PUISI
SEPERTI GULA-GULA GETAH!
oleh
Hasyuda Abadi
SAYA
pernah mengutarakan pandangan mengenai puisi sebagai bahan komoditi.
Dulu puisi tidak semudah sekarang dipersembahkan dalam apa jua majlis
rasmi dan tidak rasmi. Tanpa mengira kedudukan puisi menjadi kunyahan
yang popular. Puisi seperti gula-gula getah. Dilumrahkan bacaannya
kemudian dilontar ke sana-sini seperti gula-gula getah!
Pandangan
ini memang tidak popular. Saya amat cintakan puisi. Kehidupan sastera
saya ditandai oleh puisi awal saya bersama Anak Seni pimpinan Zaiton
Ajamain sekitar tahun 1979. Hingga sekarang puisilah mengenalkan saya
dunia sastera sebenarnya. Malangnya puisi di'lacur'i oleh mereka yang
tidak mengetahui rohnya yang sebenarnya. Merujuk pandangan HBI, saya
setuju pembacaan puisi di RTM kurang berkesan kerana
ditangani oleh orang yang tidak mahir mengenainya. Baca puisi dan baca
pantun tidak lahir bersama rohnya.
Maka
pantun dan puisi pun seperti gula-gula getah. Mohon tidak bersetuju
persamaan yang saya buat ini kerana puisi harus berada pada tempatnya
yang betul. Disampaikan dengan cara yang betul. Puisi harus dikunyah
tetapi memelihara kunyahan itu, agar meresap ke dalam kalbu dan minda
bangsa kita. Bukan bacaan biasa yang menjadi tontonan biasa dan
dibiarkan berlalu bersama berlalunya bayu senja.
23 Oktober 2002
|