BESI
@ DEBU @ SEBUAH KEBOSANAN
oleh
HASYUDA ABADI
SESEORANG
itu akhirnya lari. Jangan kata percaya jika dijelaskan bahawa
seseorang itu telah lari kerana bosan. Pernahkah anda mengalami sebuah
pelarian seperti yang pernah dialami oleh seorang yang bosan yang saya
maksudkan dalam tulisan ini yang sudah jauh larinya. Larinya yang laju
selaju-lajunya. Lari yang jauh sejauh-jauhnya. Laju meninggalkan
lembah-lembah yang kaya dengan emas kenangan. Jauh menghuni dunia
dosa-dosa yang lain. Seseorang itu telah meninggalkan dunia-dunianya
yang palsu, memalsukan kehidupan masa lalu. Seseorang itu telah
menanggalkan daki dosa-dosa menzahirkan benih-benih yang sudah
mendewasakan zuriat daripada penat yang rela dan tak rela daripada
pelbagai ragam adam. Biarpun hitam legam dosa-dosa itu, besar dan
dewasa jugalah semua zuriat yang sudah tahu mengenal dunia-dunianya.
Situasi seperti ini hidup tanpa kehadiran kepalanya. Kerana akalnya
sudah tidak ada lagi. Kepalanya kosong. Kering kontang. Otak yang
pernah ada pada kepalanya itu sudah beku sebeku-bekunya. Urat
saraf-urat saraf yang pernah ada pada tubuhnya yang menghubungkan
otaknya sudah tegang keras tidak dapat lagi diubah-ubah. Tegang dan
keras. Keadaan ini tidak dapat dibayangi olehnya untuk memahami.
Demikianlah untuk mengerti pedih. Pedih itu adalah manusia yang
menyangkakan bahawa hanya besi saja yang boleh menghancurkannya.
Besi
saja. Di dalam kepalanya hanya besi yang ada. Hanya besi saja yang
melingkar-lingkar bak akar-akar yang belit membelit di dunia tanah.
Besi di dalam kepalanya sudah semakin membesar. Hitam legam. Logam
yang berkarat-karat itu sudah menghiasi ruang kepalanya. Kini sudah
juga mempengaruhi deria-deria yang lain. Matanya juga. Mata yang
dibantu oleh kanta palsu juga sudah dibayangi besi. Giginya juga sudah
diwarnai warna besi, hitam lengam dan karat. Telinganya juga pantang
mendengar suara besi dibuang di merata tempat. Tangan-tangannya, kaki-kakinya
malah punggungnya juga sudah dialahi besi yang sudah menjadi raja
berdiri gah di hadapan kehidupannya. Tiada apa lagi yang dirisauinya
selain besi-besi yang jika tidak dapat ditemui akan menghancurkan
kehidupannya yang kaya dengan sebuah masa depan yang menjadikannya
senang lenang. Dibayanginya besi menjadi suatu nilai lain yang sering
menghantuinya. Kini dia dihantui kerisauan-kerisauan baru kerana
telinganya tidak lagi mendengar gemercang besi dibuang di merata
tempat atau dilongokkan pada lokasi-lokasi khas. Matanya juga tidak
melihat besi-besi di merata tempat. Tangan-tangannya dan kaki-kakinya
tidak lagi menyentuh karat besi yang hitam legam. Hidungnya tidak juga
menghidu bau besi. Aduh! Gila. Gila mendampinginya. Gila-gila besi
menguasainya. Seseorang itu menggilai besi!
Seseorang
itu akhirnya lari kerana mendekati besi. Rumah-rumah mimpi yang ngeri
ditinggalkannya. Rumah-rumahnya juga telah roboh tatkala
tiang-tiangnya diusik angin perubahan yang mendadak. Ditambah
kehadiran anai-anai yang bernafsu. Itu tidak dipedulinya lagi. Kerana
apapun tidak bererti, jika bererti pun tidak mungkin dapat
mengembalikan sebuah kenangan yang bermakna. Makna kenangan hanya baik
untuk suatu ketika di mana kehidupan itu memberi pulangan yang
munasabah. Jika tidak memberikan pulangan yang mempunyai nilai apalah
ertinya. Tentang kasih sayang, segalanya punah ranah. Maka biarkanlah
anai-anai nafsu itu memamah-mamah rumah-rumah kehidupannya. Hati
meraung-raung juga hingga habis segala air mata. Mengenang mata air
yang dibebat paksaan-paksaan dan nafsu-nafsu buasnya. Dirasakan pedih,
memang pedih. Seperti rama-rama yang hinggap ke pohon demi pohon
memohon perlindungan. Sama ada memberi atau diterimanya manis, putaran
hidupnya sudah ditentukan bahawa dia hanya tahu untuk terbang, singgah
dan terbang semula hinggalah segala bulu pada kepaknya gugur satu demi
satu. Dan dia tidak tahu nikmat terbang untuk dirinya lagi.
Pandangannya
samar. Hatinya meraung-raung menahan sebak dan kepedihan.
Dijelajahinya setiap lokasi pembuangan. Besi tidak juga dinampakkan.
Besi tidak juga ditemui lagi.
Jangan
anggap idea ini betul meskipun barangkali benar. Anda fikirkan saja
tentang besi atau otak besi yang dipunyai seseorang yang sudah tidak
tahu makna nilai. Apabila sudah tidak dapat membezakan keluhuran hati
budi, besilah menjadi perimbangannya. Bukan emas. Bukan perak. Bukan
juga intan berlian. Demikianlah fikirannya sudah disesakkan
sesalan-sesalan masalalu. Oh, masalalu sudah tidak mungkin
mengenalinya, sebagai seseorang yang ramah dan boleh berkata-kata
manis. Masalalu jugalah yang mengubahnya menjadi seseorang yang
serakah dan tamak haloba. Hilang punca untuk menegakkan pendirian.
Sebuah dunia baru yang kononnya terpaksa dilalui. Terpaksa juga
menegakkan semula rumah yang sudah runtuh. Terpaksa juga menerima
ikatan walaupun ikatan itu berasal daripada tali-tali usang. Terpaksa
juga mengikat tali-tali yang usang itu demi suatu kehidupan masa depan.
Fikiran begini semakin membiak. Membiak dan membesar, hanya belum
sampai waktunya untuk meletuskan sebuah letupan ajaib pada suatu
ketika yang lain.
Letupan
itu akhirnya meletup juga. Hanya tidak akan dilihat atau dirasai,
sesungguhnya begitulah. Bagaimana kuat sekalipun, letupan ini tidak
akan didengar dan mendengarkan. Letupan ini bukan letupan bom-bom atau
tembakan-tembakan yang pernah anda lihat di peti tv ketika ini atau
suatu waktu yang lain yang anda mungkin ingat atau anda pernah lalui.
Barangakali, anda bayangkan saja bagaimana selepas sesuatu letupan itu
berlaku. Bahangnya amat membahangkan. Daripada benda-benda kering
hingga benda-benda basah. Daripada zarah-zarah yang tidak ada pada
mata hinggalah kepada zarah-zarah yang telah membangunkan suatu
bangunan alam. Daripada alam yang nyata hingga ke alam yang tidak
nyata. Bayangkan darjah bahang letupan itu. Memamah segala-galanya.
Segala-galanya menjadi tidak keruan lagi. Hancur lumat. Dan mendebu.
Sunguh-sungguh.
Berterbanganlah debu-debu itu. Menjelajah ke merata ruang. Ruang-ruang
yang luas dan kurang luasnya. Ruang-ruang yang sejuk dan yang kurang
sejuknya. Ruang-ruang yang hijau dan kurang hijaunya. Menjelajahlah
debu-debu itu ke merata tempat. Dari bumi ke awan gemawan. Debu-debu
itu bersatu dengan debu-debu yang sudah lama menjadi debu, yang
bertaburan di ruang penjelajahannya. Debu-debu itu bersatu juga dengan
debu-debu yang baru menjelma sebagai debu. Sekarang debu-debu itu,
kerana telah bercampur baur, sudah sukar dikenali. Debu-debu itu juga
tidak tahu apakah dia debu-debu yang baru menjadi debu atau yang sudah
lama digelar debu!
Mungkin
juga debu-debu itu hinggap pada besi! Sebenarnya debu-debu yang sudah
tidak dikenali masih berterbangan termasuklah yang hinggap pada besi.
Mengikut rentak angin yang datang. Ketika angin bergerak ke arah timur,
ke timurlah ia. Ketika angin bergerak ke arah barat, ke arah baratlah
ia. Ketika ditup angin menuju ke arah utara ke arah utaralah ia.
Ketika gerak angin menuju ke barat daya ke barat dayalah dan
seterusnya yang tidak dapat diteruskan di manakah gerak angin itu
sebenar-benarnya. Hanya selalunya angin itu pun bertiup tidak tentu
hala. Debu-debu itu juga turut diterbangkan dalam keadaan yang tidak
tentu hala. Barangkali ketika angin bertiup ke timur, ia tidak ke
barat tetapi ke selatan. Mungkin ketika angin bertiup ke arah utara,
ia tidak ke selatan tetapi ke timur. Mungkin juga, ketika angin
bergerak menuju arah barat, ia tidak ke timur yang terjadi gerakannya
ke suatu arah yang entah di mana. Boleh jadi di mana-mana. Semakin
jauh meninggalkan apa-apa saja yang ada bersamanya dulu. Debu-debu
meninggalkan segalanya. Tidak kedengaran ratap tangis untuk debu-debu
ya ng pergi itu. Ya, sekurang-kurangnya debu-debu itu juga dipunyai
seorang ibu dan seorang ayah atau lebih. Meskipun mungkin dipunyai
ramai ibu dan ramai ayah. Maka sepatutnya ramai juga sanak saudaranya.
Tiada bahasa sapa atau selamat jalan untuk debu-debu itu. Debu-debu
berterbangan dibawa angin. Debu-debu kembara mengikut rentak angin.
Tidak siapa boleh menghalang kerana tidak siapa dapat memandang di
mana debu-debu itu berada. Dan tidak siapa dapat mengenali antara
debu-debu itu, bahkan. Hanya ada, ketika debu-debu itu hinggap di mata.
Berairlah si mata itu. Si mata menjadi merah. Bedebah debu, mungkin
itu kata si empunya mata. Kebedebahan debu masuk ke dalam saraf otak
hinggap ke kalbu dan berdetak-detak pedih itu.
Airmata
dan kepedihan menjadi mimpi-mimpi yang menghantui. Menjadi
keping-kepingan yang berjatuhan di lantai. Seperti debu-debu yang
berterbangan di udara, di angkasa, melewati ruang-ruang, hinggap di
merata tempat adalah seseorang yang sudah gagal mengenal diri. Besi
kehidupannya juga gagal mengawal keutuhan dan harga diri untuk
menjelmakan diri sebagai seseorang yang bernilai oleh sesiapa jua.
Debu, besi dan juga kebosanan yang tidak mungkin digemari dan dimahui
adalah muzik untuk lagu kepedihan tetapi ilmu untuk kewaspadaan. Dan
kewarasan. Seseorang itu akhirnya lari dan tak menemui jalan kembali.
Seseorang itu menemui dirinya di lembah-lembah yang sama
berputar-putar, gugur dan bangun. Dan gugur lagi kemudian bangun
semula. Alangkah!
Kota Kinabalu-Beaufort
Idea
awal pada: 27 Oktober 2000
Ditaip
pada: 4 November 2000
Hak Cipta Terpelihara © Hasyuda Abadi, 2000
(Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, tidak
ada kaitan kepada sesiapa sama ada hidup mahupun yang telah mati -
Pengarang)
|