Make your own free website on Tripod.com

 

 

 

SAMBULAYANG SEORANG NANDRA

oleh Hasyuda Abadi

SAYA ingin menyatakan bahawa 'Sambulayang' masih mengekalkan tradisi produksi Teater Perdana dengan mempertahankan bentuk atau ciri-ciri sejarah penentangan rakyat pribumi terhadap penjajah kecuali 'Orang-orang Pulau'. Seperkara yang mungkin boleh dibincangkan ialah teater yang menyemarakkan Dewan Besar DBP setiap tahun sejak 2004 begitu ketara menumpukan kepada citra budaya etnik tertentu sahaja. (Mohon betulkan saya jika anggapan ini kesasar). Sekiranya teater berjaya mengangkat keinginan TYT berangkat hadir kerana pendekatan di mana manipulasi etniknya tertonjol saya fikir teater perdana tidak memberikan impak seni yang besar, sempit malah kerana andatila budaya etnik di Sabah begitu banyak jika diungkayahkan sebagai sebuah karya seni yang berprestij.

Isu kedua yang ingin saya utarakan ialah kononnya kehadiran Deddy M.Borhan dalam produksi Teater Perdana DBP Sabah kali ini disebabkan wujud kecercamerbaan di kalangan penggiat teater. Jika benar, saya fikir kebenaran ini juga telah meletakkan Deddy sebagai penggiat seni yang profesional. Meskipun beliau dikenali sebagai pendokong perfileman Melayu yang luar biasa pada suatu ketika, beliau juga mampu meletakkan dunia teater berada pada suatu tahap yang dibanggakan. ‘Sambulayang’ arahan Deddy mewujudkan kelainan membenarkan kenyataan Encik Zubaidi Abas, Pengarah DBP Cawangan Sabah sebelum pementasan perdana dilaksanakan. Saya tidak mengatakan inilah persembahan yang terbaik untuk slot Teater Perdana, kerana setiap produksi itu ada kelebihan dan ada juga kekurangannya. Jurang pemisah antara satu karya seni dengan karya seni yang lain tentulah terletak kepada kreativiti, 'teamwork' dan tingkat profesionalisme masing-masing. Sebagai hasil seni 'Sambulayang' cukup bermakna dalam pembangunan teater biarpun 90 peratus pelakon teater sejarah ini terdiri daripada nama-nama yang baru pertama kali beraksi di atas pentas.

Isu ketiga, berkaitan dengan skrip ‘Sambulayang'. Saya ingin menyatakan pandangan peribadi saya berkaitan hal ini. Saya pernah bertanya kepada penulisnya Nandra Hitong semasa kami mengajar Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) di PLKN Kem Kubena Sipitang baru-baru apakah beliau dipelawa atau dijemput dalam apa-apa perbincangan tentang produksi teater perdana. Nandra sebagai nama penting dalam dunia teater di Sabah selain sebagai seorang pelukis yang berpengalaman, hanya memberikan reaksi selamba. Namun pada malam persembahan 7 September lepas, saya melihat wajahnya yang sugul serta sedih sekali. Saya melihat beliau duduk di anjung kantin DBP Sabah ditemani Karim Gullam dan seorang pegawai DBP. Ketika saya duduk bersama, saya mendengar kata hatinya. Memang beliau kecewa dan sedih kerana skrip ‘Sambulayang’ telah 'dihiris-hiris dan dicincang-cincang macam cendawan pada batang kayu'. Barangkali ia sekadar bayangan dalam fikiran saya sahaja (maafkan saya jika terlalu hiperbola), namun saya fikir perlu juga dijelaskan kepada penulis yang juga menggunakan nama Nandrayantirow dalam bidang penulisan kreatif tentang kedudukan yang sebenar.

'Saya tidak tahu saya harus berada di mana, makan di mana dan duduk di mana dalam majlis tadi?' adu Nandra. Saya merakam perbualan ini dengan baik sekali. Kesian dia, bunyi pesanan ringkas sahabat baik saya yang tidak hadir pada malam itu.

Kata Nandra lagi, 'Saya berada di celah-celah pemain dan tenaga produksi sehabis teater tetapi itu pun kerana diminta oleh Pengarah DBP kerana saya bukan bahagian dalam produksi'. Namun Nandra seorang yang rendah diri, bukan orang yang suka membesar-besarkan sesuatu, hanya mengambil kesimpulan bahawa apa yang dialaminya sebagai 'tetamunya sahaja yang perlu dibuai dan menerimanya dengan positif.'

Sambil ketawa kecil memandang saya membelek-belek buka cenderamata yang tidak terdapat gambarnya sebagai penulis skrip. Pada saya, penulis skrip wajar sekali dimaklumkan tentang apa sahaja yang berkaitan dengan produksi walaupun ada anggapan bahawa Nandra hanyalah penulis sedangkan skrip itu kini menjadi milik DBP namun dari segi hak inteleknya pula Nandra tetap berhak mengetahui sejauh mana berlaku rombakan skrip sebenar. Kedudukan penulis skrip biasanya berada di belakang dan dalam banyak peristiwa tidak begitu diperhatikan. Apakah para pemain kenal siapa Nandra, misalnya. Sekurang-kurangnya pihak pengurusan memaklumkan juga atau memperkenalkan ketokohannya. Sebagai contoh jika skrip 'Kursi" dipentaskan, jelaskan skrip ini dihasilkan oleh Hatta Azad Khan dengan menyebut profil beliau. Ketika Bagaton diangkat menjadi teks teater, Datuk Ismail Abas sebagai penulis asalnya dimaklumkan dan para pemain tahu dari mana cerita asal teater yang mereka akan mainkan. Begitulah seterusnya.

Apabila produksi pementasan teater mengambil teks daripada buku yang telah diterbitkan sepatutnya perlu kebenaran terlebih dahulu atas kuasa hak intelek seseorang penulis. Mungkin boleh dimaafkan jika kebanyakan penulis skrip drama yang sedia ada berada jauh dari kita tetapi jika seorang yang bernama Nandra Hitong yang berada lebih kurang 130 kilometer sahaja dari Bangunan DBP Sabah dan dengan adanya kemudahan teknologi kita fikir beliau amat berbesar hati mendengar terlebih dahulu justifikasi rombakan atau ubahsuaian skrip yang dimenanginya dalam Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah ini.

Isu seterusanya, saya fikir teater perdana harus ditamatkan dengan program bedah karya. Pada saya ini penting apatah lagi jika program Teater Perdana ini dianggap sebagai aktiviti mega yang berbaloi dengan kosnya yang tinggi. Dengan adanya majlis bedah karya dalam bentuk diskusi atau serasehan yang dianjurkan dapat melihat kekurangan-kekurangan yang perlu ditingkatkan lagi. Yang lebih penting ialah agar produksi seterusnya bakal memberikan sumbangan lebih besar kepada dunia seni teater selain menjadikannya sebagai program khas sempena menyambut Hari Jadi TYT yang kita kasihi.

Akhir-akhir ini teater begitu semarak. Api keghairahan para penggiatnya menyala hebat. Penggiat yang pernah diam sudah mulai bangun. Mereka mula berteater keliling, mula mengembalikan zaman kecemerlangan mereka pada tahun-tahun 80-an dulu. Kalau dulu penggiat-penggiat ini 'mengusut' dengan KKBS (Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan) kini DBP menjadi payung menerusi slot Anjung Apresiasinya. Sesekali mereka menerima jasa baik daripada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Senario ini memberikan gambaran terbaik kepada bidang teater. Namun ada kebimbangan sekiranya kedudukan teater berterusan begini atau tetap berada pada tahap sekadar mahu mengembalikan kegemilangannya semata-mata, sebaliknya tidak berusaha meletakkan teater sebagai profesion yang dihormati, hebat dan profesional.

Sudah sampai masanya penggiat teater berusaha menjadikan teater ini 'mahal' dalam pemahaman pendokongannya dan pelestariannya. Mahal dari segi pendekatan dengan membawa masuk golongan korporat dan gergasi-gergasi swasta. Namun begitu pihak kerajaan juga punya peranan yang amat besar misalnya menyediakan prasarana canggih selain keupayaan menyalurkan dana. Saya ingat apabila seorang pembantu menteri berkata suatu ketika dulu bahawa kerajaan negeri akan membina sebuah dewan atau panggung yang akan memberi keselesaan kepada penggiat teater di Sabah. Ungkapan ini diulanginya sekali lagi semasa melancarkan teater keliling Gabungan Teater Elit Sabah (GATES) di Dewan Institut Perguruan Gaya pada 3 September lepas. Pada saya tidak ada gunanya jika hanya mengulang-ulangkan kata-kata yang serupa sebagai retorik penyedap gegendang telinga dan membuat penggiat teater tersengih bukan disebabkan gembira tetapi serik. Seperti ungkapan-ungkapan yang terdengar setiap masa hampir pilihan raya umum, kita tidak mahu pentas seni dijadikan batu loncatan orang-orang tertentu yang berkepentingan. Jika ini terjadi teater hanya dinikmati oleh orang-orang yang seronok sendiri yang sepatutnya sepakat bersama-sama para pemimpin yang prihatin mengangkat seni persembahan warisan ini berada di tempatnya yang paling wajar.