KEPALA,KEPALA
oleh
HASYUDA ABADI
SEBENARNYA bukan bola tetapi kepala! Kepala pun boleh dijadikan
bola.
Kepala yang dibolakan. Boleh ditendang, digelecek,
diputar-putar,dibuang, dilambung dan sebagainya di sana-sini. Kepala
boleh ditukar atau disilih gantikan. Sungguh ajaib idea ini tapi ini
bukanlah suatu peristiwa zaman purba murba waima kononnya kisah kepala
terbang ke sana ke sini menemui mangsanya!
Yang
sebenarnya kepala ini tidaklah terbang hinggakan berjurai tali
perut-tali perut. Matanya tidak terbeliak menggerunkan. Lidahnya
tidaklah terjelir mengerikan. (Tentulah bukan seperti gambaran yang
pernah diberi oleh orang-orang kampung ayah saya atau ibu ketika kecil
atau oleh para bomoh di kampung ayah saya yang maha arif itu.) Bukan
juga bagai diceritakan oleh para andartu melalui kepalanya yang
terlalu banyak bicara, banyak bangkang, banyak juga celoteh
mempertikai kebolehan orang lain dan simbayu di kalangan kelompoknya.
Suara
kepala andartu terlalu memilukan. Ah! Persetankan suara hantu andartu
itu. Sekarang cerita tentang kepala-kepala yang banyak. Terlalu banyak
hinggakan menjadi suatu kesukaran untuk memilih kepala apakah yang
terbaik. Berambut hitam keriting, tidak berambut langsung atau
rambutnya seperti laut yang menampakkan bulatan berkilau dipanah
matahari. Mungkin juga kepala yang punya otak yang bergeliga, pintar
tapi hidung sudah digari. Atau kepala yang layaknya seperti bola boleh
diputar-putar, ditendang dan boleh juga dibaling ke sana ke mari!
Orang
ramai di dalam sebuah lokasi yang sudah kenali, amat dikenali
sesungguhnya, masing-masing ingin mempertahankan kepala-kepala
junjungan mereka. Pahlawan kaum di zaman purba murba selalu menganggap
kepala yang berjaya dipenggalnya selepas perang sebagai nilai
kegagahan dan kepahlawanan. Dialah anak muda yang perwira. Dia jugalah
bakal digemari anak-anak perawan bahkan dipandang sebagai insan yang
boleh diharapkan menjadi peneraju kaumnya dizaman mendatang.
Namun
di antara kepala-kepala itu tampil kepala andartu mengaksikan
aksi-aksi kebiasaannya dan juga kesukaannya. Tidak dapat digambarkan
dengan kata bagaimana raut wajahnya yang digelar kepala bagi segala
andartu di lokasi itu. Kepala andartu ini berdiri di atas pentas
sambil mengintai-intai jika dia boleh mendengar suara sesiapa yang
berani mempertikai kewibawaannya memimpin para andartu. Ketika itu
juga dia melaungkan suaranya yang sudah hampir separuh abad usianya,
dan masih andartu. Kedengaran jendela mulutnya terbuka dan tertutup,
dan dia mula berceloteh tentang itu dan ini. Ini dan itu yang tak
boleh dan boleh. Itu dan ini yang betul harus lahir dari
langkah-langkahnya atau tangkas fikirannya melalui tangan dan kakinya
yang pendek itu. Tanpa disedarinya orang ramai sudah mula mencemuh dan
menampakkan wajah bosan dan mereka mula menulikan telinga.
Mengapakah
kepala andartu itu masih di situ, tidak ditendang laksana bola seperti
kepala-kepala yang berlaku di sebuah lokasi yang dimaksud tadi. Ketua
andartu itu wajar ditendang dan dijadikan bola atau buang saja
anginnya supaya tidak boleh bersuara dan tidak boleh menjadi bola.
Lalu menjadi bangkai bola yang akan dikebumikan. Tapi semua orang akan
merindui suara kepala andartu itu. Terutama sekali ketika dia duduk,
sambil menganggukkan kepala dan ketawa sinis, memperli walaupun
sesekali serius tetapi kebiasaanya duri-duri keceluparannya akan
menusuk di belakang ketika orang lain pergi tanpa berpaling. Biarkan
si kepala andartu itu menjadi bangkai si luncai yang terjun ke dalam
lautan tanah tak bergelombang tapi bernanah tanah! Di tengah lokasi
yang dimaksudkan kepala-kepala selain kepala andartu itu kelihatan
terlalu dungu, tolol, bengang, bodoh dan yang seumpama dengannya.
Inilah kata yang wajar untuk para kepala itu. Mereka tidak seperti
kepala andartu yang berani walaupun memang memilukan malah memalukan.
Kepala-kepala itu otaknya barangkali tidak seperti otak mahluk
berjenama manusia. Otaknya bukan saja kering beku tetapi sudah kering
kayu. Otak yang basah telah disalah pakai. Otak asal di dalam kotak
kepalanya dulu sudah diitakluk. Sudah juga dijadikan hamba abdi. Sudah
juga menjadi haiwan di sawah atau suatu pandangan daif di
lorong-lorong gelap. Meraung di waktu malam atau ketika gema azan
subuh berkumandang.
Kepala
andartu masih berdiri di tengah pentas. Walaupun pendek, gemuk gempal
suaranya cukup lantang dan berani. Seluruh kepala-kepala tak berani
mendongak melainkan tunduk ke bawah membaca tanah. Mereka tidak
mendengar sepatah pun kata-kata kepala andartu yang bukan kepalang
semangatnya. Memang membara semangatnya apabila berada di atas pentas
sambil mendabik dada memperkatakan kedudukannya dan keadaannya. Juga
kemampuannya. Kepala andartu itu mula membaca biodata. Sambil
menegak-negakkan kedua bilah tangannya, kepala andartu itu
melaung-laungkan suara kebebasan, keadilan, kebenaran dan lain-lain
lagi. Ketika kepala andartu itu mula membaling-baling pakaiannya dari
tubuh badannya yang tidak pernah habis pakaiannya walaupun semua
pakaiannya itu dibukanya, orang ramai di dalam lokasi itu ketawa
terbahak-bahak. Bayangkanlah jika anda adalah antara kepala-kepala
yang dungu, tolol dan bodoh, bengang dan yang seumpama dengannya itu.
Mungkin turut ketawa terbahak-bahak sambil menghentak-hentakkan kaki
dan memukul-mukul perut mereka dan juga kepala mereka sendiri. Tidak
jelas apakah perasaan mereka ketika itu walaupun dalam keadaan sedar.
Kepala-kepala yang tolol, bengang, dungu, bodoh dan yang seumpama
dengannya itu masih dihantui oleh suatu perasaan luar biasa sehingga
ketika ketawa mereka sempat mengumpul tenaga untuk meneruskan ketawa
selanjutnya. Itu sajalah yang diketahui mereka. Ketawa dan ketawa
terbahak-bahak melihat orang lain yang berlaku lucu dan bodoh. Mereka
melihat sendiri aksi bodoh dan lucu kepala andartu itu. Mungkin mereka
memikirkan kepala andartu itu memohon perhatian para kepala yang ada
untuk melamarnya! Sehigga terpaksa membuka segala pakaiannya walaupun
tidak mungkin habis jika mahu dibuka semuanya. Terlalu banyak pakaian
yang dipakai oleh kepala andartu itu. Kepala andartu diam seketika dan
duduk semula di belakang pentas. Sungguh dirasakannya suatu kehilangan
tenaga yang lain. Dirasakannya kepalanya mula tercabut daripada
kedudukannya. Kepala andartu itu sudah terasa tergugat. Kerana
kerhadiran begitu ramai andartu yang sudah mula mual dengan kerenahnya,
kepala andartu itu tidak henti-henti membuka pakaiannya dan seperti
biasa pakaiannya tidak pernah habis. Sambil matanya liar mencari para
pahlawan purba murba yang gagah menjunjung kepala yang disabitnya
dalam peperangan kaum mereka. Tidak kelihatan seorang pun. Tidak ada
seorang pahlawan pun hadir di dalam sebuah lokasi yang dimaksudkan di
atas. Tiada melainkan kepala-kepala yang semakin dungu, tolol, bengang,
bodoh dan yang seumpama dengannya. Kepala andartu itu bangun semula
dan gambaran pada masa ini menjelaskan visinya. Dia menegakkan sekali
lagi kedua bilah tangannya dan melaungkan suaranya yang sudah bertukar
menjadi suara keldai.
(Saya sudah tersilap. Entah mengapa tiba-tiba saja fikiran bertukar.
Kepala andartu itu menjadi kepala keldai pula!) Rupanya betul. Kepala
andartu itu sudah tercabut dan kepalanya bertukar menjadi kepala
keldai. Patutlah suaranya sudah menjadi suara sang keldai. (Saya
sungguh gumam memikirkan nasib 'arwah' kepala andartu itu.
Di
mana harus saya letakkan kepalanya yang sudah tercabut itu?) Tiba-tiba,
anda tahu, kepala andartu itu sudah ada di antara kepala-kepala yang
sudah terkenal dengan bengang, tolol, dungu dan bodoh. Tidak ada lagi
suara yang jelas sebagaimana diperlakukan oleh kepala andartu yang
berani. Berani dalam banyak hal. Daripada hal luar hinggalah kepada
perihal dalaman. Berani memperkatakan kelemahan orang lain tetapi
tidak berani memberi panduan agar segala yang difikirkannya salah itu
menjadi teladan hari kemudain. Namun kepala andartu itu memang cukup
berani. Tiada siapa berani membandingkan keberaniannya yang luar biasa
itu. Apatah lagi jika mahu membandingkan dengan kumpulan kepala
antertu yang kononnya mahu mencari pasangan masing-masing apabila
bertemu dengan kumpulan andartu di tengah lokasi yang dimaksudkan di
atas. Memang tidak menjadi. Antertu tidak menemukan jodohnya di
tengah-tengah para andartu. Inikan pula suara kepala andartu yang jauh
melebihi suara antertu.Namun segala-gala juga hancur musnah apabila
kepala andartu akhirnya tercabut juga dan bertukar menjadi kepala
keldai!
Glosari:
Andartu - Anak dara tua
Sembayu
- Berlagak suka dipuji (kosa kata sukuan Sungai)
Antertu
- Anak teruna tua
Kampung Lumadan Beaufort
11 Oktober 2000
Hak Cipta Terpelihara © Hasyuda Abadi, 2000
(Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, tidak
ada kaitan kepada sesiapa sama ada hidup mahupun yang telah mati -
Pengarang)
|