Make your own free website on Tripod.com

 

 

 

SASTERA DAN PERMASALAHANNYA DI SABAH

oleh Hasyuda Abadi

KITA di Sabah ini amat beruntung kerana sentiasa dicahayakan ilmu yang tidak selalu dialami orang lain di tempat lain. Seminar demi seminar menjejakkan pengalaman kita untuk mendengar, menghalusi, menghayati mauduk demi mauduk para ilmuan yang tidak putus-putus mengisi wacana yang disediakan.

Hanya barangkali, apakah seminar-seminar ilmu itu tetap relevan dengan kehidupan kita yang serba dicerca merbakan oleh kehidupan-kehidupan materialistik tanpa menghiraukan berlakunya lambakan ilmu yang bukan-bukan. Pandangan ini memang tidak disenangi tetapi ia tetap boleh dihujahkan. Rupanya benarlah bahawa tokoh seseorang sering memberikan cerminan kepada kita. Memang kita diminta agar melupakan apa jua yang bersifat negatif terhadap sesuatu atau terhadap individu itu meski apa pun keadaannya. Yang ingin kita petik ialah buahnya yang membahagiakan, memberi guna untuk kehidupan. Malah untuk yang lebih besar kepada bangsa dan agama kita. Bangsa kita yang masih mengarahkan hala yang kurang jelas, masih diperhujah rentak dan bentuknya. Yang berkuasa itu siapa dan bagaimana kuasa itu dominan kepada bangsa kita. Kita masih mengira matematik dalam bacaan yang sentiasa diperbaiki. Eksperimen kita terus berjalan tanpa sebarang konklusi.

Kita berhujah tentang hal-hal yang biasa dan lumrah. Seorang pengarang berhujah karya kita belum mantap. Para sasterawan tidak menulis cereka-cereka yang besar dan kurang meyakinkan, tidak membantu mendewasakan  Mereka tidak tampil membicarakan permasalahan global dan permasalahan lokal secara terbuka. Soal tanah yang dirampok, soal kegilaan dalam berpolitik, kegilaan mengejar harta, kegilaan menonjolkan diri dan sebagainya lagi wajar sekali dibincangkan. Mereka juga perlu keluar dari kepompong peribadi dan mengarah ke dunia luar yang kacau, bobrok, resah, derita dan sebagainya.

Masyarakat harus mengetahui dan diberi maklumat yang baru dan betul. Dalam apa cara sekalipun. Media yang mempunyai peranan besar perlu meletakkan usaha yang lebih telus dan terbuka. Apakah media sudah bertindak lebih terbuka dan bebas? Apabila kita menulis tentang kebenaran apakah lambakan justifikasi kebenaran itu berjaya sampai ke pembacaan masyarakat? Kita ingin menegakkan kebenaran bukan meletakkan kesalahan melulu kepada pihak-pihak yang ada kepentingan tetapi apakah apa yang kita fikirkan itu sedia diperkirakan kebenarannya? Teater Bagaton, sebagai contoh, tidak dapat dipersembahkan pada masanya, kerana dikhuatiri menyinggung perasaan etnik masyarakat lain. Ini seolah-olah menjelaskan betapa sempitnya pemikiran masyarakat kita. Sensitiviti mereka hanya ke arah yang kecil apabila dikaitkan dengan pembinaan bangsa Malaysia itu sendiri.

Pihak media pula mengambil sikap acuh tak acuh terhadap karya-karya sastera kita. Selain tidak memberi penghargaan sekurang-kurangnya honororium mereka juga terlalu mengabaikan mutu sesebuah karya. Akhbar mengambil mudah terhadap penggunaan Bahasa Malaysia sehingga menyebabkan karya-karya sastera dan tidaksastera kita menjadi seadanya.

Kita juga kecewa kerana tidak berlaku usaha yang serius membicarakan karya-karya sastera kita. Misalnya antologi cerpen ‘Dunia Iris’ tidak dibicarakan secara lebih ilmiah. ‘Dunia Iris’ yang dikatakan bermutu berbanding karya-karya yang tersiar dalam media massa tempatan  seperti tidak diambil perhatian. Namun tentulah tidak adil membandingkan ‘Dunia Iris’ dengan cerpen-cerpen eceran yang berlambak di media massa kita. Antologi cerpen sulung Jasni Matlani ini lebih menyerlah sekiranya kita dapat membuat analisa yang kritis dengan melakukan perbandingan dengan karya-karya para pengarang terbaik kita sebelum ini seperti Daniel Jebon Jenaun, Jonathan Kandok, Zaiton Ajamain, R.Hamzah Dua di samping Azmah Nordin dan Haji Harun Haji Salleh (allahyarham) tentunya. Betapapun begitu kita harus memuji kegigihan Jasni menggunakan dana sendiri sehingga lahir sebuah antologi cerpen pada tahap ini dianggap yang terbaik. Haji Ismaily Bongsu juga pernah membicarakankan ‘Dunia Iris’ walaupun dalam bentuk ulasan promosi kerana beliau tidak memberikan kupasan yang mendalam dengan ilmu bantu yang ada.

Tentulah apabila membicarakan mauduk sastera kita akan mengaitkannya dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBP). Kita tidak menyedari kemampuan DBP pada masa ini jauh bezanya berbanding masa lalu walaupun kita tahu DBP seharusnya lebih baik lagi dalam mengurus hal-hal berkaitan dengan penerbitan, aktiviti dan pentadbiran lainnya. Namun begitu hanya DBP sahaja yang berhak menjawab persoalan-persoalan yang bersangkutan dan sering diperkatakan dalam media. Pandangan Haji Ismaily Bongsu dalam Kelab Maya Sastera Sabah (Kemsas) agar diadakan pertemuan untuk membincangkan kedudukan sastera di negeri Sabah secara lebih telus amat dialu-alukan. Kita perlu bersemuka dan berbincang. Kita berhak meluahkan segala yang berbuku di kalbu. Kita sedar bahawa kedudukan DBP tetap menjadi tunggak pemantapan ilmu dalam pemerkasaan bahasa dan sastera. Persoalan-persoalan yang ditimbulkan bukan baru tetapi sudah kerap ditimbulkan dan paling akhir sewaktu dialog korporat tahun lepas seingat saya banyak membicarakan hal yang sama. Tentu ada silap di mana-mana kerana ia tetap tidak mengubah ke arah rasional yang kita ingin capai. untuk itu, DBP cawangan Sabah wajar diberikan kuasa yang lebih untuk menangani permasalahan yang tidak ada kesudahannya itu. Badan ini juga perlu diberikan dana yang khas untuk menyemarakkan lagi aktiviti persuratan dengan mengambil kira peranan persatuan-persatuan penulis yang ada. Ke arah keberkesanannya, rombakan dan kajian semula terhadap tanggungjawab pegawai dan kakitangan DBP secara menyeluruh juga amat dialu-alukan.

Menyalahkan mana-mana pihak untuk mencari jalan yang terbaik tentulah bukan cara yang sesuai. Tetapi pada saya wajarlah kita mengadakan perhubungan dua hal secara terus dan telus. Tidak ada ruang yang tertutup untuk kebaikan tetapi jalan itu tentulah harus ditangani  umpana menarik benang dalam tepung; benang tidak putus, tepuk tidak berserakan.