Mengarca Rahsia

 

Akar Percakapan

 

seketika sulit menjadikan akar sebagai punca

selagi belum mengenal apakah makna punca

apakah makna akar

 

antara tawa atau basah di celah pandang

saujana laut riwayat akar melingkari tubuh

kalbu tak pernah siap digubah

walaupun akhirnya ada penyudahnya

 

kau dengarkah suara

ketika mengungkapkan kenangan?

masa silam adalah kolam rahsia yang berakar

pada rindu

bukalah citra itu, adakah akarnya?

 

kita sering didekati rahsia percakapan

akar kehidupan, awan dan langit kedamaian

walaupun ada duka, ada suka

walaupun ada suka, ada duka: ada gusar berlabuh

 

ayuh kayuh perahu makna yang bakal ditemui

di sisi gelombang tabah,

adakah akar-Nya?

 20 Ogos 1997