Make your own free website on Tripod.com

 

 

Mengarca Rahsia

 

Berfikir secara negatif yang baik

WALAUPUN ada kalanya kita tidak dapat mengendalikan fikiran dengan sempurna, kita sebenarnya masih boleh memilih untuk berfikir dengan cara yang lebih sihat atau sebaliknya. Ramai yang menganggap bahawa semua fikiran negatif itu merosakkan tetapi sebenarnya mungkin kita perlu belajar untuk berfikir secara negatif yang baik.

            Sebagai contoh, anggaplah anda bekerja di sebuah perusahaan yang baru. Anda tidak mengenali sesiapapun. Sudah pasti anda tidak menyukai keadaan tersebut. Tetapi anda mampu mengatasi keadaan tersebut mengikut cara anda dan dapat menentukan sejauh mana pengaruhnya terhadap anda.

            Anda dapat berfikir: Saya tidak gemar keadaan ini, tetapi keadaan ini pasti tidak lama dan saya mampu bertahan, ataupun anda berfikir begini: Saya tidak menggemari situasi ini dan saya boleh jadi gila seandainya terus bertahan  dalam situasi begini dalam tempoh waktu yang sama. Kedua-dua pemikiran tersebut sebenarnya negatif, tetapi pemikiran yang pertama adalah pemikiran yang sihat dan baik. Manakala cara yang berikutnya membuatkan anda menjadi korban daripada keadaan tersebut.

Falsafah yang fleksibel

            Setiap orang yang mempunyai keinginan dan cita-cita tentunya mempunyai falsafah hidup masing-masing. Falsafah yang fleksibel mampu membantu anda menjadi korban dari keadaan tersebut. Misalnya, anda mengimpikan cinta dan perhatian. Bila anda merasakan keinginan tersebut  adalah sepatutnya, anda akan merasakan kekecewaan yang sihat jika anda tidak mendapatkannya.

            Namun begitu, emosi anda akan terganggu bila anda cuba mengubah keinginan fleksibel menjadi satu tuntutan mutlak terhadap cinta dan penerimaan, yang pada dasarnya anda tidak mampu untuk mendapatkannya. Jadi lebih baik seandainya anda berkata: ‘Saya ingin dicintai tetapi saya tidak harus memiliki cinta itu’. Adalah mustahil setiap apa yang kita inginkan boleh dimiliki. Oleh itu, janganlah menjadikan segala keinginan itu sebagai suatu perkara yang harus dan mutlak. Dengan cara demikian anda dipercayai tidak akan mengalami tekanan batin.

            Andaikata, anda memohon pekerjaan yang sangat diinginkan, tetapi permohonan anda telah ditolak. Sudah pasti anda kecewa ketika itu. Namun realitinya anda tidak perlu memikirkan mengapa permohonan itu ditolak. Hasilnya anda dapat menerima kenyataan itu dengan dada yang lapang. Ertinya anda berfikir secara sihat.  Berfikir cara sihat itu sendiri meliputi tiga perkara utama. Pertama, anda harus mengakui situasi itu. Kedua, anda harus mengakui yang anda tidak menyukai keadaan tersebut dan ketiga, anda harus memutuskan apakah anda ingin mencuba keadaan itu atau tidak.

            Menerima kenyataan bukan bererti anda menyerah begitu sahaja sehingga tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubahnya. Ini bererti anda mengakui bahawa keadaan tersebut memang sedemikian. Anda mencuba untuk mengubah keadaan tersebut bila anda mahu. Pandangan atau pendapat ini jauh lebih sihat dan seimbang terhadap dunia sehingga memungkinkan anda untuk tumbuh dan berkembang.

Mengembangkan tolerasi terhadap kegagalan

            Kesihatan emosional yang baik bermula dengan keseimbangan antara kepentingan anda dalam jangka masa pendek atau panjang. Bagi mencapai keseimbangan adalah penting untuk melahirkan tolerasi atau kesabaran dalam menghadapi kegagalan. Dalam keadaan yang tidak menyenangkan dan sukar, anda dapat bertahan dalam jangkamasa pendek dan selanjutnya anda dapat mencapai tujuan dalam jangka yang lebih panjang.

            Setiap orang harus membuat keputusan yang mempengaruhi hidupnya, sama ada masa kini mahupun masa akan datang. Jika kepentingan jangka panjang atau pendek itu saling bertentang, maka anda seharusnya membuat pilihan. Tetapi jika anda terus mengabaikan keinginan jangka pendek sehingga anda dapat mengejar tujuan jangka panjang, anda tidak akan mendapat banyak kesenangan dalam hidup. Sedangkan bila anda terus menerus terpaku atau menyerah kepada situasi kini dan tidak memikirkan masa hadapan, maka hidup anda akan menjadi dangkal dan tidak mempunyai tujuan.

            Bila anda seringkali menunda masalah, menjalani kehidupan yang tidak berdisiplin dan keluar untuk menghindari pertentangan, kemungkinan anda akan memiliki tahap toleransi yang rendah terhadap rasa kecewa. Akibatnya, keinginan anda yang masih belum tertunai akan menyebabkan anda mencuba cari jalan pintas untuk menyelesaikan permasalahan itu dengan tindakan lain seperti merokok, minum minuman keras (semoga dapat dihindari) atau makan terlalu banyak.     

Mengembangkan sikap yang baik

            Hubungan dengan diri sendiri secara tidak langsung mempengaruhi hubungan anda dengan orang lain. Itulah sebabnya amat penting untuk anda belajar menyukai diri sendiri sebelum berhubungan dengan orang lain. Perkara ini meliputi:

·         Penerimaan diri – Terimalah bahawa anda mempunyai kelemahan dan harus berusaha untuk mengubahnya.

·         Megah dengan peribadi – Tada sesiapapun yang mempunyai sifat seperti anda iaitu kekuatan, kelemahan atau minat. Maka jika anda suka melihat kereta berlalu, jangan biarkan sikap mencemuh orang lain mempengaruhi diri anda.

·         Mengembangkan minat peribadi – Pada dasarnya bererti memperhatikan kepentingan anda sendiri serta tetap menghormati komitmen anda pada orang lain.

·         Menghormati komitmen diri sendiri – Utamakan kegiatan dan  berjanjilah pada diri sendiri untuk melakukan hal yang anda utamakan.

·         Mengembangkan sikap yang sihat terhadap tubuh badan anda – Tanpa menjadi fanatik, kembangkan program perawatan kesihatan untuk hidup lama dan kesihatan emosi yang baik.

·         Belajar merawat diri sendiri – Turut serta dalam program atau kegiatan yang anda suka, atau carilah ketenangan, perkara ini amat penting kepada kesihatan emosi anda.

·         Menetapkan status, prinsip dan nilai diri – Berusaha menyesuaikan dengan perkara tertentu. Anda tidak akan selalu berhasil, belajarlah melalui pengalaman dan cuba lagi.

·         Jujur pada diri sendiri dan orang lain – Cubalah untuk tidak menyembunyikan perasaan sebenar dalam usaha untuk hidup dalam suatu citarasa yang ideal dari dalam diri anda sendiri. Jujur pada orang lain bererti tidak takut untuk menunjukkan pada mereka siapa diri anda yang sebenarnya. Sesungguhnya kesedaran ini menjadi idaman setiap individu yang rasional dan tidak dihantui perasaan yang menekan hidupnya, misalnya akibat perpisahan dengan orang yang disayangi.

 Mengembangkan perasaan negatif yang sihat

            Perasaan negatif seperti gelisah, menyesal, sedih, kecewa dan kesal, semuanya itu merupakan perasaan yang sihat dan baik. Sebabnya semua perasaan itu timbul dari keinginan yang tidak kesampaian.             Bagaimanapun, perasaan negatif seperti cemas, rasa bersalah, tertekan dan marah, semua itu adalah perasaan yang tidak sihat. Perasaan itu timbul dari tuntutan mutlak yang tidak dapat dipenuhi.

            Perasaan menyesal, misalnya, timbul bila anda melakukan sesuatu kesalahan, perkara itu adalah untuk menyedarkan anda bahawa manusia itu tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Bila anda telah melakukan kesalahan, anda akan cuba tidak mengulanginya atau membuat sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang.

            Tetapi, jika anda merasa bersalah, hal ini akan membuat anda merasa sebagai orang yang tidak baik dan jahat. Bila anda percaya bahawa anda memang orang yang tidak baik anda akan berterusan melakukan perbuatan seumpama itu.