Make your own free website on Tripod.com

 

 

 

BESI @ DEBU @ SEBUAH KEBOSANAN
oleh
HASYUDA ABADI

SESEORANG itu akhirnya lari. Jangan kata percaya jika dijelaskan bahawa seseorang itu telah lari kerana bosan. Pernahkah anda mengalami sebuah pelarian seperti yang pernah dialami oleh seorang yang bosan yang saya maksudkan dalam tulisan ini yang sudah jauh larinya. Larinya yang laju selaju-lajunya. Lari yang jauh sejauh-jauhnya. Laju meninggalkan lembah-lembah yang kaya dengan emas kenangan. Jauh menghuni dunia dosa-dosa yang lain. Seseorang itu telah meninggalkan dunia-dunianya yang palsu, memalsukan kehidupan masa lalu. Seseorang itu telah menanggalkan daki dosa-dosa menzahirkan benih-benih yang sudah mendewasakan zuriat daripada penat yang rela dan tak rela daripada pelbagai ragam adam. Biarpun hitam legam dosa-dosa itu, besar dan dewasa jugalah semua zuriat yang sudah tahu mengenal dunia-dunianya.


Situasi seperti ini hidup tanpa kehadiran kepalanya. Kerana akalnya sudah tidak ada lagi. Kepalanya kosong. Kering kontang. Otak yang pernah ada pada kepalanya itu sudah beku sebeku-bekunya. Urat saraf-urat saraf yang pernah ada pada tubuhnya yang menghubungkan otaknya sudah tegang keras tidak dapat lagi diubah-ubah. Tegang dan keras. Keadaan ini tidak dapat dibayangi olehnya untuk memahami. Demikianlah untuk mengerti pedih. Pedih itu adalah manusia yang menyangkakan bahawa hanya besi saja yang boleh menghancurkannya.

Besi saja. Di dalam kepalanya hanya besi yang ada. Hanya besi saja yang melingkar-lingkar bak akar-akar yang belit membelit di dunia tanah. Besi di dalam kepalanya sudah semakin membesar. Hitam legam. Logam yang berkarat-karat itu sudah menghiasi ruang kepalanya. Kini sudah juga mempengaruhi deria-deria yang lain. Matanya juga. Mata yang dibantu oleh kanta palsu juga sudah dibayangi besi. Giginya juga sudah diwarnai warna besi, hitam lengam dan karat. Telinganya juga pantang mendengar suara besi dibuang di merata tempat. Tangan-tangannya, kaki-kakinya malah punggungnya juga sudah dialahi besi yang sudah menjadi raja berdiri gah di hadapan kehidupannya. Tiada apa lagi yang dirisauinya selain besi-besi yang jika tidak dapat ditemui akan menghancurkan kehidupannya yang kaya dengan sebuah masa depan yang menjadikannya senang lenang. Dibayanginya besi menjadi suatu nilai lain yang sering menghantuinya. Kini dia dihantui kerisauan-kerisauan baru kerana telinganya tidak lagi mendengar gemercang besi dibuang di merata tempat atau dilongokkan pada lokasi-lokasi khas. Matanya juga tidak melihat besi-besi di merata tempat. Tangan-tangannya dan kaki-kakinya tidak lagi menyentuh karat besi yang hitam legam. Hidungnya tidak juga menghidu bau besi. Aduh! Gila. Gila mendampinginya. Gila-gila besi menguasainya. Seseorang itu menggilai besi!

Seseorang itu akhirnya lari kerana mendekati besi. Rumah-rumah mimpi yang ngeri ditinggalkannya. Rumah-rumahnya juga telah roboh tatkala tiang-tiangnya diusik angin perubahan yang mendadak. Ditambah kehadiran anai-anai yang bernafsu. Itu tidak dipedulinya lagi. Kerana apapun tidak bererti, jika bererti pun tidak mungkin dapat mengembalikan sebuah kenangan yang bermakna. Makna kenangan hanya baik untuk suatu ketika di mana kehidupan itu memberi pulangan yang munasabah. Jika tidak memberikan pulangan yang mempunyai nilai apalah ertinya. Tentang kasih sayang, segalanya punah ranah. Maka biarkanlah anai-anai nafsu itu memamah-mamah rumah-rumah kehidupannya. Hati meraung-raung juga hingga habis segala air mata. Mengenang mata air yang dibebat paksaan-paksaan dan nafsu-nafsu buasnya. Dirasakan pedih, memang pedih. Seperti rama-rama yang hinggap ke pohon demi pohon memohon perlindungan. Sama ada memberi atau diterimanya manis, putaran hidupnya sudah ditentukan bahawa dia hanya tahu untuk terbang, singgah dan terbang semula hinggalah segala bulu pada kepaknya gugur satu demi satu. Dan dia tidak tahu nikmat terbang untuk dirinya lagi.

Pandangannya samar. Hatinya meraung-raung menahan sebak dan kepedihan. Dijelajahinya setiap lokasi pembuangan. Besi tidak juga dinampakkan. Besi tidak juga ditemui lagi.

Jangan anggap idea ini betul meskipun barangkali benar. Anda fikirkan saja tentang besi atau otak besi yang dipunyai seseorang yang sudah tidak tahu makna nilai. Apabila sudah tidak dapat membezakan keluhuran hati budi, besilah menjadi perimbangannya. Bukan emas. Bukan perak. Bukan juga intan berlian. Demikianlah fikirannya sudah disesakkan sesalan-sesalan masalalu. Oh, masalalu sudah tidak mungkin mengenalinya, sebagai seseorang yang ramah dan boleh berkata-kata manis. Masalalu jugalah yang mengubahnya menjadi seseorang yang serakah dan tamak haloba. Hilang punca untuk menegakkan pendirian. Sebuah dunia baru yang kononnya terpaksa dilalui. Terpaksa juga menegakkan semula rumah yang sudah runtuh. Terpaksa juga menerima ikatan walaupun ikatan itu berasal daripada tali-tali usang. Terpaksa juga mengikat tali-tali yang usang itu demi suatu kehidupan masa depan. Fikiran begini semakin membiak. Membiak dan membesar, hanya belum sampai waktunya untuk meletuskan sebuah letupan ajaib pada suatu ketika yang lain.

Letupan itu akhirnya meletup juga. Hanya tidak akan dilihat atau dirasai, sesungguhnya begitulah. Bagaimana kuat sekalipun, letupan ini tidak akan didengar dan mendengarkan. Letupan ini bukan letupan bom-bom atau tembakan-tembakan yang pernah anda lihat di peti tv ketika ini atau suatu waktu yang lain yang anda mungkin ingat atau anda pernah lalui. Barangakali, anda bayangkan saja bagaimana selepas sesuatu letupan itu berlaku. Bahangnya amat membahangkan. Daripada benda-benda kering hingga benda-benda basah. Daripada zarah-zarah yang tidak ada pada mata hinggalah kepada zarah-zarah yang telah membangunkan suatu bangunan alam. Daripada alam yang nyata hingga ke alam yang tidak nyata. Bayangkan darjah bahang letupan itu. Memamah segala-galanya. Segala-galanya menjadi tidak keruan lagi. Hancur lumat. Dan mendebu. Sunguh-sungguh.

Berterbanganlah debu-debu itu. Menjelajah ke merata ruang. Ruang-ruang yang luas dan kurang luasnya. Ruang-ruang yang sejuk dan yang kurang sejuknya. Ruang-ruang yang hijau dan kurang hijaunya. Menjelajahlah debu-debu itu ke merata tempat. Dari bumi ke awan gemawan. Debu-debu itu bersatu dengan debu-debu yang sudah lama menjadi debu, yang bertaburan di ruang penjelajahannya. Debu-debu itu bersatu juga dengan debu-debu yang baru menjelma sebagai debu. Sekarang debu-debu itu, kerana telah bercampur baur, sudah sukar dikenali. Debu-debu itu juga tidak tahu apakah dia debu-debu yang baru menjadi debu atau yang sudah lama digelar debu!

Mungkin juga debu-debu itu hinggap pada besi! Sebenarnya debu-debu yang sudah tidak dikenali masih berterbangan termasuklah yang hinggap pada besi. Mengikut rentak angin yang datang. Ketika angin bergerak ke arah timur, ke timurlah ia. Ketika angin bergerak ke arah barat, ke arah baratlah ia. Ketika ditup angin menuju ke arah utara ke arah utaralah ia. Ketika gerak angin menuju ke barat daya ke barat dayalah dan seterusnya yang tidak dapat diteruskan di manakah gerak angin itu sebenar-benarnya. Hanya selalunya angin itu pun bertiup tidak tentu hala. Debu-debu itu juga turut diterbangkan dalam keadaan yang tidak tentu hala. Barangkali ketika angin bertiup ke timur, ia tidak ke barat tetapi ke selatan. Mungkin ketika angin bertiup ke arah utara, ia tidak ke selatan tetapi ke timur. Mungkin juga, ketika angin bergerak menuju arah barat, ia tidak ke timur yang terjadi gerakannya ke suatu arah yang entah di mana. Boleh jadi di mana-mana. Semakin jauh meninggalkan apa-apa saja yang ada bersamanya dulu. Debu-debu meninggalkan segalanya. Tidak kedengaran ratap tangis untuk debu-debu ya ng pergi itu. Ya, sekurang-kurangnya debu-debu itu juga dipunyai seorang ibu dan seorang ayah atau lebih. Meskipun mungkin dipunyai ramai ibu dan ramai ayah. Maka sepatutnya ramai juga sanak saudaranya. Tiada bahasa sapa atau selamat jalan untuk debu-debu itu. Debu-debu berterbangan dibawa angin. Debu-debu kembara mengikut rentak angin. Tidak siapa boleh menghalang kerana tidak siapa dapat memandang di mana debu-debu itu berada. Dan tidak siapa dapat mengenali antara debu-debu itu, bahkan. Hanya ada, ketika debu-debu itu hinggap di mata. Berairlah si mata itu. Si mata menjadi merah. Bedebah debu, mungkin itu kata si empunya mata. Kebedebahan debu masuk ke dalam saraf otak hinggap ke kalbu dan berdetak-detak pedih itu.

Airmata dan kepedihan menjadi mimpi-mimpi yang menghantui. Menjadi keping-kepingan yang berjatuhan di lantai. Seperti debu-debu yang berterbangan di udara, di angkasa, melewati ruang-ruang, hinggap di merata tempat adalah seseorang yang sudah gagal mengenal diri. Besi kehidupannya juga gagal mengawal keutuhan dan harga diri untuk menjelmakan diri sebagai seseorang yang bernilai oleh sesiapa jua. Debu, besi dan juga kebosanan yang tidak mungkin digemari dan dimahui adalah muzik untuk lagu kepedihan tetapi ilmu untuk kewaspadaan. Dan kewarasan. Seseorang itu akhirnya lari dan tak menemui jalan kembali. Seseorang itu menemui dirinya di lembah-lembah yang sama berputar-putar, gugur dan bangun. Dan gugur lagi kemudian bangun semula. Alangkah!

Kota Kinabalu-Beaufort

Idea awal pada: 27 Oktober 2000

Ditaip pada: 4 November 2000

Hak Cipta Terpelihara Hasyuda Abadi, 2000

(Cerita ini hanyalah rekaan semata-mata, tidak ada kaitan kepada sesiapa sama ada hidup mahupun yang telah mati - Pengarang)