetapi apabila niat asal menulis kritikan itu salah maka maknanya juga membawa maksud yang hanya akan melukakan orang lain.

Tahun hadapan IPS akan mengadakan banyak perbincangan karya sastera yang antaranya akan membicarakan karya-karya yang tersiar di media-media tempatan dan juga luar Sabah. Sekurang-kurangnya sebulan sekali. Kami juga akan menganjurkan seminar sastera lebih kerap walaupun terpaksa mencari biaya sendiri. Tahun ini pihak-pihak yang sepatutnya membantu kami tidak banyak memberikan komitmen mereka. Biaya ala kadar tentu tidak dapat membantu. Acara baca cerpen akan dihidupkan semula tahun depan di samping baca puisi yang akan menampilkan tokoh-tokoh deklamator muda yang berpotensi. Cadangan Ailin hari ini mengenai Sekretariat Penulis Muda diharap dapat dipanjangkan dan dilaksanakan. Ramai penulis muda yang mungkin tidak mahu bersama IPS atau Bahasa tetapi boleh membangunkan Sekretariat yang dimaksudkan itu. Kami sentiasa memberikan sokongan. Tetapi di pihak Bahasa mungkin berbeza kerana Bahasa yang mewakili Gapena juga telah menubuhkan Sekretriat Penulis Muda Gapena. Bagaimanapun para penulis muda masih boleh menyatukan tindakan yang baik untuk merealisasikannya. Pada saya  tindakan awal yang paling baik ialah mempertemukan badan-badan penulis, penulis-penulis muda dan penggerak sastera di Sabah. Untuk ini, IPS menunggu perkembangan selanjutnya. Insyaallah.

11 November 2002