HANYA NAMANYA KHARTIZAH

Oleh Hasyuda Abadi, IPS

(hasyuda@yahoo.com)

NASIB baik tidak Khatijah, nama isteri Rasulullah. Saya mohon ampun dan maaf disebabkan ejaan nama ini tapi itulah yang terjadi. Meskipun sebutan namanya hampir seirama namun hakikatnya tidak seperti apa yang pernah digambarkan dalam cerita-cerita sejarah Nabi yang diceritakan para sahabat Rasulullah dan para alim ulama selepas baginda.  Mudah-mudahan mudah dapat berkat.  Hanya kerana nama: misalnya Khartizah bukan Khatijah suatu kehidupan menjadi kelam kabut seumur hidup. Bacalah idea yang baru berkembang ini. Sejarah kehidupan yang boleh berlaku di mana-mana. Bukan saja di dalam rumah anda sendiri. Hanya bezanya ia bermula dari nama Khartizah!

(Catatan: Peristiwa begini berlaku di mana-mana. Sebagai seorang perempuan atau wanita yang bergelar ibu, Khartizah yang seorang ini tidak juga dapat lari dari tanggungjawabnya.  Apa saja benturan kehidupan ini jangan terjemahkan alasan semudah begitu. Misalnya bila mendepani persoalan, belukar akarnya dibiar bersembunyi seperti adanya. Sambil menebang pohon persoalan itu dengan kegusaran dan kekasaran rasa. Boleh saja mengenyahkan tanggungjawab membiarkan anak-anak kebuluran kasih sayang. Boleh saja juga abaikan mereka hanya semata-mata  tidak menerima apa-apa pun daripada mereka.)

Hanyalah kerana namamu Khartizah, tapi apakah pernah kau fikirkan betapa indahnya namamu itu. Aksaranya merupakan himpunan makna yang memang diagungi Tuhan. Kebenaran hanya ada rahsia tika ia ziarah antara hati: itulah K-H-A-R-T-I-Z-A-H! Jangan permainkan gelombang kehidupan itu. Jika kebenaran sudah paling jelas berada di hadapan, mengapa harus berpura-pura? Ketika saya mengenalkan diriku kepadamu hampir sedekad yang lalu, kamu seorang wanita yang sebaya umur ibuku. Kelihatan gigih bekerja. Anak-anak semuanya masih hingusan. Kecuali yang seorang ini. Saya tak mungkin melupakannya. Ketika saya baru saja memulakan usia ku sebagai insan yang bebas dari cengkaman orang tua, dengan yang seorang inilah saya diakrabi kesunyian. Saya tinggal serumah dengan bapa saudara yang tidak pernah memahami hatiku dan perasaanku juga. Tabiatnya sama seperti orang lain yang panas baran, berprasangka dan tidak mengambil tahu langsung apa yang saya sedang hadapi. Hanya kerana dia bapa saudarsaya yang juga adik tiri kepada ibuku membantuku sehingga mendapat peluang pekerjaan yang baik di bandar ini, jika tidak saya tak fikir akan akan berkenalan dengan seorang wanita sebaya usia ibuku yang bernama Khartizah ini. Dan kerana habuan kesunyian juga diakrabi yang seorang ini iaitu anak sulung kepada Khartizah.

Jangan hairan kalau dikatakan inilah cerita benar saya. Seseorang  itu sebenarnya tidak wajar berpura-pura. Tulislah apa yang difikirkan tentang dirinya. Biarlah apa saja pun yang berasal dari diri sendiri, saya percaya boleh menjadi cerminan kepada orang lain. Kadang-kadang saya sendiri gagal melihat wajah di hadapan cermin yang sebenarnya cermin. Tetapi saya boleh melihat cermin itu pada peribadi orang lain. Misalnya ketika membaca sebuah novel seorang pengarang idola: Shuhaibun Yussuf, saya fikir boleh memahami watak-watak yang diciptanya seperti dalam novel Kanvas Tanpa Imajan yang barangkali sayalah antara watak-watak itu. Tentulah secara kebetulan saja. Tapi tidak salah bukan? Katakanlah apa yang anda sedang baca sekarang ini anda suka dan kebetulan adalah watak yang saya cipta atau watak sebenar peribadi yang sebenarnya.

Malangnya ada juga insan yang memilih kehidupan yang bohong. Demi mencapai hasrat atau sengaja menjadi fasal melakukan penyamaran apa saja. Mahu kaya jadilah seseorang yang seolah-olah dipercayai seorang ahli korporat. Buat temu janji dan melakukan perniagaan impot ekspotnya dengan modal bahasa, mimik wajah, kepintaran dan perawakan. Sungguh malang orang seperti inipun boleh dipercayai. Orang ini boleh memperdaya akal yang sihat. apakah anda pernah menemui insan yang paling penipu di bandar ini? Rekodnya memang seratus peratus bersih dalam fail polis waima mahkamah kerana si penipu ini bidak di hadapan manusia bodoh. Si penipu ini juga bijak memainkan peranannya sebagai seorang yang ahli kepada bidang-bidang yang menjamin orang-orang bodoh masuk perangkapnya. Si penipu ini paling temberang, paling angkuh dan paling liat menyahut panggilan halus Tuhan.

Tentulah juga tidak sama si penipu ini dengan budak-budak remaja di bandar ini yang mempunyai keupayaan yang lain dalam bab tipu-menipu. Begini sebagai contoh: Satu hari ketika berjalan-jalan ke perut bandar, saya didekat seorang budak lelaki berumur antara 17-18 tahun. Mula-mula malu-malu memperkenalkan dirinya sebagai seorang yang sedang ditimpa kesusahan. Apa yang dilakukannya? Katanya, tolonglah saya kali ini. Abang ambil ini (sambil menyerahkan kepada saya beberapa keping kertas…) Anda tahu apa? Itulah cabutan nombor bertuah!  Bapa saya hampir nak mati dan memerlukan duit. Abang bagi saya sekian-sekian. Katanya lagi.  Sikap teragak-agak saya tetapi mendengar itu kemudian disokong oleh seorang yang lain. Dia memberi semangat agar saya bersetuju sambil pada masa yang sama mengaku boleh membantu jika pada masa itu saya tak memiliki wang yang diminta. Saya bertindak bijak kerana mengesyak sesuatu kerana dari raut wajah mererka, mereka sebenarnya bersubahat. Dan penipu besar antara para penipu dan pembohong di bandar ini. Umpan mereka tidak mengena walaupun tentu saja bukan kepada diri saya malah pasti sekali sudah ratusan yang lain.

Menjadi mangsa. Tanpa mengira siapa dan apa kedudukannya, mangsa menjadi salah satu wajah yang menimpa manusia yang mudah menerima bahasa dan mimik muka yang bertopeng. Muslihat di sebalik kebaikan, kebijaksanaan namun akibat keintelekcuaiannya jugalah akhirnya tak mungkin sesiapa mempercayai. Katakanlah saya ingin menjadikan contoh berikut sebagai bukti terbaru. Namun awas, jangan percayakan saya jika akhirnya anda juga menjadi mangsa selepas seorang sahabat saya menerima nasib yang serupa. Semuanya bermula dari perbuatan tidak bertanggungjawab. Tentulah manusia namun manusia yang ini jenisnya lain. Kayaknya memang seperti binatang dan hantu jembalang. Sesuka hati melakukan penyamaran yang memalukan jantinanya. Maafkan saya, hanya mampu saya jeniskan manusianya sebagai pondan! Ada sebabnya. Anda carilah mengapa jenis ini dipersetujui fikiran saya. Apakah yang telah diperlakukan terhadap sahabat saya itu? Dia menyamar menjadi apa saja termasuklah perempuan yang malang kerana ditinggalkan suami yang curang! Kasihan sahabat saya kerana dipermainkan begitu. Sambil manusia pondan itu dengan selamba melupakan peristiwa itu dalam satu perlambangan yang tersendiri akibat kepondanannya juga. Manusia yang ini telah gagal mengenal apakah perbuatannya dibiar begitu saja sedangkan beberapa hari yang lain di menjelma sebagai seorang abid. Dia mungkin seorang yang nyanyuk terhadap siapa yang menjadikannya. Barangkali yang dia tahu hanya bapanya dan ibunya! Ibu dan bapanya yang sekamar dalam suasana sunyi sepi…

Malah seorang Khartizah yang saya maksudkan tidak menyedari bahawa dia juga mengalami peristiwa yang memalukan. Meski saya tak mungkin kesal berkenalan dengannya. Demi tuhan tidak sama sekali. Jika ditakdirkan demikian apa lagi. Mengembalikan kepada sesuatu dari awal tentulah nyanyuk namanya. Saya jadi benci kerana manusia Khartizah ini telah memusnahkan kemanusiaannya sendiri yang dengan terang-terang melanggar hukum agama. Dia tidak menyedari rupanya di pundaknya terpikul satu tanggungjawab yang besar lagi mulia. Dia ketua masyarakat. Dia seorang hawa yang mengepalai sebuah kariah. Anda fikir saja jika lebih lima puluh buah rumah di bawah jagaannya. Setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya dua keluarga. Setiap keluarga dibangun oleh seramai lima orang. Anda hitung berapakah ramai manusia yang dipertanggungjawabkannya. Tanggungjawab terhadap manusia dan tanggungjawab terhadap amanah yang diberi kepadanya oleh manusia dan oleh Tuhan. Ini yang saya fikir seorang bernama Khartizah itu lupa.

Dan seorang yang benama Khartizah ini telah melakukan kesilapan besar terang-terang di hadapan seorang lelaki yang kerananya telah melahirkan empat orang zuriat. Satu peristiwa yang tidak mudah dilupakan. Sesuatu yang telah menjinakkan perasaan oleh ketelusan fikiran insan. Ketika semua kaum kerabat berkumpul di perut rumat kecuali suaminya yang menurut cucu seorang yang bernama Khartizah ini sedang menuju ke kebun jagungnya. Perbuatan si suami ini sebenarnya menyusahkan Khartizah yang mengharapkan usahanya berjaya dan upacara yang telah ditunggu-tunggu kaum kerabat selesai dilakukan. Lebih cepat lebih afdal. Sekarang, di hadapan antara kaum kerabat itu seorang imam yang tidak bertauliah di samping beberapa orang lain yang bertindak menjadi saksi. Kaum kerabat tidak sabar lagi melihat seorang kemanakan mereka mengakhiri zaman janda buat kali yang ke berapa yang memeningkan kepala buat Khartizah. Biarlah anakku yang seorang ini kuserah kepada seseorang yang lebih berada berbanding kamu walaupun bakal suaminya itu seorang suami kepada tiga orang wanita yang lain! Bukan kuperlukan harta atau apa-apapun. Seorang Khartizah ini ingin suatu pengertian mempelawa kekusutan fikiranku terhadap seorang anak perempuannya yang tak pernah betah dengan suami. Hanya dia seorang sahabatku satu-satunya waktu saya belajar di perpustakaan  sedekad yang lalu. Bertemu semula selepas dia berkahwin untuk kali yang keberapa saya tidak ingin katakan, menzuriatkan beberapa orang anak dan meninggalkan beberpa orang suami. Dan kali ini seorang bernama Khartizah itu iaitu ibu kandungnya terpaksa melupakan saya dan menerima calon yang lain untuk anaknya itu. Tetapi, Khartizah yang seorang ini tidak sama dengan Khatijah isteri Rasul Junjungan dan malah jauh.

Lelaki berlilit kepala yang diragui ketauliahannya di sisi Jabatan Agama, yang telah sekian lama menghafal doa dan lafaz serta hukum hakam yang akan disampaikan kepada kedua-dua pasangan ini, menjadi tidak selesa lantaran waktunya sudah sampai ke puncak kesabaran. Akhirnya adalah keputusan dan meletakkan satu tanggungjawab kepada anak lelaki satu-satunya yang ada waktu itu menggantikan bapanya yang mengasingkan diri di kebun jagungnya sebagai wali. Peristiwa pun berlaku dan mati di situ meninggalkan kenangan dan juga ikhtibar. Memang sah manusia memang suka melakukan sesuatu yang aneh-aneh walaupun terpaksa melanggar hukum hakam kehidupan dan norma kebiasaan dalam sebuah kariah. Dan inilah yang menjadi kesan fikiranku sejak selepas peristiwa itu. Sambil terus tanpa henti berhadapan dengan pelbagai peristiwa aneh dilakukan oleh manusia yang berakal. Kata mereka biarlah semua itu berlaku kerana akhirnya ia akan dikenang dan direkodkan sebagai sesuatu yang berbeza.

Bukan ada yang lain saya fikir selain kepuasan diri dan serakah nafsu yang dimiliki. Saya tentu tak ingin berpayah-payah menyimpan pemikiran yang tertutup. Yang bernama Khartizah itu telah memberi pengajaran yang baik melalui tindak tanduk suaminya yang keras hati tak ingin bersuhabat. Begitulah seperti yang berlaku di hadapan mata kepala saya beberapa waktu selepas itu. Dunia dikejutkan dengan tindak tanduk keingingan manusia melakukan yang lain dari kebiasaan agar dapat disenarikan sebagai sesuatu yang gah. Satu-satunya berlaku di sebuah negara Islam yang mempunyai para pemikir yang ahli tetapi malangnya telah diperdaya oleh satu pemikiran hedonisme hingga membawa keindahan Islam itu tergelincir dari landasan yang baku. Astaghfirullah! Apa juga yang berlaku untuk saya hanyalah linangan air mata yang mungkin dapat disukat berbanding kesedihanku dari bersuhabat dengan ribuan insan yang tidak ada masa merenung dan berfikir panjang. Ribuan manusia yang hanya memahami bahawa apa yang berlaku hanya salah sebuah perjalanan kehidupan di dunia ini. Tidak lebih dari itu. Inilah yang saya fikirkan sekilas mengenang seorang yang bernama Khartizah. Islam itu indah dan mudah tetapi inilah natijahnya apabila keindahan itu diperlekehkan oleh niat yang bermaksud. Seperti kata ayah jika anda bersolat pusatkanlah niat anda kerana Allah bukan kerana yang lain seperti mahu menebus dosa atau mencarai ketenangan jiwa dan sebagainya. Sambil seorang yang bernama Khartizah itu hanya suatu kenangan, saya tetap berhasrat menemuinya saban tahun, menziarahinya ketika realiti ibu berada hanya dalam kalbu. Sedangkan merenung semula intipati pengalaman yang dilihat, difikir, dirasa dan dihayati itu wajar berada di tempat yang hak. Akhirnya berhak juga memilih antara yang benar dan yang batil.

(Cerita ini semata-mata rekaan. Tidak ada kaitan dengan sesiapapun sama ada hidup mahupun telah mati. Jika berlaku persamaan hanyalah kebetulan yang tidak disengajakan)

TAMAN PUTERJAYA,

TELIPOK, KOTA KIANABLU.

 

21 MAC 2002

Hak Cipta Terpelihara ©Hasyuda Abadi, 2002