CITRA TIDAK BERAKHIR DI SINI

oleh HASYUDA ABADI

 

 

TAHUN 1962.

            Orang ramai berpusu-pusu meninggalkan bandar. Ada yang cuba mencari tempat perlindungan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan. Stesen keritapi, perhentian bas, dan kenderaan awam lain dikerumuni orang ramai walaupun hakikat konfrantasi yang dikhabarkan  belum begitu jelas. Kendatipun bandar ini jauh dari sempadan namun kecurigaan mereka membuak juga apabila melihat mata-mata di tempatkan di tempat-tempat utama.

 

            Saat inilah saya berazam untuk menemui Rupa. Sudah tentu Rupa terperanjat, malah bangga, mungkin. Pasti dia gembira memperolehi sesuatu yang tidak diduga-duganya. Pertama kerana kepulangan saya dan kedua, sesuatu yang akan saya persembahkan kepadanya.

 

            Seingat saya, Rupa tinggal dalam pondok di tepi belukar Sri Menanti, kampung halaman saya di pedalaman dan tidak jauh dari rumah kami. Dia tinggal sebatang kara. Tiada saudara mara kecuali keluarga saya. Selebihnya orang-orang kampung yang sudi mendengar cerita-cerita perjuangannya di masa silam, tentang kekejaman penjajah dan tentang perjuangan para pejuang peribumi.

 

             Saya masih ingat apabila hendak berangkat ke Jesselton. Rupa membekalkan pesanan yang amat bermakna. Perjalanan merupakan jambatan yang menghubungkan jiwa dan tindakan, demikian katanya. "Seharusnya kau membina jambatan, bukan merobohkannya. Walaupun beralasan kau mesti permudahkan hadangan-hadangan yang bakal kau hadapi esok dan hari-hari yang mendatang." Rupa mengiringkan  doa dan semangat perjuangan.

 

            Pesan Rupa amat berkesan sekali ketika berada dalam hutan sewaktu menyertai gerakan MPAJA saat kependudukan Jepun di Malaya.  Memang berat perjalanan itu. Kehidupan yang benar-benar hidup ini memberi cermin yang jelas, bagaimanakah wajah  perjalanan saya. Bayangkan, dari Utara Borneo ini saya ke Tanah Melayu kemudian berada dalam hutan pula. Saya berfikir, inikah juga kehidupan hidupnya Rupa semasa berada 'di dalam hutan'nya dulu?

 

"AMIN nak jadi pengarang seperti Munsyi Abdullah," kata saya suatu hari apabila Rupa bertanya tentang cita-cita. Zaman kanak-kanak adalah waktu di mana bermulanya impian-impian hari depan. Pada waktu inilah kanak-kanak seperti saya diajukan pelbagai andaian untuk dewasa kelak. Dan, saya memilih pengarang.

 

            "Amin mahu karang cerita macam Syed Shiekh Al-Hadi," sambung saya dengan ungkapan yang patah-patah ketika menyebut nama-nama agung yang pernah diceritakan, malah mendengar kisah yang dikarang oleh mereka, melalui guru saya  yang berasal dari Pasai, Sumatera.

 

            "Selepas itu apa lagi?" Rupa tersengeh menampakkan giginya yang besar-besar dan jarang.

 

            "Saya nak merantau macam Pakcik. Saya nak..nak.." ungkapan saya terhenti seketika untuk berfikir. Kemudian menyambung," Saya nak lawan penjajah!"

 

            "Penjajah?" Rupa menggaru-garu kepalanya yang semakin kemarau rambut.

 

            "Guru saya pernah kata lawan penjajah bagus. Kita mesti hidup bebas. Eh, kenapa Pakcik terkejut? Kawan-kawan saya juga suka jadi pahlawan menentang penjajah. Kami mau jadi macam Mat Salleh, Antanom...," ujar saya. Rupa tidak berkata apa-apa.

 

            "Penjajah tu siapa, Pakcik?" Tanya saya kemudian.

 

            Rupa tersentak. Sambil gelak, dia membetulkan keadaan duduknya dan mengusap rambut saya yang mula mencecah dahi.

 

            "Kau masih kecil Amin. Jika sampai masanya nanti Amin tahu juga," Rupa menatap wajah saya dengan penuh wibawa. Saya juga menatap wajahnya yang mempunyai kesungguhan apabila berbicara. Saya menatap parut-parut di tepi dahinya yang luas, di bawah telinganya yang lebar dan pada badannya yang sudah mulai susut. Mulanya saya hendak bertanya lebih lanjut tetapi Rupa cepat-cepat memeluk saya. Saya tidak mengerti tetapi itulah kelaziman Rupa bila bersama saya.

 

            Keanihan yang ada pada Rupa tidak dapat saya telaah benar-benar kecuali bila saya memasuki gerbang remaja dan mula memahaminya. Terutama mengenai kehidupan Rupa. Orang-orang kampung kata Rupa seorang yang anih. Ini saya dengar berkali-kali bahkan beratus-ratus kali. Namun, yang jelas Rupa seorang lelaki yang baik, pendiam dan suka menyendiri tetapi petah semasa  bercerita.

 

            Rupa banyak bercerita tentang kezaliman, penganiayaan dan sikap tamak orang-orang Eropah. Rupa mengisahkan bagaimana kedatangan Inggeris di kampung halamannya di Tibabar. Orang-orang kampung termasuk ayah dan abangnya serta adik kembarnya bangun menentang. Tetapi mereka gugur. Beberapa orang tali barut Inggeris telah menyiksa dan membunuh apabila orang-orang kampung gagal menyerahkan cukai.

 

            Walaupun Rupa terselamat, namun jiwanya tetap memberontak. Dia telah mengenal makna kekejaman dan penindasan. Jiwa halusnya mengenal siapa penjajah, siapa bangsa yang bertamadun dan siapa bangsa yang berperibadi mulia.

 

            Sejak itu juga Rupa mengenal orang-orang Eropah sebagai musuhnya. Rupa benci kepada penjajah dan penjajahan. Sampai saya menjangkau usia enam belas tahun Rupa masih tidak berubah. Ceritanya sama sehingga saya juga turut membenci mereka. Entahlah, rupa-rupanya segala  cerita Rupa memberi kesan dalaman yang membawa keinginan-keinginan untuk berhadapan dengan orang-orang yang telah merampas kasih sayangnya. Penjajahan telah merampas kasih sayang kekeluargannya. Kematian telah mengasingkan belaian mesra yang diimpikannya.

 

            "Dari mana Amin dapatkan buku ini?" Rupa tertarik pada sebuah buku yang sengaja saya bawa ke pondoknya sambil membelek-belek helaian muka buku yang kelihatan sudah agak lusuh kerana kerap bertukar tangan. 

 

            "Guru Amin," balas saya pendek. Saya diam. Rupa juga tidak berkata apa-apa tetapi dia amat tertarik dengan gambar-gambar yang terdapat dalam buku itu.

 

            "Ini siapa lukis?" Rupa memecah keasyikan saya sambil menunjuk gambar seorang pahlawan yang yang tiru dari buku itu. Buku Sejarah Borneo tulisan seorang orientalis Barat.

 

            "Inilah Mat Salleh," jawab saya separuh bangga. Seingat-ingat saya sudah lebih lima kali lukisan itu tidak menjadi.

 

            Rupa mendagu. Ternyata wajahnya sekilas berubah. Saya tidak menaruh wasangka yang bukan-bukan terhadapnya kerana Rupa memang seorang yang anih.

 

            "Begitu rupa dia Pakcik?" Saya cuba meriakkan kemurungan Rupa. Rupa masih leka membelek-belek buku, kalau-kalau masih ada gambar serupa, walaupun hanya lukisan, kemudian dia melangut di suatu sudut pondoknya. Dia mematikan pandangannya pada tengkolok dan sebilah pidah yang tergantung rapi di atas dinding. Saya memerhatikan gelagat anih Rupa.

 

            "Inikah rupa Mat Salleh, Pakcik?" Ulang pertanyaan saya. Rupa memandang terpinga-pinga.

 

            "Err..tidak," balasnya. Saya tertarik dengan jawapan 'tidak'nya. Saya membetulkan keadaan duduk dan ingin mendengar cerita Rupa selanjutnya. Mungkin ada rahsia lain di sebalik lukisan saya.

 

            "Kami panggil dia Datu Paduka. Dia lebih tampan, wajahnya sentiasa berseri. Datu Paduka patuh pada janji dan berani!" Perkataan 'berani' menyemarakkan semangat Rupa bercerita. Jari-jemarinya dibukukan.

 

            "Datu Paduka?" Saya menggaru kepala. Belum mengerti.

 

            "Dia seorang pahlawan bumi bertuah ini. Pahlawan Borneo yang maha gagah dan perkasa. Malangnya dia sering ditipu dan dianiaya oleh Inggeris," mata Rupa mulai berkaca. Dia menghadangkan muka kepada pandangan sebuah hutan tidak jauh dari kampung. Dia seolah-olah memandang jauh seperti mengenang sesuatu.

 

PASTINYA Rupa sudah tua sekarang. Sudah terlalu tua. Mungkin rambutnya sudah tidak tumbuh. Atau gusinya kecut. Pipinya juga barangkali sudah kerdut dimamah masa. Tentu apa yang saya gambarkan ini sama seperti surat yang dihantar oleh Minda beberapa bulan yang lalu.  Hasrat saya pulang telah saya khabarkan tetapi tidak menyatakan tujuan yang lain. Malah Minda tidak menceritakan perihal Rupa, kecuali mengenai kematian ayah dan ibu di samping sedikit sebanyak tentang kampung halaman.

 

            Terlalu lama saya tidak pulang. Hampir lima belas tahun. Tetapi jika dikira-kirakan, masa itu sesungguhnya terlalu sekejap. Saya masih ingat selepas zaman darurat berakhir saya tidak dapat kembali seperti yang dijangka.

 

            Di Jesselton saya dibebaskan kerana pihak penjara berpuas hati terhadap pekerti dan kelakuan saya. Kemudian bekerja sebagai penjual surat khabar North Borneo Daily Post setelah lebih enam bulan tidak mempunyai kerja tetap. Pemilik syarikat surat khabar tersebut pula telah menawarkan kerja sebagai proof-reader apabila mendapat tahu saya boleh membaca dan menulis. Namanya Tuan D.Stephenson, rakyat tempatan kacukan Inggeris. Katanya dia tertarik dengan tulisan berbentuk adventure dan meminta saya menulis sesuatu yang boleh memajukan syarikatnya.

 

            Saya mula teringatkan Rupa semasa bertugas dengan syarikat tersebut dan merangka-rangka menulis mengenai perjuangannya semasa menentang penjajah. Saya beranggapan bahawa pahlawan adalah mungkin sesiapa sahaja, tidak semestinya dia seorang yang ternama. Walaupun sekadar seorang pengikut. Dia juga seorang pejuang. Yang pasti, pejuang mesti diberi penghargaan.

 

            "Rupa adalah jiwa saya. Rupalah yang menjiwai kewarasan dan kebenaran," demikian jawab saya apabila rakan-rakan cuba mengkritik. Di samping bersetuju, ramai juga yang enggan menerima kenyataan yang tersirat. Kata mereka, seorang pengecut seperti Rupa yang mungkin ramai lagi manusia sepertinya, tidak perlu digembar-gemburkan. Apa lagi  jika hanya sekadar menjadi pengikut Paduka Mat Salleh!

 

KENDERAAN Land-rover 12 penumpang berwarna kelabu gelap yang membawa saya dari stesyen keritapi di pekan betul-betul berhenti di hadapan sebuah pondok kecil. Ada beberapa perkataan dalam tulisan jawi terpampang di atas sekeping papan di tepi pondok yang tidak berdinding itu: SELAMAT DATANG KE SERI MENANTI, bunyinya.

 

            Saya terkenang semula semasa kecil. Estet ini juga turut terkenal dengan pertunjukan-pertunjukan bangsawan dari Malaya dan Singapura. Suasana Seri Menanti sudah jauh berubah walaupun belum merdeka. Ini berlaku kerana masyarakatnya amat bertanggungjawab, bekerjasama dan menyiratkan semangat berganding bahu. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Saya berharap keadaan ini berterusan apabila kemerdekaan Borneo Utara menjadi kenyataan. Apabila pembentukan sebuah negara diistytiharkan. Apabila kesepakatan kata ditemui antara pemimpin kaum yang  sedaang menemui rakyat masing-masing. Memikirkan jauh tentang makna kemerdekaan hasrat saya menemui Rupa memakin memara.

 

            "Pak Cik Rupa sudah tiada Abang Amin," tersentak  saya mendengar penjelasan Minda secara tiba-tiba. "Dan, abang tidak akan bertemu dengannya lagi!" Sambung Minda yang kulihat mulai terisak-isak. Saya bingung. Kemelut mulai melanda diri saya. Saat itu saya mahu bertanya lebih lanjut keadaan sebenarnya dari mulut Minda sendiri.

 

            Tidak sempat bertanya, Minda segera membawa saya ke suatu kawasan sepi, berbatu pejal dan tanah-tanah bengkak di merata tempat. Minda memaksa saya bila saya enggan kerana belum mahu menerima kenyataan. Bagaimana berita baik ini? Tanya hati saya. Penghargaan untuk Rupa mesti saya sampaikan. Saya ingin melihat Rupa ketawa walaupun yang pasti senyum dan gelaknya sudah tidak semesra dulu. Saya ingin mendengar ucapan apa saja darinya kerana cita-cita menjadi seorang Munsyi Abdullah atau Syed Shiekh Al-Hadi sudah tercapai.

 

            "Inilah tempat Pakcik Rupa sekarang. Percayalah. Abang...Abang mesti percaya," Minda memeluk saya dengan hiba sekali. Airmatanya bercucuran membasahi kemeja saya. Saya merenggangkan pelukan Minda dan membongkok sambil mengeja nama yang terpahat pada batu pejal di atas tanah bengkak di hadapan kami.

 

            "Saya tahu abang marah kerana saya tidak mengkhabarkan semua ini," Minda turut membongkok dan mencapai rumput-rumput yang meliar di pusara Rupa. Saya memandang Minda. "Pakcik Rupa berpesan supaya abang tidak terkejut dan terganggu. Pakcik Rupa juga berpesan bahawa dia tidak payah diingat sebagai pejuang. Katanya, dia bukan pejuang tetapi manusia yang tidak berguna. Pengecut!"

 

            "Kenapa begini lama. Minda? Setelah hampir lima belas tahun?"

 

            "Selang beberapa bulan selepas Abang meninggalkan kampung, Pakcik Rupa tidak balik semasa masuk ke bukit itu hampir tiga puluh hari. Suasana kampung ini berubah sejak ketiadaannya. Entahlah, mungkin dia kehilangan. Orang-orang kampung mencari di merata tempat. Abang ingat tempat pertapaannya dulu, bukan?" Saya mengangguk.

 

            "Pakcik ditemui di situ?"

 

            "Tidak, sebenarnya Pakcik Rupa sesat. Arwah ayah kata, dia seperti tidak percaya Pakcik Rupa boleh tersesat di 'rumah'nya sendiri. Semasa di usung pulang Pakcik masih bernafas tetapi dia meninggal setelah tiba di rumah. Ayah kata, Pakcik bercerita semasa diusung," sambung Minda.

 

            "Tentang kezaliman? Penganiayaan? Peperangan?"Tanya saya.

 

            "Abang lebih memahami dirinya. Tetapi bukit di hujung kampung ini mempunyai rahsia yang tidak mudah kita cari. Kecuali Pakcik Rupa sendiri. Selainnya tidak mungkin, termasuk kita - abang, arwah ayah, arwah ibu, saya, suami saya atau penduduk kampung," Minda mengakhiri ceritanya di situ.

 

            "Pakcik Rupa!" Saya duduk melutut mengusap batu nisan yang terpacak teguh di situ sejak lima belas tahun lalu. Di sana-sini rumput mengerumuinya. Airmata saya tidak dapat bertahan dalam tasiknya yang mula meriak. Minda membiarkan saya yang sedang menghadiahkan Al-fatihah untuk arwah Rupa selepas berbisik untuk menziarahi pusara ayah dan ibu.

 

            Di udara sekali-sekala terdengar bunyi kapal terbang melintasi ruang udara Seri Menanti. Kanak-kanak berkeliaran ke sana sini sambil mengutip kertas-kertas yang disebarkan dari udara. Sekelip mata juga kapal terbang tadi hilang dari pandangan mata. Seorang kanak-kanak menyerahkan kertas yang dipungutnya. Apakah konfrantasi benar-benar akan berlaku? Peperangan? Kekalutan mulai bermain dalam fikiran. Dan, cerita-cerita Rupa tidak berakhir di sini.

 

 

Kota Kinabalu,

Sabah.

1996.

Hak Cipta Terpelihara İHasyuda Abadi, 1996