PERHIMPUNAN "PENULIS YANG HILANG" DI PANTAI BUNDUSAN, PAPAR 

MESKI sedikit lewat, menghadiri majlis Perhimpunan Penulis-penulis Veteran Sabah di Pantai Bundusan, Papar merawat kerinduan terhadap penulis-penulis yang sudah lama menghilang. Pada wajah Haji Shuhaibun Yussuf (Pak Shuhaibun), insan yang berada di belakang penganjuran aktiviti dua hari ini, tergambarkan kepuasannya. Walaupun tidak semua penulis veteran dapat menghadirkan diri namun ini menjadi perintis kepada penganjuran yang lain. Tentulah bisik-bisik Pak Shuhaibun yang hinggap di telinga saya akan dibawa balik oleh Pengarah DBP Cawangan Sabah, Sdr Zaini Ozea dan Pengerusi MBSS Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad. Di Sabah DBP dan MBSS merupakan tonggak kepada keutuhan gerakan sastera dan bahasa sekali gus membina budaya baca, seni, ilmu secara berterusan di samping persatuan-persatuan penulis yang aktif seperti IPS, Bahasa dan juga Warisan.

Perhimpunan ini diisi dengan acara baca puisi pada sebelah malam 21 September dan forum dijalankan keesokannya ditenagai oleh ahli panel yang hebat iaitu Datuk Haji Halik Zaman, Datuk Haji Ismail Abbas dan Sdr. Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin di samping Sdr. Zaini Ozea yang bertindak sebagai pengerusi. Datuk Haji Halik adalah seorang penulis puisi yang amat popular di zamannya. Beliau juga merupakan seorang ahli politik Sabah yang pernah digelar ‘Singa Berjaya’ di zaman kerajaan Berjaya menerajui negeri Sabah. Datuk Haji Ismail Abbas atau lebih dikenali sebagai Amil Jaya merupakan mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah dan penerima SEA Write's Award. Datu Tigabelas pula adalah Pengarah Jabatan Arkib Negeri Sabah.

Perhimpunan yang dirasmikan oleh Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad, Pembantu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah telah menghimpunkan lebih 50 orang penulis baru dan lama. Antara mereka ialah Datuk Haji Murshidi Nambi, Datuk Haji Ismail Abbas, Datuk Yaman Ahmad Mus, Datuk Haji Halik Zaman, Datuk Haji Dahali Elias, Hajah Dayang Salmah Salam, Dr. Haji Abdul Aziz Ahmad, Pg. Haji Bagul Pg Hassan, Haji Masri Mohd Yassin, Ramli A.R. dan Anan Ramli. Secara umum perhimpunan ini amat bermakna kepada barisan penulis veteran. Memang banyak yang boleh disumbangkan kepada mereka sebagai penghargaan. Sungutan yang sering diluahkan di belakang perlulah dibawa lebih jauh ke dalam. Penulis bukanlah sesiapa dan apa-apa sekiranya keberadaan mereka itu tidak melambangkan makna di dalam setiap buah fikirnya. Mereka juga tidak bermakna kepada orang lain sekiranya orang lain itu tidak memandang jauh ke dalam sanubari para penulis ini. 

Perlukah sebutir bintang disematkan di baju sebagai mengenang jasa mereka? Anugerah kebesaran negeri atau negara yang bagaimanakah dapat diimbangi dengan jasa yang telah mereka taburkan. Anak bangsa kita boleh ke mercu jaya kerana adanya khazanah ilmu yang dibina oleh para penulis. Namun penulis selalu saja dipinggirkan dan tidak dilihat berada sebaris dengan pemimpin besar negara!

Apabila Perdana Menteri membacakan puisi sejak akhir-akhir ini, apakah kita memandang ke arah penulis lain? Apakah PM itu seorang penyair sebaik penyair yang sedia ada? Apakah karyanya menjadi karya agung suatu hari nanti sehingga terlalu diagung-agungkan berbanding karya-karya yang dihasilkan oleh A.Samad Said, Usman Awang, Amil Jaya, Jamdin B dan sebagainya? Jawapannya mudah kerana PM seorang pemimpin yang dihormati dan apa saja yang perkatakannya akan menjadi igauan orang lain.

Walau apapun yang berlaku harga diri para penulis ini tetap berada pada tempat yang wajar iaitu sikap dan pendirian yang mereka pelihara yang perlu dihormati. Sejarah harus menghargai pendirian seseorang tanpa meletakkan sesiapapun mengikut arus yang telah ditetapkan. Saya fikir MBSS melalui pengerusinya telah dapat merasai makna dalaman para penulis kita sama ada yang masih bergerak mahupun yang hilang di telan usia dan gelombang kehidupan. Mengingati mereka tentu tidak sekadar kenangan-kenangan yang menghiburkan. Apa yang wajar kita luahkan ialah ilmu, idea, pemikiran, falsafah dan sikap mereka terhadap dunia melalui media yang pernah mereka kuasai. Sekiranya mereka sudah tidak boleh menulis tidak mengapa. Jangan dipersoalkan mengapa mereka hilang. Mengapa mereka tidak menulis atau apabila menulis tidak lagi sehebat tulisan mereka dahulu.

Penulis-penulis baru pun sudah ramai yang hilang sebenarnya. Ini juga tidak perlu dipersoalkan. Biarkanlah kerana itu pilihan mereka dan kita yang masih menjiwai, meruangi, menghidupkan rahsia sastera kita harus meneruskannya. Seperti kata Datuk Haji Halik, penulis tidak pernah bersara dan tidak pernah menjadi mantan selagi nyawa masih dikandung badan. Esok akan lahir lagi penulis-penulis baru dan akan hilang kemudian muncul dan muncul seribu penulis yang akan mengalami pusingan yang sama.

Akhirnya, kita akan menghimpunkan penulis-penulis veteran yang seterusnya!

Semoga penulis-penulis yang benar-benar ikhlas dan jujur akan menghargai apa jua yang telah mereka terima. Mudah-mudahan usaha yang dilakukan oleh Kerabat Budayawan Gapena, DBP Cawangan Sabah dan MBSS ini menjadi perangsang kepada mana-mana organisasi untuk melaksanakan perhimpunan yang lain di tempat lain pula di samping dapat mengesan lebih ramai lagi penulis-penulis lama dan baru yang menghilang. Syabas kepada Pak Shuhaibun di atas usaha murninya ini dan semua ini telah membayar penat lelah beliau dan seluruh jentera jawatankuasa penyelenggara.

22 September 2002