Kemelut Sastera di tengah kemelut pembinaan bangsa
oleh
Hasyuda Abadi
SUDAH
sampai waktunya riak sastera di Sabah memusatkan ke arah satu falsafah
yang perlu diperjuangkan. Seluruh penulis wajar turut memberikan
reaksi bersama pandangan atau pendapat yang baru dan bernas. Malah
menjadi harapan semua pihak agar perbincangan terbuka begini dapat
dijadikan landasan yang berterusan ke arah mencapai kedinamikan
pemartabatan sastera kita. Tentulah berlaku pandangan-pandangan yang
berbeza namun perbezaan itu tidak akan menjadi jurang tetapi
menyatukan cebisan-cebisan hujah kepada penggubalan satu gagasan yang
jitu, murni dan utuh. Dalam erti kata yang lain kita mampu memberikan
jawapan yang konkrit terhadap permasalahan pokok ketika melihat
gelombang sastera Melayu di Sabah.
Kita
merasakan bahawa sastera Melayu di negeri ini berlangsung dalam
keadaan yang seadanya. Pengertian ‘asal ada’ itu sebenarnya harus
dilihat dari pelbagi dimensi berdasarkan fakta yang kukuh. Tentulah
keterlaluan jika mengatakan bahawa sastera di negeri Sabah kering,
tidak berhala tuju. Bahkan kita terlalu fakir untuk mensyukuri peranan
yang telah dimainkan oleh agensi kerajaan yang sedia ada seperti Dewan
Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dan Majlis Bahasa dan Sastera Sabah
dua badan utama yang menjadi tonggak utama dalam gerakan sastera dan
bahasa Melayu di Sabah.
Banyak perancangan dilakukan untuk menyemarakkan gerakan sastera kita
dengan pelaburan dana yang bukan sedikit.
Para penulis terus diberi perhatian dengan penyediaan program
latihan dan penghargaan seperti Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Tinta Sastera, Hadiah
Penyair Islam Sabah di samping menyediakan ruang kepada para penulis
menyalurkan bakat dan pemikiran mereka. DBP Cawangan Sabah misalnya
mempunyai bangunan besar yang menyimpan khazanah ilmu yang amat
berharga. Malangnya kemudahan yang ada tidak dimanfaatkan dengan
sebaiknya bukan sahaja di kalangan para penulis atau persatuan penulis
tetapi para pengurus sastera itu sendiri yakni pegawai dan
kakitangannya. Bagaikan ada jurang antara mereka dengan para penulis
tidak semata-mata jarak yang memang turut menjadi hambatan dan
penyebab utama.
Kita
harus mendalami ilmu untuk membina sesuatu tamadun meski di manapun
pusaran ilmu itu berada sekalipun. Pemikiran bangsa kita mesti maju,
terbuka dan telus. Pandangan yang sempit harus diketepikan malah wajib
dikikis daripada minda kita. Kita mesti melihat sesuatu secara
menyeluruh. Mungkin kita melihat ada kebenaran di antara bobroknya
sesebuah organisasi atau institusi di dalam masyarakat kita. Kita juga
melihat kebatilan di mana-mana sehingga menjadi menyebab manusia
kreatif menjadi daif untuk menjelaskan rangkap-rangkap absurd di dalam
kemelut permasalahan masyarakatnya. Akhirnya bangunlah beberapa insan
yang ingin menjelaskan, yang ingin mendapatkan penjelasan dan yang
ingin menyatakan kemelut itu dari perspektif mereka.
Namun
begitu apa yang diutarakan terlalu remeh temeh. Tidak adakah persoalan
baru yang lebih berfaedah diperkatakan, dibahas, dihujah dan
diperolehi pemikirannya. Kita merasakan betapa sempitnya ruang legar
untuk sebuah atau beberapa buah persoalan terkini menjadi bahan
perdebatan. Sepatutnya pada masa ini kita tidak lagi berbicara tentang
penulis yang hilang. Kita tidak juga harus bercakap mengenai royalti
atau honororium. Kita tidak lagi menghujahkan penulis-penulis yang
kampungan yang tidak mampu keluar daripada kepompong peribadi, menulis
seadanya, tidak menulis isu-isu yang besar, hal-hal yang global dan
mencabar. Kita harus berpandangan terbuka. Melihat isu daripada pintu
yang luas bukan lewat lubang dinding. Ertinya kita hanya mampu
mengintai tetapi tidak menyatakan berlakunya kepaduan pemikiran
walaupun ia bermula daripada sebuah cerpen yang remeh temeh atau
bait-bait puisi yang langsung.
Bukan
bermaksud tidak menghargai pandangan orang lain tetapi menyatakan
sesuatu yang lumrah itu tidak akan membantu apa-apa pun. Memang ada
juga baiknya jika niat yang tersirat itu akan menambahbaik gerakan
sastera dan bahasa bangsa kita. Tetapi sekiranya hasrat yang
sebenarnya hanyalah sekadar memanaskan gelanggang lebih baik
pengisiannya itu dipenuhi dengan wacana yang lebih bermakna. Kita
berikan ruangan untuk membahaskan karya-karya sastera kita. Kita
pelawa penulis yang berwibawa ke dalam. Kita adakan perjumpaan untuk
mengagih-agihkan tugasan. Kita boleh lakukan dengan cara yang lebih
berkesan dan terancang. Saya fikir penulis memerlukan ruang yang lebih
untuk menyalurkan bahasan pemikiran mereka. Pihak media massa
khususnya editor sastera di surat-surat khabar harus komited dalam
penyediaan ruangan ini. Bukan asal ada sahaja. Bukan ala kadar saja.
Peranan mereka amat besar. Tidak mengapa penulis tidak diberikan
apa-apa tetapi memadailah ruang yang tetap disediakan. Penulis
menyimpan mata pena mereka atau menutup suiz komputer mereka tetap
beralasan. Mereka hilang juga beralasan. Mereka timbul semula juga
beralasan. Sesiapapun tidak boleh melontarkan pertanyaan itu dan ini
kerana apapun punca graf sastera kita yang tidak menentu mempunyai
alasan yang tersendiri. Begitu juga dengan kedudukan penulis. Mungkin
kita tersilap meletakkan kedudukan seseorang tokoh itu di persada
sastera kita walaupun sebenarnya dia tidak memiliki sebarang bahan bercetak yang meyakinkan kita sendiri.
Perubahan
sikap tidak hanya ditekankan kepada sebelah pihak semata-mata. Selain
penulis kita juga mengharapkan perubahan yang sama di kalangan
pengurus sastera itu sendiri. Pengurus sastera wajar menjalinkan
hubungan dua hala dengan para penulis. Penulis juga diminta lebih
proaktif dengan tidak menyerahkan bulat-bulat harapan di bahu pengurus
sastera terbabit. Mereka juga harus memahami antara satu sama lain.
Tetapi jika kita tidak mahu bertolak ansur sudah tentulah kita tidak
mampu membawa apa-apa kepada tamadun fikrah kita sebagai saksi yang
harus dipegang generasi akan datang terhadap kebenaran citra masa lalu.
Dalam pada itu kita ingin menjadikan pertemuan-pertemuan fikrah di
kalangan penulis diwujudkan sebagai salah satu daripada gagasan
perbincangan ini. Tentulah juga gagasan ini memintal peranan dan
tanggungjawab penulis, persatuan penulis serta agensi-agensi yang
mengurus sastera itu sendiri agar saling menyatukan permasalahan,
perdebatan, perhujahan dan pandangan. Langkah ini pula mesti
berterusan tanpa musim. Kita secara terus menerus mengajak penulis
menganjakkan paradigma fikrah mereka yang seharusnya juga tanpa musim.
Malah pada tahap yang paling penting mampu mencapai falsafah sebenar
kehadiran kita sebagai golongan pemikir di tengah-tengah kemelut
peradaban bangsa kita pada hari ini. Di tengah-tengah kemelut
pembinaan bangsa kita yang dikaburi tanda dan nilai jatidiri yang
masih goyah.
Kota Kinabalu, 25 Oktober 2002 .
|