Mengarca Rahsia

 

MENGHARAP RAHMAT DAN AMPUNAN ALLAH

SUATU aktiviti mental yang memainkan peranan besar dalam membina ketenangan, keceriaan dan kemajuan hidup ialah ar-raja’ atau bergantung hidup.

 Seluruh umat Islam dituntut supaya menaruh pengharapan yang tinggi kepada Allah s.w.t untuk memperolehi rahmat dan nikmat-Nya yang disediakan bagi hamba-hamba yang salih.

Manusia sebagai makhluk yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan juga amat perlu mengharap keampunan (maghfirah) daripada Illahi. Harapan ini akan memberi dorongan yang berterusan untuk maju mendekatkan diri kepada Allah kerana percaya bahawa Allah akan menyambut setiap langkah pendekatan hamba-Nya sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis Qudsi:

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan, maka untuknya sepuluh kali ganda pahala, bahkan mungkin lebih. Sesiapa yang berbuat kejahatan, maka dibalas dengan satu dosa, bahkan mungkin diampuni. Dan sesiapa yang menghampiri-Ku (Allah) sejengkal, Aku akan menghampirinya sehasta. Sesiapa yang datang kepada-Ku berjalan, maka Aku akan berlari kepadanya. Sesiapa yang menghadap kepada-Ku dengan dosa sepenuh isi bumi, sedangkan dia tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku akan menemuinya dengan keampunan sebesar itu pula.” (Riwayat Muslim).

Begitulah kemurahan dan keampunan Allah terhadap hamba-hamba-Nya yang tidak musyrik (menyekutukan Allah). Kemurahan Allah ini sememangnya telah ditetapkan oleh Allah sendiri sewaktu mula-mula Dia menjadikan makhluk.

Ini jelas berdasarkan sepotong hadis yang bermaksud: “Sewaktu Allah menjadikan makhluk, maka Allah telah menetapkan atas dirinya sendiri dalam sebuah kitab di atas Arasy bahawa: ‘Rahmat-Ku mengalahkan murka-Ku (Rahmat Allah mengahului kemurkaan-Nya)”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pernah terjadi pada zaman Rasulullah, seorang wanita yang menjadi tawanan perang telah buntu fikirannya untuk mencari anaknya yang telah hilang. Dalam kerinduan kepada anaknya, setiap kali dia melihat kanak-kanak di dalam tempat tawanan tersebut dia akan menimang kanak-kanak itu dan menyusukannya.

Melihat betapa kasihnya seorang ibu terhadap anaknya, Rasulullah lantas bertanya kepada sahabat-sahabat: Adakah kamu semua fikir wanita itu sampai hati untuk mencampakkan anaknya ke dalam api?”

“Tentu sekali tidak,” jawab sahabat-sahabat serentak. Rasulullah menambah lagi, “demi Allah, sesungguhnya Tuhan lebih kasih kepada hamba-Nya melebihi kasih ibu itu kepada anaknya/”

Sehubungan dengan ini juga kita dapat menilai sendiri kasih sayang Allah kepada kita sehingga seboleh-bolehnya. Dia tidak mahu hamba-Nya masuk ke dalam neraka, namun kedegilan dan keengkaran hamba untuk berbakti kepada-Nya membuatkan hamba itu sendiri dihumbankan ke dalam api neraka, kerana Allah itu sekali-kali tidak akan memungkiri janji-Nya.

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah ada mengungkapkan: “Allah memberi kasih sayang seratus bahagian, sembilan puluh sembilan bahagian ditahan untuk sementara dan satu bahagian diturunkan ke bumi. Dari satu bahagian itulah seluruh makhluk hidup berkasih sayang, hinggakan kamu dapat melihat binatang mengangkat kakinya kerana khuatir terpijak anaknya.”

Dalam konteks ini juga, dalam surat az-Zumar ayat 54 Allah menyampaikan berita gembira agar manusia tidak mudah berputus asa daripada rahmat dan keampunan-Nya. Hanya rahmat Tuhan yang dapat menjauhkan orang-orang beriman daripada sentuhan api neraka. Rasulullah mengulas berhubung ayat ini dalam hadisnya bermaksud: “Setiap orang yang mempercayai bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah hamba Allah dan utusan-Nya, dengan pengakuan yang sungguh-sungguh dalam hatinya, melainkan Allah akan mengharamkan orang itu daripada disentuh api neraka.”

Sebaik sahaja mendengar hadis ini, seorang sahabat, Muaz bin Jabal terus meminta izin daripada Rasulullah untuk menyebarkan berita gembira ini kepada semua orang namun tidak dibenarkan oleh Rasulullah kerana baginda khuatir orang ramai akan bertawakal sahaja tanpa beramal.

Walau bagaimanapun hadis ini terpaksa juga diceritakan oleh Muaz kerana beliau takut terhadap dosa orang yang menyembunyikan ilmu.

             Menurut Abu Musa al-Asya’ari, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba hari kiamat, Allah akan memberikan kepada setiap Muslim seorang Yahudi atau Nasrani dan dikatakan: inilah tebusanmu dari neraka.”

Keperihatinan hidup orang yang beriman ialah kerana selalu membayangkan rahmat Allah sentiasa di hadapannya. Mereka akan terus terdorong untuk meningkatkan amal baktinya kerana menaruh harapan yang penuh kepada Tuhan akan beroleh ganjaran yang besar di sisi-Nya. Ini berdasarkan surah az-Zumar ayat 10 yang bermaksud:

“Sampaikanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman, berbaktilah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperolehi kebaikan.”

Selain mengharapkan kasih sayang Illahi dengan sebarang nikmat-Nya yang tidak terhitung banyaknya di dunia ini, mereka juga penuh harapan untuk memperolehi rahmat kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat kelak.

            Rasulullah pernah mengunjungi seorang pemuda yang sedang menghadapi maut. Lalu baginda bertanya kepada pemuda itu mengenai keadaan dirinya. Pemuda itu lantas menjawab: ”Aku mengharapkan ampunan Illahi dan aku juga khuatir mengenai dosa-dosaku yang aku lakukan,”

            Rasulullah lalu bersabda: “Tidak terkumpul kedua-dua perasaan ini di dalam hati seseorang hamba Allah pada saat seperti ini, kecuali pasti Allah memberikan segala yang diharapkannya dan mententeramkan apa yang dikhuatirkannya.