Make your own free website on Tripod.com

 

 

 

Kemelut Sastera di tengah kemelut pembinaan bangsa

oleh Hasyuda Abadi

 

SUDAH sampai waktunya riak sastera di Sabah memusatkan ke arah satu falsafah yang perlu diperjuangkan. Seluruh penulis wajar turut memberikan reaksi bersama pandangan atau pendapat yang baru dan bernas. Malah menjadi harapan semua pihak agar perbincangan terbuka begini dapat dijadikan landasan yang berterusan ke arah mencapai kedinamikan pemartabatan sastera kita. Tentulah berlaku pandangan-pandangan yang berbeza namun perbezaan itu tidak akan menjadi jurang tetapi menyatukan cebisan-cebisan hujah kepada penggubalan satu gagasan yang jitu, murni dan utuh. Dalam erti kata yang lain kita mampu memberikan jawapan yang konkrit terhadap permasalahan pokok ketika melihat gelombang sastera Melayu di Sabah.

 

Kita merasakan bahawa sastera Melayu di negeri ini berlangsung dalam keadaan yang seadanya. Pengertian ‘asal ada’ itu sebenarnya harus dilihat dari pelbagi dimensi berdasarkan fakta yang kukuh. Tentulah keterlaluan jika mengatakan bahawa sastera di negeri Sabah kering, tidak berhala tuju. Bahkan kita terlalu fakir untuk mensyukuri peranan yang telah dimainkan oleh agensi kerajaan yang sedia ada seperti Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dan Majlis Bahasa dan Sastera Sabah dua badan utama yang menjadi tonggak utama dalam gerakan sastera dan bahasa Melayu  di Sabah. Banyak perancangan dilakukan untuk menyemarakkan gerakan sastera kita dengan pelaburan dana yang bukan sedikit.  Para penulis terus diberi perhatian dengan penyediaan program latihan dan penghargaan seperti Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Tinta Sastera, Hadiah Penyair Islam Sabah di samping menyediakan ruang kepada para penulis menyalurkan bakat dan pemikiran mereka. DBP Cawangan Sabah misalnya mempunyai bangunan besar yang menyimpan khazanah ilmu yang amat berharga. Malangnya kemudahan yang ada tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya bukan sahaja di kalangan para penulis atau persatuan penulis tetapi para pengurus sastera itu sendiri yakni pegawai dan kakitangannya. Bagaikan ada jurang antara mereka dengan para penulis tidak semata-mata jarak yang memang turut menjadi hambatan dan penyebab utama.

 

 

Kita harus mendalami ilmu untuk membina sesuatu tamadun meski di manapun pusaran ilmu itu berada sekalipun. Pemikiran bangsa kita mesti maju, terbuka dan telus. Pandangan yang sempit harus diketepikan malah wajib dikikis daripada minda kita. Kita mesti melihat sesuatu secara menyeluruh. Mungkin kita melihat ada kebenaran di antara bobroknya sesebuah organisasi atau institusi di dalam masyarakat kita. Kita juga melihat kebatilan di mana-mana sehingga menjadi menyebab manusia kreatif menjadi daif untuk menjelaskan rangkap-rangkap absurd di dalam kemelut permasalahan masyarakatnya. Akhirnya bangunlah beberapa insan yang ingin menjelaskan, yang ingin mendapatkan penjelasan dan yang ingin menyatakan kemelut itu dari perspektif mereka.

 

Namun begitu apa yang diutarakan terlalu remeh temeh. Tidak adakah persoalan baru yang lebih berfaedah diperkatakan, dibahas, dihujah dan diperolehi pemikirannya. Kita merasakan betapa sempitnya ruang legar untuk sebuah atau beberapa buah persoalan terkini menjadi bahan perdebatan. Sepatutnya pada masa ini kita tidak lagi berbicara tentang penulis yang hilang. Kita tidak juga harus bercakap mengenai royalti atau honororium. Kita tidak lagi menghujahkan penulis-penulis yang kampungan yang tidak mampu keluar daripada kepompong peribadi, menulis seadanya, tidak menulis isu-isu yang besar, hal-hal yang global dan mencabar. Kita harus berpandangan terbuka. Melihat isu daripada pintu yang luas bukan lewat lubang dinding. Ertinya kita hanya mampu mengintai tetapi tidak menyatakan berlakunya kepaduan pemikiran walaupun ia bermula daripada sebuah cerpen yang remeh temeh atau bait-bait puisi yang langsung.

 

Bukan bermaksud tidak menghargai pandangan orang lain tetapi menyatakan sesuatu yang lumrah itu tidak akan membantu apa-apa pun. Memang ada juga baiknya jika niat yang tersirat itu akan menambahbaik gerakan sastera dan bahasa bangsa kita. Tetapi sekiranya hasrat yang sebenarnya hanyalah sekadar memanaskan gelanggang lebih baik pengisiannya itu dipenuhi dengan wacana yang lebih bermakna. Kita berikan ruangan untuk membahaskan karya-karya sastera kita. Kita pelawa penulis yang berwibawa ke dalam. Kita adakan perjumpaan untuk mengagih-agihkan tugasan. Kita boleh lakukan dengan cara yang lebih berkesan dan terancang. Saya fikir penulis memerlukan ruang yang lebih untuk menyalurkan bahasan pemikiran mereka. Pihak media massa khususnya editor sastera di surat-surat khabar harus komited dalam penyediaan ruangan ini. Bukan asal ada sahaja. Bukan ala kadar saja. Peranan mereka amat besar. Tidak mengapa penulis tidak diberikan apa-apa tetapi memadailah ruang yang tetap disediakan. Penulis menyimpan mata pena mereka atau menutup suiz komputer mereka tetap beralasan. Mereka hilang juga beralasan. Mereka timbul semula juga beralasan. Sesiapapun tidak boleh melontarkan pertanyaan itu dan ini kerana apapun punca graf sastera kita yang tidak menentu mempunyai alasan yang tersendiri. Begitu juga dengan kedudukan penulis. Mungkin kita tersilap meletakkan kedudukan seseorang tokoh itu di persada sastera kita walaupun sebenarnya dia tidak memiliki sebarang  bahan bercetak yang meyakinkan kita sendiri.

 

Perubahan sikap tidak hanya ditekankan kepada sebelah pihak semata-mata. Selain penulis kita juga mengharapkan perubahan yang sama di kalangan pengurus sastera itu sendiri. Pengurus sastera wajar menjalinkan hubungan dua hala dengan para penulis. Penulis juga diminta lebih proaktif dengan tidak menyerahkan bulat-bulat harapan di bahu pengurus sastera terbabit. Mereka juga harus memahami antara satu sama lain. Tetapi jika kita tidak mahu bertolak ansur sudah tentulah kita tidak mampu membawa apa-apa kepada tamadun fikrah kita sebagai saksi yang harus dipegang generasi akan datang terhadap kebenaran citra masa lalu. Dalam pada itu kita ingin menjadikan pertemuan-pertemuan fikrah di kalangan penulis diwujudkan sebagai salah satu daripada gagasan perbincangan ini. Tentulah juga gagasan ini memintal peranan dan tanggungjawab penulis, persatuan penulis serta agensi-agensi yang mengurus sastera itu sendiri agar saling menyatukan permasalahan, perdebatan, perhujahan dan pandangan. Langkah ini pula mesti berterusan tanpa musim. Kita secara terus menerus mengajak penulis menganjakkan paradigma fikrah mereka yang seharusnya juga tanpa musim. Malah pada tahap yang paling penting mampu mencapai falsafah sebenar kehadiran kita sebagai golongan pemikir di tengah-tengah kemelut peradaban bangsa kita pada hari ini. Di tengah-tengah kemelut pembinaan bangsa kita yang dikaburi tanda dan nilai jatidiri yang masih goyah.

 

Kota Kinabalu, 25 Oktober 2002 .