Make your own free website on Tripod.com

 

 

 

Mengarca Rahsia

 

BAGAI DEDALU

oleh Hasyuda Abadi

LAMPU-LAMPU bergemerlapan menerangi rumah-rumah papan kampung itu. Sesekali sepi malam ditembusi derau kenderaan yang menyusur sepanjang jalan tua yang menghubungi Kampung Bahagia dengan pekan di sebelah selatan.

            Selepas lima belas tahun merdeka, penduduk Kampung Bahagia tidak berubah. Hari demi hari penduduk asal yang meneroka kampung ini meninggalkan kampung. Mereka hendak mencari punca pencarian yang lebih baik di tempat lain. Dan akhir-akhir ini pula masalah baru mula melanda apabila ramai anak-anak gadis mencari kerja di bandar.

            Haji Sadikin penduduk jati Kampung Bahagia sedih melihat perubahan itu. Banyak persoalan timbul dalam fikirannya. Baru semalam Yang Berhormat bersama Pegawai Daerah melawat Kampung Bahagia dan mengingatkan penduduk kampung supaya jangan meninggalkan kampung itu dan hidup bersama-sama dengan penduduk yang lain. Pagi tadi Jiman dan keluarganya berpindah ke seberang. Kononnya di sana ada sebuah kawasan penempatan yang baru dibuka. Entah esok siapa lagi?

Haji Sadikin tidak mengerti mengapa mereka berganjak meninggalkan Kampung Bahagia sedangkan kawasannya luas dan tanahnya subur. Tanah-tanah paya dan bukit masih boleh mendatangkan hasil yang baik jika diteroka.

Haji Sadikin pernah menjadi Ketua Kampung menggantikan ayah tirinya selepas merdeka. Dia menggandakan cita-citanya untuk memakmurkan kampung. Kini tali air sudah ada. Elektrik, pondok klinik, sekolah dan balai raya juga sudah ada. Enam tahun yang lalu Haji Sadikin menyerahkan tugasnya kepada ketua yang baru. Dengan kepimpinan yang baru, prasarana yang ada di Kampung Bahagia turut mengalami perubahan. Pondok klinik sudah menjadi despensari. Balai raya ditukar kepada sebuah dewan muhibah yang besar. Sekolah juga telah dibesarkan malah masjid sedang dalam pembinaan di atas tapaknya yang baru.

Namun peliknya, hari demi hari penduduk kampung meninggalkan Kampung Bahagia. Seorang demi seorang pergi ke tempat lain. Satu keluarga demi satu keluarga pergi ke kawasan yang baru dibuka. Haji Sadikin bingung. Apa lagi yang mereka mahu? Tentu ada yang tidak kena. Tentu ada puncanya mengapa mereka nekad benar meninggalkan Kampung Bahagia.

Haji Sadikin teringatkan Othman. Apakah Othman tidak cekap? Atau Othman tidak memandang berat mengenai perkembangan terbaru itu?

“Kampung Bahagia sudah tidak aman lagi Pak Tua. Orang-orang kampung asyik bertelingkah. Ketua pula pentingkan diri sendiri. Macam mana nak selesaikan masalah.” Pak Tua teringat kata-kata Ramlin satu-satunya anak muda yang masih setia dengan Kampung Bahagia.

“Nama indah tapi di sebalik keindahan itu ada yang memusnahkan. Bermusuh-musuhan sesama sendiri dan rasuah!”

Haji Sadikin menilai-nilai kembali kata-kata yang diluahkan oleh Ramlin. Dia mengerti. Namun begitu, jika hanya dia dan Ramlin saja yang sedar tidak ada gunanya, hari demi hari penduduk Kampung Bahagia pergi meninggalkan kampung ini juga.

Kampung Bahagia wujud sebelum Haji Sadikin lahir. Sebelum Othman lahir. Sebelum Ramlin dan orang-orang kampung menghuninya sekarang lahir. Dulu Kampung Bahagia jauh lebih mundur dari sekarang. Orang kampung tidak perlukan tali air. Tidak perlu lampu karan yang menimbulkan masalah kewangan. Pelita sumbu pun cukup baik. Air sungai atau air perigi memadai sebagai kegunaan seharian. Jika hendak ke sesuatu tempat tidak perlu kenderaan. Mereka berjalan kaki naik bukit dan turun bukit. Mereka kuat kerana kebiasaan begitu. Mereka sibuk dan tidak malas. Kerjasama seluruh penduduk sentiasa diamalkan. Bukan seperti sekarang, keadaan turut mengubah segala-galanya.

Lepas makan malam Haji Sadikin kembali duduk di anjung rumahnya yang berhampiran dengan sungai Aman Damai. Hujan yang turun beberapa hari yang lalu telah mengeruhkan air sungai itu. Setiap hari  itulah kerja Haji Sadikin meredakan penatnya selepas berjalan dari masjid. Di situlah juga Haji Sadikin melayan fikirannya. Tiba-tiba dia berhasrat hendak menemui Othman. Dia mesti membawa Othman ke Pejabat Daerah. Masalah Kampung Bahagia mesti diselesaikan secepat mungkin. Sebelum parah menular di Kampung Bahagia, Pegawai Daerah mesti campur tangan.

“Othman ke mana Yem?” tanya Haji Sadikin kepada Mariam, isteri Othman yang sedang membersihkan daun-daun pokok mangga di halaman rumahnya

“Saya tak tahu Pak Tua. Sebentar tadi ada dua orang lelaki berkulit sawo matang menemuinya,’ terang Yem sambil membetulkan rambutnya yang menggerbang ditiup angin petang. “Lagaknya macam orang baru Pak Tua,” sambung Yem tanpa was-was.

Haji Sadikin mengeluh. “Lagi-lagi orang baru. Sudah berapa ramai orang baru datang ke Kampung ini. Apa Othman bawa?”

“Sampul surat besar dan parang waris nenek.”

“Yang dua tu pula?”

“Tangan kosong Pak Tua,” jawab Yem jujur. “Err… Apa halnya, terlupa pula saya bertanya,” sambung Yem tersenyum.

“Besar hajat saya ni Yem. Tapi, tak apalah saya minta diri dulu,” kata Haji Sadikin tanpa menoleh pada Yem. Yem terpinga-pinga tapi meneruskan kerjanya.

Sepanjang kembalinya dari rumah Othman, Haji Sadikin memikirkan apakah tujuan dua  lelaki itu. Othman pula seperti menyembunyikan sesuatu darinya.Othman sudah banyak melakukan kesilapan. Dia sudah membelakangi rakan-rakannya dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung. Benar-benar Othman cari angkara di tempat sendiri. Dia mencepatkan langkahnya.

“Hai, Pak Tua!” teriak Ramlin dari gerai makan Mak Ramlah di tengah Kampung Bahagia. Haji Sadikin mengangkatkan tangan kanannya kemudian mendekati Ramlin. “Lagaknya macam ada yang penting Pak Tua. Ceritakanlah pada kita,” pinta Ramlin. Kawan-kawannya yang duduk bersama mengangguk-angguk kepala masing-masing.

Haji Sadikin tidak berkata apa-apa. Dia meletakkan punggungnya yang pejal itu di atas kerusi kayu berhadapan dengan Ramlin. Mak Ramlah yang berbadan gempal menghampiri Haji Sadikin sambil tersenyum.

“Minum apa Bang Haji?”

“Macam biasa Ramlah,” jawab Haji Sadikin selamba. “Awak semua ni nampaknya sibuk sejak kebelakangan ini,” ujar Haji Sadikin sambil menyambut secawan air kopi pekat dari tangan Mak Ramlah.

“Kita pun bertanya begitu pada Pak Tua, Pak Tua diam saja,” balas Ramlin diikuti oleh deraian gelak ketawa kawan-kawannya.

Haji Sadikin mendiamkan diri. Dia cuba menyembunyikan apa yang tersirat dalam hatinya. Dia tidak mahu buat heboh. Dia inginkan penyelesaian yang aman dan tidak melibatkan orang-orang kampung.

“Sebenarnya Pak Tua, saya dan kawan-kawan dari hulu mencari buluh. Rancangan saya nak besarkan kandang kambing dan nak perbaiki pagar tempat kambing-kambing itu makan. Telinga saya ni sakit benar mendengar celoteh orang kampung. Jika kambing saya disembelih orang siapa yang rugi. Betul tak Pak Tua?”  Haji Sadikin mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Macam mana dengan KK Othman Pak Tua?” sampuk Ramlin tiba-tiba.

“Kenapa pula dengan Othman, Ramlin?”

“Saya lihat KK Othman senang hati saja sejak sebulan dua ni tapi keadaan kampung tidak dipedulikannya,” balas Ramlin.

“Bukankah Othman periang orangnya. Jangan hairan.’

“Rupanya Pak Tua belum tahu lagi.”

“Apa maksud kamu?”

“Kehadiran pendatang-pendatang itu menambah kegelisahan orang kampung. Sebenarnya sebelum Pak Tua tiba, saya dan kawan-kawan bercerita panjang pasal Ketua Kampung kita. Kami nak cari kata sepakat bersama dengan orang-orang kampung untuk membuat pengaduan kepada Pegawai Daerah.” Sambung Ramlin sambil menghirup air kopi yang telah dibiarkannya sejak Haji Sadikin tiba.

“Mengapa kalian semua sibuk nak mengadu kepada Pegawai Daerah. Bukankah elok dibawa ke mesyuarat JKKK. Selesaikan saja kampung ini,” Haji Sadikin menyuarakan pendapatnya.

“Kampung Bahagia ni dah tak bahagia lagi Pak Tua. Orang luar dah duduk sana dan duduk sini. Semua ini angkara KK Othman. Mereka tu punya tujuan, ada udang di sebalik batu. Ketua kita tu dah kena penyakit!” Ramlin menekan suaranya.

“Penyakit? Penyakit apa?” tingkah Haji Sadikin mengerutkan dahinya yang kelihatan sudah kecut.

“Rasuahlah Pak Tua!”

“Shh..!” Haji Sadikin merapatkan jari telunjuk kanannya pada bibirnya. “Tak baik cakap macam itu. Nak tuduh orang mesti ada bukti. Kita tak boleh kata sembarangan,” sambung Haji Sadikin seperti hendak mempertahankan Othman.

“Pak Tua jangan tak tahu. Nampak di luar KK Othman macam tak ada apa-apa tapi di belakang kita banyak perkara yang mustahil bagi kita telah dilakukannya.  Amalan terkutuk itu bukan susah dibuat. Jika ada hati tak kira apa lagi walaupun dihalang oleh undang-undang. Bagi orang macam itu undang-undang merupkana perkara kedua,” kata Ramlin berani sambil mengusap lembut misainya yang hampir menutup mulutnya yang berbibir tebal.

Haji Sadikin diam seketika. Ramlin juga mendiamkan dirinya memikirkan sesuatu. Mak Ramlah asyik mengira pendapatannya sejak pagi tadi. Gerai itu akan dipenuhi oleh pelanggan sebentar lagi kerana orang-orang kampung akan singgah sebentar di gerai Mak Ramlah. Sesekali Mak Ramlah mengulum senyum bila Haji Sadikin memandang ke arahnya.

“Saya tidak tahu apa sudah jadi dengan Othman. Padahal dia orang harapan kita. Sekarang dia pula melakukan angkara itu. Jika benar seperti cakap kamu, kita akan susah!” Tiba-tiba Haji Sadikin bersemangat.

‘Benar Pak Tua. Lihat saja berapa ramai orang-orang kampung yang meninggalkan kampung ini. Pak Tua tahu apa puncanya?” Tanya Ramlin. Haji Sadikin tidak bersuara tetapi mengangguk-anggukkan kepalanya yang sudah penuh dengan uban tanda mengerti.

Seperti biasa selesai sembahyang fardu maghrib Haji Sadikin duduk di anjung rumahnya. Isterinya masih sibuk di dapur menyediakan makan malam mereka tiga beranak. Anak gadisnya masih berperuk dalam bilik selepas menunaikan sembahyang berjemaah bersamanya. Hari itu Haji Sadikin tidak berjemaah di masjid kerana badannya terlalu letih.

Mata Haji Sadikin menerpa di sekitar rumahnya. Fikirannya pula menerawang di sekitar Kampung Bahagia. Dia menggelengkan kepalanya tiba-tiba.

“Orang kampung marahkan awak Othman,” terang Haji Sadikin petang itu.

“Pasal apa pula?” tanya Othman selamba.

“Awak pura-pura tidak tahu Othman. Marah mereka sudah tidak dapat dibendung lagi. Jika awak teruskan tabiat awak itu perang besar jadinya!”

“Kenapa sampai begitu Pak Tua?” Othman menahan geli hatinya mendengar celoteh Haji Sadikin. Kolot benar orang tua ini, bisiknya dalam hati.

“Orang luar makin bertambah dalam kampung kita. Awak tahu apa akibatnya nanti?” bentak Haji Sadikin dengan harapan Othman sedar di atas perbuatannya selama ini.

“Itu hal saya Pak Tua. Saya yang buat, biarlah saya yang tanggung!”

“Jika terjadi sesuatu yang lebih buruk awaklah yang tanggung?”

Othman berdiri dan melihat di luar jendela yang dipagari oleh kaca.

“Jika orang-orang kampung berbunuhan dengan pendatang-pendatang itu awak yang tanggung?”

”Eh, mengapa sampai ke situ pula Pak Tua. Mustahil perkara serupa itu berlaku di kampung ini!” Othman kembali duduk di tempatnya tadi tetapi bingkas semula.

“Tidak mustahil Othman. Kalau orang-orang kampung sudah nekad apa saja boleh berlaku,” sambung Haji Sadikin lagi. Othman terdiam mendengar kata-kata Haji Sadikin orang yang pernah dianggapnya sebagai seorang yang berpengaruh di kawasan itu. Matanya terkebil-kebil melihat tumbuhan-tumbuhan hijau di sekitar rumahnya. Sejak kerajaan menganjurkan skim pembanyakan makanan kawasan rumahnya kelihatan menghijau.

Haji Sadikin merasa segar menyedut asap rokok daunnya. Matanya tertumpu kepada tubuh badan yang sasa macam badannya semasa muda dulu. Malangnya pendirian mereka tidak sehaluan. Haji Sadikin tahu apa yang telah dibuat oleh Othman tapi dia tidak mahu heboh-heboh. Orang kata Othman makan rasuah dia tahu. Dia dengar, Isterinya sendiri pernah menyatakan demikian. Tapi dia tidak dapat membendung niat Othman. Othman mempunyai daya pemikiran yang waras dan mempunyai pandangan yang bernas. Dia menghormati Othman kerana Othman ketuanya. Othman seorang pemimpin dan menjadi orang harapan Kampung Bahagia. Malangnya Othman sudah lupa daratan.

‘Sejak kebelakangan ini awak lupakan kami Othman. Awak membuat keputusan sendiri,” tuduh Haji Sadikin. Othman memandang tajam ke arah Haji Sadikin.

“Saya bertanggungjawab di atas segala kerja saya. Saya ketua di sini!” bentak Othman dengan perasaan muda dan megahnya.

“Tapi semua tindakanmu itu telah menimbulkan kesangsian orang-orang kampung,” ujar Haji Sadikin.

“Saya bukan berniat begitu Pak Tua. Mengertilah. Orang kampung sendiri yang beranggapan tidak baik terhadap saya, saya tidak!” Othman cuba menyangkal tuduhan Haji Sadikin.

“Sana sini orang kata awak makan rasuah. Itu awak kata rezeki tapi bukankah perbuatan itu salah di sisi agama dan undang-undang? Awak memalukan kampung dan bangsa kita. Lagipun awak seorang yang dihormati di kampung ini malah penduduk kampung lain mengenali kepimpinanmu!”

“Sudahlah Pak Tua. Saya boleh beri apa saja Pak Tua ‘ndak.”

Kata Othman sambil menepuk bahu kanan Haji Sadikin.

“Apa maksudmu?”

“Kampung ini luas Pak Tua. Malangnya ramai yang tidak sedar hakikat ini. Orang-orang kampung telah meninggalkan harta yang diwarisi sejak turun menurun. Mereka tidak tahu mukjizatnya. Tanah yang luas ini jangan dibiarkan kosong Pak Tua. Hasilnya berganda-ganda jika mahu diusahakan. Sebab itu saya membenarkan pendatang-pendatang itu tinggal di Kampung Bahagia ini. Mereka boleh memajukan kampung ini Pak Tua. Kampung ini akan menjadi punca ekonomi daerah ini. Kampung Bahagia akan bertambah maju,” jelas Othman sungguh-sungguh.

Haji Sadikin bingkas dari tempat duduknya. “Biar baik sekali usahamu itu awak harus ingat jangan jadikan kampung ini sebagai sarang pendatang-pendatang itu.”

“Salah mereka Pak Tua. Orang-orang kampung malas. Kita dah bantu dan beri subsidi itu subsidi ini. Tapi mereka malas berusaha. Jadi jika membiarkan kampung ini dalam keadaan yang sama seperti sekarang, kita akan dilanda kemiskinan yang berpanjangan Pak Tua,” ungkap Othman bersemangat.

“Apakah pernah terfikir olehmu bahawa pendatang-pendatang itu mempunyai tujuan yang  lain?” Othman diam.

“Jangan sampai jadikan mereka seperti dedalu. Silap nanti awak akan menggantikan tempat mereka. Awak harus fikirkan semua itu Othman!” Haji Sadikin segera meninggalkan Othman tanpa izin.

Othman membiarkan Haji Sadikin meninggalkan rumahnya. Dia sedar Haji Sadikin dan orang-orang kampung memandang ia khianat. Dia tidak amanah. Dia tidak jujur. Namun begitu Othman tidak peduli. Semua itu hak orang-orang kampung. Dia yang berusaha; dialah yang akan menikmati hasil usahanya itu.

Haji Sadikin menyedut dalam-dalam rokok daunnya kemudian berkepul-kepul asap putih keluar dari mulut dan lubang hidungnya. Beberapa ketika dia memikirkan tindak-tanduk Othman. Dia mengeluh panjang.

“Aku dan orang-orang kampung akan menyanjung rancanganmu Othman jika usahamu itu melalui lunas undang-undang, lurus, jujur dan amanah. Tapi kau telah tersilap. Kau sudah terlambat untuk membendung kemarahan orang-orang kampung. Kau akan menerima pembalasannya Othman,” bisiknya dalam hati. Haji Sadikin mengeluh lagi sambil bingkas dari tempat duduknya.

Hari demi hari pendatang berkulit sawo matang itu bertapak di Kampung Bahagia. Mereka duduk di kampung itu laksana dedalu yang tumbuh melata di atas pohon-pohon mangga di halaman rumah Othman. Orang-orang kampung amat benci di atas kehadiran mereka. Mereka benci di atas sikap degil dan tamak Othman.

Kampung Bahagia tidak akan damai selagi pihak berkuasa tidak masuk campur. Retak yang menunggu pecah itu akan memburukkan lagi suasana yang harmoni selama ini. Penyelesaian perlu diambil segera. Bukan dengan cara kekerasan tetapi melalui undang-undang dan peraturan.

Othman tetap degil. Walaupun sulit baginya menyelesaikan masalah kampung dan anak-anak buahnya dia masih dengan pendiriannya. Othman bercita-cita besar. Sejak lima tahun dulu sebelum menjadi ketua dia mempunyai cita-cita tinggi. Dia mesti teruskan rancangannya. Tetapi, jika dia menolak hakikat yang dihadapinya daripada kehadiran pendatang-pendatang yang sudah tidak dapat dikawal bermakna dia telah menolak tuah. Kini Othman dilanda perasaan serba salah. Ditelan mati anak dibuang mati bapa.

Dia masih ingat bagaimana beberapa orang berkulit sawo matang itu ditemuinya. Semasa menyertai kursus pemimpin-pemimpin kampung di sebuah daerah Othman berpeluang melihat kerajinan yang dimiliki oleh orang-orang itu. Dia melihat saujana keluasan tanah ditempat itu ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan yang memberi hasil utama daerah itu. Melihat peri cerdasnya peladang-peladang pendatang itu, timbul dihatinya hasrat untuk mendapatkan orang seperti mereka dan bekerja di kampungnya. Kampung Bahagia. Dia sedar kemunduran Kampung Bahagia akan dapat diselesaikan. Kemiskinan penduduk Kampung Bahagia akan diatasi.

Di bandar Othman menemui ramai lelaki berkulit sawo matang itu. Dia mengajak mereka tinggal di Kampung Bahagia. Othman tidak pernah meneliti orang-orang itu. Dia menerima siapa saja yang mahu bekerja. Othman berjanji memberikan perlindungan asalkan mereka mahu berusaha di tanah-tanah bukit dan paya Kampung Bahagia. Dia ingin membuktikan keupayaannya memajukan Kampung Bahagia. Dia mahu penduduk kampung tahu dia telah berusaha dan tidak lepas tangan.

Ramlin membawa khabar tentang pendatang-pendatang haram di daerah itu. Dia kata ramai tidak mempunyai pengenalan yang diakui oleh kerajaan. Othman mendengar khabar itu tapi dia tidak kisah sangat. Dia tahu Ramlin sama seperti Haji Sadikin. Mereka penghalang. Mereka tidak suka Othman dapat nama bila Kampung Bahagia maju.

Tiba-tiba Kampung Bahagia menjadi gempar. Othman yang tengah bersiap hendak keluar rumah tergesa-gesa meluru ke kawasan gempar itu. Di pertengahan jalan dia terserempak dengan Haji Sadikin. Haji Sadikin membibit parangnya sebagai alat mempertahankan diri sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Mereka pergi bersama-sama ke kawasan bukit dan paya  di mana para pendatang itu tinggal.

Bermacam-macam persoalan timbul dalam fikiran Othman. Dia teringat khabar yang pernah dihebohkan oleh Ramlin dulu. Mungkin inilah masanya dia berhadapan dengan hakikat itu. Walau apa pun kemungkinan-kemungkinannya dia tegap meneruskan langkahnya.

Haji Sadikin yang tidak begitu cergas berjalan berusaha mempercepatkan langkahnya di samping Othman. Mereka sama-sama ingin mengetahui apa yang berlaku.

Othman tergamam tatkala sampai di kawasan tanah paya dan bukit itu. Dalam keadaan yang termengah-mengah dia menampakkan dirinya di celah-celah orang kampung yang berkerumun. Dia mendekati orang-orang berkulit sawo matang yang berbaris dan dikawal oleh beberapa orang anggota polis hutan. Othman cuba menghulur tangan kanannya kepada Pegawai Daerah yang turut berada di kawasan itu tapi tidak diteruskannya apabila dua orang polis memegang kedua belah tangannya. Othman bingung. Dia tidak tahu apa yang  harus dilakukannya di suatu saat yang tidak pernah terfikir olehnya.

Orang-orang kampung yang melihat kejadian itu berpandangan sesama sendiri. Ramlin dan kawan-kawannya segera meninggalkan kawasan itu tanpa berkata apa-apa. Dari raut wajah mereka terbayang rasa puas.

Ramlin terpandang Haji Sadikin berdiri di hujung kawasan tanah paya di celah-celah orang ramai. Ramlin mengangkat tangannya mengisyartkan sesuatu. Haji Sadikin melakukan perbuatan yang sama sambil tersenyum. Sekarang dia faham. Ramlin telah bertindak lebih awal darinya. Lebih awal dari penduduk kampung.

Haji Sadikin ingin mengetahui kejadian itu dari dekat tetapi tidak meneruskan niatnya. Dia membiarkan Othman dibawa oleh polis bersama pendatang-pendatang seramai seratus lima puluh orang ke kenderaan berwarna biru tua. Kemudian dia melihat kenderaan-kenderaan sebanyak empat buah  termasuk sebuah trak berwarna hijau tua meninggalkan kawasan paya itu. Dia memandang sepi. Dalam hatinya dia memanjat doa. Dalam kotak fikir, dia terbayang bilamana orang-orang kampung telah pergi kembali mengusahakan kawasan yang hampir membiakkan dedalu dan memusnah kehidupan masyarakat kampungnya. Mudaha-mudahan mereka sedar setelah kejadian itu.

Tiba-tiba dia berniat hendak menemui Othman di balai polis.