EKOR
Oleh
Hasyuda Abadi
ANDA
tentu pernah melihat ekor cicak yang terpenggal. Ceritakan kepada saya
tentang ekor cicak yang malang itu begini: saya agak nakal pada setiap
malam jumaat untuk mengumpul sebanyak empat puluh ekor cicak, hidup
mahupun mati. Kesemua ciciak itu sudah tak berekor ketika mahu
dipersembahkan kepada kerajaan tanah. Begitu juga kepada sungai di
bawah rumah atau di dalam tong sampah yang esoknya akan dipunggah oleh
pekerja Dewan Bandar Raya. Saya memikirkan tentang ekor cicak itu. Dan
tidak lagi cicaknya tapi ekornya. Ekor saja. Kepala saya
berligar-ligar membayangkan ekor yang lebih besar, panjang dan
mengikat kepada sesiapa saja. Orang kecil atau orang besar. Orang
kecil-kecil atau orang besar-besar.
Mengapa
binatang ada ekor. Manusia tak ada ekor. Harimau ada ekor. Gajah ada
ekor. Begitu juga musang. Tidak kepada katak. Tapi tak tidak kepada
monyet, kambing, beruang, babi, singa atau tupai. Rupanya manusia juga
ada ekor sebenarnya. Saya mula diingatkan oleh otak yang kekadang
kering yang mendekatkan kepada lupa. Benar manusia juga ada ekor.
Inilah saya hendak menyampaikan idea tentang ekor. Kepala saya selalu
pening kerana kerap mencari ekor di medan selera. Sup ekor yang
berkhasiat itu kononnya. Semangat yang bakal menyala dan membara.
Namun pusing kepala saya tidak kerana supkan ekor tetapi ekor yang
lain. Ekor yang dimanusiakan. Ekor yang juga memanusiakan. Ekor yang
sentiasa berada di belakang tak mungkin di hadapan tetapi ada kalanya
di depan. Ada beza antara ‘hadapan’ dan ‘depan’. Boss di
pejabat saya tunggang langgang melaksanakan tugasan juga ada ekornya.
Sahabat-sahabat saya yang punya sedikit wang dan pengaruh juga punya
ekornya. Santai di meja mamak sambil di kelilingi ekor-ekor yang
berekor-ekor. Tanpa segan dan malu menjadi ekor. Ekor demi ekor keluar
daripada tong-tong sampah!
Ekor mencari
badannya yang terpenggal. Entah kalangan yang asyik masyuk di meja
mamak itu mungkin tidak menyedari mereka sudah kehilangan ekor. Kerana
begitu asyik tak sedar ekor mereka terpenggal. Mereka sudah lupa
bahawa mereka sebenarnya punya ekor mereka sendiri. Walaupun mereka
itu menjadi ekor kepada badan yang lain. Sesekali mereka keliru bila
dibicarakan tentang ekor. Milik siapakah ekor-ekor yang tak
henti-henti ke sana ke mari memadankan kesesuaian mereka. Ada ekor
yang panjang, pendek kontot, ada yang bercabang-cabang, berwarni-warni,
berkulit keras kematu dan sebagainya kerana tidak dapat dipastikan
jenis apakah ekor-ekor itu. Boleh jagi binatang buas atau binatang
separuh buas atau kurang buasnya. Walaupun kenyataannya kebuasan akan
menentukan bagaimanakah jenis ekor itu. Namun pada saat-saat yang
genting kebuasan tidak dianggap penting. Apa yang penting sewaktu
genting ialah ekor.
Tidak
terkecuali ekor si orang alim dan para ulama yang punya ciri yang lain
pula. Mereka menjadi ekor saja dan ikut kepala. Sama ada kepala itu
berotak ok atau berotak tak ok, ekor itu ikut. Susah atau senang ekor
tak pernah mengisahkannya kepada sesiapa. Ekor patuh dan harus akur.
Tidak seperti kepala kerita api. Ada waktunya menjadi kepala, ada
waktunya menjadi ekor.
Sebentar tadi ekor menjadi kepala untuk ke hadapan. Sejam kemudian
ekor yang menjadi kepala itu bertugas menjadi ekor pula. Ekor, kepala.
Kepala ekor. Analogi ini barangkali lebih mulia malah realistik kerana
kepala dan ekor saling bekerja. Ekor sudah melihat kepala lebih arif
tentang arah jalan di hadapan mahupun di belakang.
Ada kalanya
kepala cukup berkuasa. Namun anda sudah tentu pernah mendengar ekor
juga lebih besar kuasanya daripada kepala. Ekor ini bukan sebarang
ekor. Tidak kisah di abad mana atau di alaf yang mana dan musim-musim
yang bagaimana anda akan bayangkan. Ekorlah yang memanjangkan usia
kepala. Sebab itu kepala juga sering saja pusing kerana ekor yang
terlalu panjang. Di mana kepala di situlah ekor. Ekor juga akan
menentukan kepala harus ke mana dan di mana. Kemana-mana saja ekor dan
kepala ada bersama. Di mana-mana juga kepala dan ekor bersahabat baik.
Baik dalam pengertian yang berbeza daripada pengertian yang biasa
difahami. Baik juga dianggap tidak baik apabila kebaikan itu
bermotifkan kepentingan. Apa tah lagi jika kebaikan itu bermakna
putaran kehidupan kepala akan berlaku apabila kepala akhirnya menjadi
ekor kerana ekor sudah pasti menunggu masa menjadi kepala. Jangan
tidak berwaspada. Ekor yang pernah anda injak dan biarkan di dalam
keluarga sampah saraf akan melakukan hal yang sama suatu waktu yang
lain apabila sampah saraf menjadi negeri yang membanggakannya. Sampah
dan saraf melambangkan kedaifan yang tidak selamanya daif. Di negeri
sampah dan saraf ekor sudah pasti mempelajari segala bau memberi makna
bagaimana bau itu boleh diubah menjadi bau yang enak dihidu. Segala
ulat, bangkai, raungan lalat, rakusnya anjing-anjing dan malu-malu
tikus akan mengubah senario negeri sampah dan saraf itu. Ekor yang
berada di situ menjadikan pengajaran bau sebagai amaran kepada
kepala-kepala yang selalu lupa bahawa di dalam kepalanya itu tidak
semestinya otak tetapi lain misalnya batu atau kayu.
Benar, anda
adalah ekor. Barangkali pada masa ini anda juga kepala. Sekali gus
anda kepala dan juga ekor kepada kepala anda. Bagaimanakan ini? Kepala
yang mengepalai ekor anda adalah ekor yang mengepala batukan kepala
anda. Mengepala kayukan juga sekali-sekala kepala anda sendiri. Kepala
anda itu batu yang selalu disebut kepala batu. Di dalam kepala, kepala
ekor yang ada punya terlalu digambarkan seribu satu persoalan yang
mahu dihuraikan. Sering juga digambarkannya bahawa ada orang yang
disangkakannya lupa tetapi sebenarnya andalah yang lupa. Kepala anda
sudah telalu tua. Kepala anda terlalu dipengaruhi usia tua anda itu.
Tua kepala anda kerana ketuaan anda sahaja bukan tua kematangan anda.
Anda tahu? Begitulah ekor anda. Ekor anda ikut kepala. Kepala juga
ikut ekor anda. Kepala dan ekor sama saja. Ke hulu dan ke hilir tak
ada beza. Kepala walaupun lebih tinggi daripada ekor, ini bukan
persoalan yang harus ditimbulkan. Ekor selamanya memang di bawah.
Kepala juga selamanya di atas. Itulah lambang kuasa.. Maka harus
diingatkan bahawa kepala apabila menjadi ekor selamanya dia mungkin
kehilangan kepalanya. Otaknya sudah berpindah ke lutut. Atau menjadi
perhiasan semata-mata di dalam lakaran para pelukis atau seorang
sasterawan sezaman. Mungkin saja dihias di dalam bingkai dan
diletakkan di dalam muzium kebangsaan. Hanya menjadi sejarah yang
akhirnya menjadi bualan sekurang-kurangnya berbunyi begitu: kasihan,
inilah kepala yang hilang!.
Saya bukan
penentang kepada kepala saya sendiri! Ini amaran untuk kepala yang
matanya digayai hantu dan tua bangka!. Maksud saya hatinya juga sudah
memnbeku. Jika pernah saya tekankan bahawa kumat kamit mulut kepala
yang ini hanya tahu memberi amaran kepada kepala kepada ekor-ekor yang
padanya mudah diinjak-injak (maksud saya ideanya mudah dikesampingkan
kerana keekorannya), memang benarlah demikian. Kepala yang ini tahunya
mengepalakan kepalanya tidak lagi ekornya. Pergi jahanam dengan
ekornya. Dialah kepala segala kepala. Bukan kepada kepada segala ekor.
Ekor tidak memberi apa-apa konotasi yang mulia untuknya. Kepalalah
untuk kepalanya. Ekor untuknya hanya tahu duduk di sebalik cermin dan
berkata-kata tanpa didengarinya. Kepala mereka itu sebenarnya kepala
hantu yang berkepala-kepala dungu sebenarnya.
Sayalah ekor
untuk kepala saya. Anda fikirkanlah bahawa saya ini hanya ekor dan
juga kepala untuk diri sendiri. Jika saya kepala dan sayalah ekor
mudah-mudahan ekor dan kepala berjalan seiring. Kepala tidak
mengkotak-katikkan kepala-kepala yang punya ekor-ekor yang bebal dan
kerbau. Apalah namanya kerbau tanduknya tak berguna langsung. Ekornya
juga yang memberi khidmat menghalau lalat atau bangau. Apabila
hidungnya dicucuk apakah peranan tanduk dan ekornya? Inilah dia yang
tidak wajar dicontohi. Masyarakat kerbau memang tidak boleh memberi
contoh kepada para kepala dan para ekor yang tahu nilai diri dan tahu
menghargai ekor atau kepalanya.
Rupanya anda
tidak memahami idea yang mudah ini. Mudah lagi kata seseorang meminta
pelayan semangkuk sup ekor atau kari kepala ikan! Namun awas, ekor
yang ini tidak memberi kebaikan yang baik seperti juga kepala yang
beraroma itu. Anda mungkin tidak mati kebulur atau mengeringkan erti
otak sebenar. Sebab itu
kembalilah menjadi ekor setelah menjadi kepala. Kepala anda barangkali
sudah besar, punya kuasa dan berkaliber yang menghakmilikkan suara
yang besar, tingkah yang besar dan membosankan. Inilah yang melupakan
akal anda terhadap ekor yang dibawah itu. Menjadi haiwan lebih senang
daripada menjadi manusia. Menjadi manusia lebih mudah ketimbang
menjadi insan yang menghargai daripada meminta dihargai. Maka
nyatakanlah pendirian ada apakah anda sekarang ini kepala atau ekor?
Kota
Kinabalu-Beaufort
Hak Cipta Terpelihara © Hasyuda Abadi, 2002
(Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, tidak
ada kaitan kepada sesiapa sama ada hidup mahupun yang telah mati -
Pengarang)
|